KEINGINAN seorang ibu untuk mendiami rumah idaman tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat kanser payudara pada Mac 2019. Bagaimanapun, pemergian wanita itu ke negeri abadi tidak mematahkan semangat seorang anak muda dan adik-beradiknya untuk tetap memenuhi impian wanita kesayangan mereka itu, Norma Abdul Hamid. ARTIKEL BERKAITAN: Konon nak ajak pergi makan tapi dua beradik ini ‘tipu’ ibu sampai menangis - “Jika ayah masih ada, pasti arwah yang belikan” Menerusi laman sosial Twitter Fahmi Anuar, dia meluahkan rasa sebak apabila hasrat untuk tinggal di rumah itu bersama ibu tersayang tidak kesampaian walaupun impian arwah dapat dipenuhi selepas sembilan bulan menyatakan hasratnya. Pemilik nama Muhammad Fahmi Izzudin Anuar ini berkata, permintaan ibunya untuk pindah ke kediaman impiannya pada Disember lalu tidak tercapai pada waktu tersebut kerana dia sekeluarga mengalami krisis kewangan. Perkongsian Fahmi tular di laman sosial Twitter. Anak ketiga daripada lima beradik ini mengaku status keluarganya tidak begitu senang, bagaimanapun tetap menanam hasrat untuk mengubah kehidupan supaya dapat mendiami rumah yang lebih selesa. Katanya, walaupun rumah yang didiami pada Disember ini hanya rumah sewa, niatnya sekadar mahu berkongsi kegembiraan bersama keluarga kerana akhirnya dapat memenuhi impian arwah selepas sembilan bulan ibu meninggalkan mereka. "Kalau baca mesej mama kat conversation WhatsApp, sebenarnya dia teringin nak duduk di rumah teres dua tingkat berhampiran Shah Alam tu sejak Disember 2018. Selama ini kami tinggal di apartment di Klang, tak berapa selesa. Fahmi terkenang perbualan dia dan arwah ibu di aplikasi WhatsApp pada Disember lalu. "Kalau perasan, saya reply 'hahaha' je di WhatsApp tu sebab sebenarnya saya masih belum mampu. Ya lah kan, baru kerja. "Bila mam dah tak ada, baru saya tau yang dia pun WhatsApp adik-beradik lain cakap yang dia teringin nak duduk kat rumah teres tu. "Walaupun rumah sewa, at least kami merasa duduk rumah yang arwah ibu mahu. Kalau nak beli sekarang pun, kami belum mampu, mungkin dua tahun lagi, InsyaAllah," katanya yang bekerja di syarikat logistik di Taman Botanik, Klang ketika dihubungi mStar. One day before dia pergi, mama sempat bisik dekat telinga saya. Dia minta maaf sebab umur dia tak panjang. Dia suruh saya jaga diri, jaga solat. MUHAMMAD FAHMI IZZUDIN ANUAR Jejaka berusia 22 tahun ini turut memberitahu dia terkilan apabila ibunya yang berusia 51 tahun itu meninggal dunia sebulan sebelum majlis graduasinya. Fahmi berkata, dia percaya kepada takdir Tuhan walaupun niatnya untuk ibunya memakai jubah konvokesyennya tidak kesampaian pada hari bersejarah itu. "Paling sedih saya konvo pada April dan mama meninggal 11 Mac 2019. Fahmi terkilan tak dapat sarungkan jubah konvokesyen pada arwah ibu di majlis graduasinya. "Sejujurnya, dah lama sangat saya terbayang-bayang untuk sarungkan jubah konvo tu dekat ibu bapa saya. Tapi cuma dapat sarungkan pada ayah saja, tak apa saya percaya takdir Allah," ujar graduan Diploma Pengangkutan UiTM kampus Pasir Gudang, Johor itu. Di samping itu, Fahmi berasa bangga kerana ibunya yang disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga lima tahun lalu tidak pernah berputus asa, sebaliknya begitu cekal melawan penyakit itu. "What I can say is, my mom is a real fighter," katanya. Menambahkan sayu dihatinya, kata Fahmi, ibunya sempat berbisik menyampaikan pesanan terakhir kepadanya hanya sehari sebelum disahkan meninggal dunia. Ibu Fahmi disahkan meninggal dunia pada bulan Mac. "One day before dia pergi, mama sempat bisik dekat telinga saya. Dia minta maaf sebab umur dia tak panjang. Dia suruh saya jaga diri, jaga solat. "Saya ingat lagi, masa tu dia struggle nak cakap walaupun tengah sengsara tahan sakit bercampur sedih," tambahnya yang ada di sisi ibunya hingga ke saat terakhir nafasnya. Ditanya mengenai perkembangan adik-beradik dan ayahnya, Fahmi berkata pemergian ibu memberikan impak besar dalam hidup mereka sekeluarga, malahan dia sendiri masih lagi tidak percaya ibunya telah pergi selamanya. Fahmi sekeluarga di majlis graduasi abangnya yang berlangsung pada Oktober lalu. "Masa mula-mula mama pergi, hidup kami macam tak terurus, berlarutan dua tiga bulan. Biasanya kalau mama ada, dia akan masak. "Kadang-kadang makan pun sekali. Tapi adik bongsu, kami jaga, cuma sedihlah. "Sampai hari ini saya masih dalam proses healing. Masa pindah ke rumah sewa baru tu, masa angkat barang, saya rasa macam terngiang-ngiang suara ibu beri arahan. "Cuma, nak ubat rasa rindu tu kadang-kadang saya tengok gambar atau video mama. Ataupun saya sibukkan diri buat apa saya suka macam rapping atau buat lagu," katanya.