suria

Katanya ia hadiah hari jadi paling ‘gila’, nantikan kejutan Dr Azizan di billboard ucapan ulang tahunnya

Papan iklan yang memaparkan ucapan hari ulang tahun buat Azizan (gambar kecil). Foto instagram dasabdul

LUAR biasa dan paling gila! Begitulah gambaran pakar motivasi terkenal, Dr Azizan Osman apabila menerima ucapan hari ulang tahunnya ke-45 yang terpampang pada sebuah papan iklan (billboard).

Bukan papan iklan biasa-biasa, tapi ia adalah menara papan iklan setiang (unipole) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kajang, Selangor.

Hadiah billboard tersebut sebagai tanda penghargaan daripada dua anak murid beliau, iaitu pengusaha bisnes bantal, Tuan Das Abdul dan Narul Khairil Anuar yang memiliki sebuah syarikat pengiklanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Papan Iklan Terbalik: “Saya Ada Pelan B”

Menurut Tuan Das, papan iklan itu dipasang pada Rabu selepas hari bermakna dalam hidup sifu mereka pada 14 November dan ia akan kekal di situ selama sebulan dengan kos kira-kira RM50,000.


Papan iklan ucapan hari jadi Azizan boleh dilihat di PLUS arah selatan dekat Kajang.

Bercakap kepada mStar, Azizan meluahkan rasa terharunya dengan pemberian yang tidak disangka-sangkanya itu daripada sejumlah besar hadiah hari jadi yang diterimanya tahun ini.

“Macam-macam perasaan saya sampai tak boleh nak digambarkan. Tapi jujurnya, saya amat terperanjat dan kagum dengan hadiah tersebut.

“Ini bukan billboard biasa-biasa, tapi ini adalah unipole... ia diibaratkan sebagai master of billboard. Dengan kedudukannya yang sangat tinggi, saya percaya nilainya amat mahal untuk memberi ucapan buat saya.

“Biasanya ucapan pada papan iklan ni dibuat untuk Yang di-Pertuan Agong, tapi saya yang dapat. Siapalah saya untuk diberikan ucapan sebegitu rupa,” katanya.

Azizan bergambar di hadapan papan iklan ucapan hari jadinya, pagi Ahad.

Azizan berkata, Tuan Das dan Narul merupakan dua anak muridnya yang berdedikasi tetapi tidak menyangka penghargaan terima kasih itu diterjemahkan secara luar biasa.

“Saya amat berterima kasih di atas sumbangan yang mereka berikan kepada saya. Apa yang saya didik dan bimbing mereka itu adalah manfaat untuk bersama.

Billboard yang sepatutnya mereka boleh gunakan untuk buat iklan bagi bisnes atau syarikat mereka, tapi mereka berbesar hati melakukannya untuk ucapan hari jadi saya,” ujarnya sambil menambah mengetahui mengenai hadiah tersebut pada hari pemasangannya di lebuh raya.

Ini bukan billboard biasa-biasa, tapi ini adalah unipole... ia diibaratkan sebagai master of billboard.

AZIZAN

Azizan bagaimanapun memberitahu, sehingga kini beliau masih belum berpeluang untuk melihat sendiri papan iklan yang mempaparkan ucapan hari jadi buatnya itu kerana kesibukan dengan tugas.

“Saya agak sibuk dan banyak ke sana ke sini atas pelbagai urusan,” jelasnya.

Hadiah ucapan papan iklan sebagai tanda penghargaan daripada anak murid terhadap sifu mereka.

Menurut Azizan, beliau akan melihat sendiri papan iklan tersebut buat kali pertama dijadualkan pada pagi Ahad dalam perjalanannya ke Johor bagi menghadiri program selama seminggu.

“Saya akan singgah sebentar untuk melihat sendiri papan iklan tu dalam perjalanan ke Desaru, Johor. Saya akan buat kejutan apabila berada di hadapan papan iklan itu nanti.

“Bukan sekadar selfie, tapi lebih daripada itu. Saya juga mahu melakukan sesuatu di sana sebagai tanda penghargaan kepada dua anak murid saya yang memberikan hadiah paling berharga, paling luar biasa dan paling gila setakat ini,” ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain