"SEDANGKAN lidah lagi tergigit." Begitulah bidalan Melayu yang membawa maksud kehidupan berumah tangga pasti tidak terlepas daripada salah faham mahupun pertikaian tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang perkara yang kecil pun boleh jadi punca pergaduhan membawa kepada masing-masing bermasam muka. ARTIKEL BERKAITAN: Abang askar jaga isteri berpantang bak permaisuri, layanan tip top dari anak pertama hingga keenam - “Risau juga orang cop saya queen control” ARTIKEL BERKAITAN: Suami nak ‘outstation’ naik pangkat, isteri dalam pantang sanggup packing barang - “Selepas balik tiba-tiba dia baik lain macam...” Sekiranya tidak ditangani dengan baik dan rasional, ia dikhuatiri mampu menggugat keharmonian rumah tangga. Perkongsian seorang kaunselor keluarga, Normaliza Mahadi di Facebook mengenai salah seorang kliennya yang hampir bercerai, benar-benar membuka mata bagaimana perkara kecil mampu memporak-perandakan rumah tangga. Menulis di posting tersebut, Normaliza berkata kliennya itu dan pasangannya hadir untuk sesi kaunseling kerana mahu mengambil keputusan untuk bercerai disebabkan ubat gigi. “Suami dia akan picit ubat gigi dari bawah. Tapi bagi klien saya ikutlah picit macam mana pun, asal ubat gigi keluar. Maka, konflik pun berlakulah apabila suami tak puas hati dan isteri tak mahu berubah. “Akhirnya ke meja kaunseling untuk selesaikan masalah. Isterinya kata, perkara kecil aje ni. Suami kata, ini perkara besar. Displin, sikap, mind set dan sebagainya,” tulis Normaliza. Perkongsian oleh seorang kaunselor keluarga mengenai satu kes yang dikendalikannya menjadi tular di Facebook. Kongsi kaunselor itu lagi, pasangan suami isteri itu saling bertikam lidah untuk menegakkan pendirian masing-masing. Bagaimanapun kata Normaliza, akhirnya masalah pasangan suami isteri itu dapat diselesaikan selepas dia memberikan cadangan agar kedua-duanya menggunakan ubat gigi berlainan, memandangkan rumah mereka mempunyai dua bilik air. “Apapun ini penyelesaian yang saya cadangkan. (Saya bertanya) Di rumah ada berapa bilik air? Ada dua, kata mereka serentak. “(Saya bertanya lagi) Boleh ke kalau seorang ambil satu bilik air? Si suami bertanya, ‘Kenapa?’ (Saya jawab) supaya boleh beli dua ubat gigi dan tak payah kongsi. Dan lagi penting tak nampak dah ubat gigi yang satu lagi sebab bilik air asing. “Saya nak bilik air atas, kata suami. Saya ambil yang bawah, kata isteri. Bilik air atas tu macam penjara tambah klien lagi. Maka, selesailah pertikaian mengenai ubat gigi,” tulisnya lagi. Antara komen netizen yang turut sama memberi pandangan terhadap posting berkenaan. Posting tersebut menjadi tular di media sosial di mana sehingga kini ia meraih 2,100 perkongsian, selain dihujani ribuan komen netizen. Ada antara netizen yang mengakui isu ubat gigi itu turut dialami dalam rumah tangga mereka, namun ia masih di tahap yang tidak membimbangkan. “Sama dengan saya suami isteri. Dah ada anak-anak, main ikut tekan. Lama-lama biar sahaja,” tulis seorang pelayar. “Kalau benda macam ni susah sangat nak bertolak ansur, apalagi hal yang besar . Dalam rumah tangga, memang kalau diikutkan kemahuan hati dan emosi sendiri maka berlakulah pertengkaran. Selagi masih sayang kita kena bersabar,” tulis seorang lagi pelayar. “Sokong… sebenarnya bila dah kahwin, belajarlah terima seadanya dan redho. Jodoh kita tu Allah bagi untuk saling melengkapi,” tulis yang lain pula.