suria

Tiada zuriat bukan alasan kahwin lain! Hampir 20 tahun baru dapat anak, tapi layanan tetap sama - “Sampai meninggal ayah tak tahu saya dah tahu”

Gadis bernama Nurul Afiqah Yusof yang berkongsi kisah kedua ibu bapanya yang tidak dikurniakan cahaya mata sehingga terpaksa menunggu hampir 20 tahun lamanya.

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan untuk dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri kehidupan berumah tangga.

Namun bak kata pepatah, ketentuan Yang Maha Esa untuk setiap pasangan tidak sama.

Sesetengah pasangan tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh cahaya mata, namun sesetengahnya pula diuji sehingga terpaksa menunggu sehingga belasan malah puluhan tahun sebelum dapat menimang cahaya mata sendiri.

Seperti mana kisah yang dikongsikan seorang gadis bernama Nurul Afiqah Yusof ini, ibu dan bapanya hanya dikurniakan cahaya mata selepas hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal 

ARTIKEL BERKAITAN: “Selamba je dia buka pintu kereta minta duit RM10” – Wanita kongsi detik cemas lelaki tak dikenali masuk kereta gara-gara terlupa ‘lock’ 

“Ibu dan ayah, Norsilah Mugumut dan Yusof Tahir tetap bersabar menanti cahaya mata sendiri sungguhpun terpaksa menunggu lama. Kira-kira 17 tahun selepas pernikahan, barulah mereka memutuskan untuk mengambil saya sebagai anak angkat iaitu pada 1996.

“Saya diambil sejak lahir dan dengan merekalah saya membesar selama 23 tahun. Nak dipendekkan cerita, beberapa tahun selepas itu ibu saya mengandungkan dua anak perempuan, masing-masing pada 2000 dan 2002.

“Dalam tempoh sebelum dikurniakan zuriat, ayah langsung tak pernah membangkitkan kepada ibu isu anak, malahan tidak pernah sekalipun dia menyuarakan hasrat untuk berkahwin lain atas alasan mahukan anak.

“Sebab itu, saya rasa tidak dapat terima apabila ada lelaki yang dengan mudahnya mengambil keputusan untuk berkahwin lain atas alasan mahu anak, sedangkan baru beberapa tahun saja mendirikan rumah tangga,” ujarnya kepada mStar.

Tweet yang dimuat naik oleh Nurul Afiqah mengenai kisah ibu bapanya meraih sehingga 36,000 ulang kicau. 

Terdahulu, gadis berusia 23 tahun ini berkongsi kisah ibu bapanya yang menunggu lama untuk mendapatkan cahaya mata di Twitter, sebagai respon kepada tweet seorang pelayar yang memuat naik pengalaman seorang isteri yang diceraikan suami gara-gara mahukan zuriat sendiri.

Perkongsian gadis ini mengundang perhatian netizen apabila ia meraih sehingga 36,000 ulang kicau selain dihujani komen netizen yang rata-ratanya kagum dengan sifat sabar kedua ibu bapanya.

Bercerita lebih lanjut, Nurul Afiqah berkata, sungguhpun ibu dan bapanya dikurniakan anak kandung sendiri ketika usianya empat tahun, namun layanan terhadapnya langsung tidak berubah.

Ibu dan bapa angkat Nurul Afiqah, Yusof Tahir dan Norsilah Mugumut.

“Kehadiran dua adik perempuan tidak mengubah hubungan saya dan kedua ibu bapa, saya tak pernah dilayan seperti orang luar langsung. 

"Jika ayah belikan apa-apa barang, pasti ketiga-tiga kami akan dapat. Jika tak dapat barang, tiga-tiga tak akan dapat. Begitu juga jika buat salah. Yang salah tetap akan dimarah, memang tiada bezanya,” kata gadis yang berasal dari Pasir Gudang, Johor ini.

Kata Nurul Afiqah, dia tidak pernah diberitahu oleh ibu dan bapanya mengenai status sebenar dirinya sebagai anak angkat, sehinggalah satu peristiwa berlaku ketika di sekolah rendah.

Nurul Afiqah (kiri) dilayan sama rata sebagaimana  dua adik perempuannya sungguhpun dia merupakan anak angkat.   

“Ibu memang tak pernah tunjukkan dokumen peribadi saya. Semuanya dia simpan elok-elok dalam sampul. Nak dijadikan cerita, satu hari guru ada memberikan profil peribadi kepada pelajar. Ketika itu saya hairan kenapa nama ayah tak sama. Memang sedih juga, apatah lagi dapat tahu di sekolah semasa di tahun empat.

“Ingatkan masa pulang tu nak tanya ibu dan ayah, tapi sebaik pulang sahaja, ayah dan ibu ajak keluar makan dan beri layanan yang baik seperti biasa. Disebabkan itu, saya terfikir, kenapa saya perlu ungkit sedangkan saya langsung tak dilayan seperti orang asing.

“Sehingga ayah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2010, dia tidak tahu yang saya sebenarnya tahu status sebagai anak angkat,” ujar eksekutif jualan di Kuala Lumpur.

Tambah gadis ini, dia bagaimanapun pernah secara tidak sengaja mengungkit mengenai status dirinya sebagai anak angkat kepada ibunya.

“Ketika itu adalah berlaku sedikit perselisihan faham, dan saya tak sengaja terlepas cakap pasal itu. Ibu menangis. Saya rasa sangat bersalah disebabkan tindakan saya itu, sedangkan selama ini mereka langsung tak pernah layan sebagai orang luar.

"Sejak itu, saya tak ungkit langsung. Dan sejujurnya, saya tak pernah rasa mahu mencari ibu bapa kandung kerana rasa cukup dengan keluarga yang ada sekarang,” ujarnya lagi.

Tapi saya tak pernah dilayan seperti orang luar langsung. Jika ayah belikan apa-apa barang, pasti ketiga-tiga kami akan dapat. Begitu juga jika buat salah. Yang salah tetap akan dimarah. Memang tiada bezanya.

NURUL AFIQAH YUSOF

Dalam pada itu Nurul Afiqah berkata, dia sememangnya bertuah dan melahirkan kesyukuran kerana dikurniakan ibu bapa serta keluarga yang menerima dirinya seadanya malah memberi didikan yang amat sempurna.

“Bagi pasangan yang ambil anak angkat, layanlah mereka seperti anak sendiri sungguhpun satu masa nanti dikurniakan dengan cahaya mata kandung.

“Bagi anak angkat pula, saya tahu pasti kita pada mulanya sedih bila mendapat tahu status diri. Tapi kena ingat, ini rancangan yang Allah atur. Mungkin Allah takdirkan, apabila dengan keluarga angkat, hidup akan jadi lebih baik. Kita tak tahu, mungkin ibu bapa kandung kita susah atau kesempitan. Terima dengan positif,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
anak angkat, ibu bapa, kahwin, isteri

Artikel Lain