suria

Enggan terima duit cikgu, jawapan pelajar ini buat ramai kagum... Neelofa pun - “Dia pernah menangis, tak mahu kecewakan guru”

Posting seorang guru, Syafaat Nasir mengenai seorang anak muridnya, Radiatul Raudah yang memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR mengundang perhatian netizen.

“DIA cakap doa dan bimbingan guru melebihi segalanya kerana nak dapat A sangat susah,” demikian kata seorang cikgu yang berkongsi kisah mengenai salah muridnya yang berjaya memperoleh 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Terdahulu guru berkenaan, Syafaat Nasir menceritakan mengenai seorang murid perempuan yang menolak untuk menerima wang saguhati di atas pencapaiannya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru darjah 1 dah pandai ‘mulut jahat’! Pensyarah terkejut anak kena buli di sekolah - “Dia tembam sikit sahaja” 

ARTIKEL BERKAITAN: Gelak bertukar sebak! Hari terakhir mengajar, murid beri beyblade ‘pengajaran’ untuk guru sandaran - “Susah orang dewasa nak buat” 

Di dalam satu posting di Twitter, Syafaat juga menceritakan serba sedikit latar belakang pelajar yang dikenali sebagai Odah itu, di mana ia kemudian mengundang rasa kagum netizen dengan keperibadian murid perempuan berkenaan.

Malah, perkongsian tersebut juga turut mendapat perhatian selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor.

Berkongsi cerita dengan mStar, Syafaat berkata Odah atau nama sebenarnya Radiatul Raudah Mohd Ismail sememangnya seorang murid yang sangat komited, berkeperibadian tinggi dan aktif.

Raudah merupakan seorang murid yang aktif dalam kegiatan ko-kurikulum.

Justeru ujar guru berusia 28 tahun ini, maka tidak hairanlah Raudah disenangi guru dan rakan-rakan sebayanya di sekolah yang terletak di Batu Kurau, Perak itu.

“Saya tidak mengajar Raudah, namun sebagai Guru Pengawas di sekolah itu, saya mengenalinya secara rapat kerana dia merupakan murid di bawah kelolaan saya memandangkan dia seorang pengawas.

Posting Syafaat yang turut mendapat perhatian daripada Neelofa.

“Malah saya yang melantiknya sebagai Penolong Ketua Pengawas. Lantikan tersebut dibuat kerana mengambilkira keperibadiannya yang sangat bagus, sama ada dari segi sahsiah mahupun akademik. Dia juga seorang tokoh pelajar, dan seorang yang aktif dalam bidang ko-kurikulum,” ujarnya lagi.

Bercerita mengenai penglibatan aktif Raudah dalam bidang ko-kurikulum, Syafaat berkata murid tersebut sering memasuki pertandingan hingga pernah mewakili sekolahnya ke peringkat daerah.

Antara komen netizen yang melahirkan kekaguman dengan keperibadian Raudah.

“Raudah ini aktif sangat. Ada satu cerita yang sangat menarik untuk saya kongsi mengenai dia. Ada satu hari tu, dia dan pasukannya mewakili sekolah dalam perlawanan sukan softball peringkat daerah. Nak dijadikan cerita, pada hari yang sama, berlangsung pertandingan bercerita yang turut berlangsung di lokasi yang sama.

“Disebabkan dia serba boleh, dia diminta oleh seorang guru untuk mewakili sekolah kami dalam pertandingan bercerita. Dua-dua berlangsung pada hari yang sama. Dia sampai menangis kerana dalam dilema, dalam masa yang sama tak mahu kecewakan guru.

“Tapi dia sertai juga pertandingan bercerita. Peserta lain semua bergaya tapi dia pakai baju softball saja sebab selepas itu dia terus bergegas untuk menyertai perlawanan softball pula. Alhamdulillah, dia dapat nombor dua untuk pertandingan bercerita, dan pasukan softball dia juga dapat nombor dua,” kata Syafaat.

Bercerita mengenai keluarga murid itu pula, Syafaat berkata Raudah bukanlah datang daripada keluarga yang senang.

Malah saya yang melantiknya sebagai Penolong Ketua Pengawas. Lantikan tersebut dibuat kerana mengambilkira keperibadiannya yang sangat bagus, sama ada dari segi sahsiah mahupun akademik. Dia juga seorang tokoh pelajar, dan seorang yang aktif dalam bidang ko-kurikulum

SYAFAAT NASIR

GURU

“Ayahnya pesara askar, manakala ibunya hanya suri rumah. Walaupun bukan daripada kelaurga yang senang, tapi saya nampak ibunya sangat bagus, sentiasa menyokong anak-anaknya. Jika ada program apa-apa di sekolah, memang ibu dia akan hadir.

“Jadi saya nampak dari situ, persekitaran keluarganya secara tidak langsung membentuk keperibadian Raudah. Sebab itu, sikapnya matang, tak seperti seorang gadis yang berusia 12 tahun,” katanya yang merupakan seorang guru Matematik.

Ditanya mengenai postingnya yang mendapat perhatian Neelofa, Syaafat berkata dia sama sekali tidak menyangka selebriti tersebut akan meninggalkan komen pada perkongsiannya.

“Saya ada beritahu Raudah mengenai perkara ini, dan dia juga gembira. Malah dia juga memuat naik posting itu di Ig Story.

“Neelofa ada ramai pengikut, jadi secara tidak langsung, selepas dia turut sama memberi komen pada posting mengenai Raudah, sedikit sebanyak diharapkan ia akan menjadi inspirasi untuk pelajar yang lain,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Neelofa, UPSR, Perak, duit

Artikel Lain