suria

Gadis menderita penyakit misteri meninggal dunia

Allahyarham Nur Izzati Afiqah yang ditemui sebelum ini menunjukkan gambarnya sebelum mengalami masalah kenaikan berat badan.

WANITA yang mengalami penyakit misteri sejak Ogos lalu sehingga berat badannya naik mendadak mencecah 200 kilogram (kg) menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi.

Memetik laporan Sinar Harian, Nur Izzati Afiqah Hussein, 29, meninggal dunia di Kampung Gaung, Tendong dekat Pasir Mas, Kelatan kira-kira pukul 10.50 malam Rabu.

Namun ibu saudaranya, Zainab Hassan, 57, mendedahkan Nur Izzati  mengalami pendarahan luar biasa sebelum pemergiannya itu.

"Mulanya, kami ingatkan dia datang haid tetapi berlaku dalam keadaan yang begitu banyak.

"Darah tersebut keluar pada jam 2 petang dalam keadaan berketul," katanya.

Menurut Zainab lagi, Nur Izzati Afiqah masih boleh bercakap seperti biasa dan kemudian beransur-ansur menjadi lemah sebelum meninggal dunia.

Katanya, dia dan seluruh ahli keluarga reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang yang baik.

"Selain ibunya, saya adalah orang yang cukup rapat dengan arwah kerana setiap hari mengurus dan menjaganya sepanjang dia sakit," katanya.

Jenazah Nur Izzati disemadikan kira-kira pukul 11 pagi Khamis di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung.

Zainab berkata keluarga terpaksa mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Mas bagi urusan pengebumian kerana keadaan fizikal arwah.

Terdahulu beberapa media sebelum ini melaporkan kehidupan bekas tenaga pengajar kontrak di Pusat Pembangunan Kemahiran Melaka berubah sepenuhnya apabila berat badannya naik mendadak secara 'misteri' apabila mencecah sehingga 200 kg dalam masa tiga bulan.

Sebelum ini adik bongsu Nur Izzati Afiqah, Muhammad Khairul Akram, mengalami masalah sama dan meninggal dunia empat bulan lalu pada usia yang muda 25 tahun.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain