suria

Anak letak syarat untuk bermalam di kampung, kalau tak penuhi nak bawa cucu tidur hotel... bapa terkedu - “Dalam kubur tak ada aircond anak oii!”

Seorang lelaki berkongsi kisah mengenai pelanggannya yang mahu memasang pendingin hawa semata-mata mahu memenuhi syarat anaknya menjadi tular di Facebook. Kredit foto: FB Mohd Azhakim

MUSIM cuti persekolahan yang baru sahaja bermula pasti dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

Pada ketika inilah ibu bapa akan mengambil peluang dengan membawa anak-anak mereka pergi bercuti di tempat-tempat menarik.

Selain itu, tempat wajib untuk dikunjungi sewaktu cuti persekolahan akhir tahun tentunya kampung halaman kedua ibu bapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah terima sedekah, Tok Bibah jual botol kosong, barang lusuh cari rezeki... mampu hantar anak angkat masuk universiti! 

ARTIKEL BERKAITAN: Restoran jadi sasaran pelajar menjelang cuti sekolah, kali ini pemiliknya sebak didatangi remaja miskin - “Jawapannya buat kami tersentuh” 

Datuk dan neneklah manusia yang paling teruja apabila mengetahui anak serta cucu mereka yang tinggal jauh di bandar mahu pulang menghabiskan musim cuti persekolahan di kampung, sehingga sanggup lalukan apa sahaja demi menyambut kepulangan mereka.

Perkongsian seorang pelayar Facebook baru-baru ini amat menyentuh hati, di mana seorang bapa sanggup menghabiskan wang untuk memasang alat pendingin hawa (aircond) demi keselesaan anak dan cucunya.

Menurut pelayar yang dikenali sebagai Mohd Azhakim, kisah tersebut baru sahaja berlaku minggu lalu di mana dia mendapat panggilan daripada seorang pelanggan yang ingin memasang pendingin hawa di rumahnya.

“Kisah petang tadi. Dapat call dari seorang customer, cakap nak pasang aircond paling murah dan urgent.

“Katanya anak, menantu dan cucunya nak balik sempena cuti sekolah. Tapi si anak bagi syarat kena pasang aircond dalam bilik dahulu baru mereka bermalam di rumah. Kalau tak, si anak nak bermalam di hotel,” tulis lelaki tersebut.

Perkongsian Mohd Azhakim mengenai kisah salah seorang pelanggannya menjadi tular di Facebook. 

Menurut Mohd Azhakim, tanpa melengahkan masa, dia pun segera menuju ke rumah pelanggan berdasarkan alamat yang diberikan pelanggan tersebut.

“Sampai rumah pakcik tu, aku bagi list (senarai) harga beberapa jenama aircond.

“Pakcik ni tiba-tiba senyap. Termenung panjang nak kena pasang aircond semata-mata nak memenuhi kehendak anak.

“Dengan berat hati pakcik tu beritahu dia tak cukup duit. Bila tengok air muka pakcik ni, aku tak sampai hati nak ambil duit. Jadi, aku charge harga aircond je,” tulisnya.

Menurut Mohd Azhakim, dia terpanggil untuk membuat perkongsian kisah tersebut di Facebook untuk dijadikan iktibar.

“Masa dalam perjalanan balik, aku pulak termenung. Tiba-tiba teringat arwah ayah.

“Wahai si anak, mak ayah yang sedang menghitung usia tu bukan harapkan apa-apa pun dari kamu. Cukuplah dapat tengok anak cucu depan mata untuk lepaskan rindu.

“Nanti bila ayah kau dah tak ada dalam dunia ni baru kau akan menyesal sampai mati.

“Ingatlah, dalam hidup ni kita semua patut bagi dan dapat peluang kedua. Tapi menangis air mata darah sekalipun mak ayah takkan ada kelahiran semula,” tulisnya.

Antara komen netizen yang meluahkan rasa geram dengan sikap anak kepada pelanggan Mohd Azhakim.

Perkongsian lelaki itu menjadi tular di media sosial, selain turut dihujani ratusan komen netizen.

Rata-ratanya tersentuh hati sambil menyifatkan kisah tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada anak-anak agar menghargai pengorbanan ibu serta bapa yang tidak jemu memberikan yang terbaik untuk mereka.

Namun tidak kurang juga ada netizen yang meluahkan rasa geram dan terkilan dengan sikap anak kepada pelanggan Mohd Azhakim yang tergamak berbuat demikian kepada bapanya.

“Sekarang ni bukan anak-anak nak jaga hati mak ayah...mak ayah pula yang nak jaga hati anak-anak,” tulis seorang pelayar.

“Tak ada hati perut punya anak!” tulis seorang pelayar lain.

“Dalam kubur tak ada aircond anak oii,” tulis pelayar yang lain pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain