suria

Tindakan pantas tarik balik iklan promosi 'sugar daddy' wajar dipuji tapi DBKL kena tegas, perlu perjelas SOP kepada orang awam

Paparan iklan seperti mempromosikan tawaran 'sugar daddy' kepada wanita cantik mencetuskan kemarahan netizen.

IKLAN aplikasi temu janji dikatakan berunsur lucah yang dilihat mempromosikan tawaran 'sugar daddy' kepada wanita muda dan cantik mengundang kemarahan netizen.

Paparan iklan digital itu dapat dilihat di beberapa lokasi di sekitar Bangsar dan Bukit Kiara.

Rata-rata netizen menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap perkara itu.

Malah DBKL turut diminta menjelaskan prosedur dan garis panduan pemasangan iklan digital secara terbuka kepada orang ramai dan peniaga.

Memetik laporan Sinar Harian, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, gesaan itu dapat mengelak insiden sama berulang.

Namun katanya, tindakan pantas DBKL mengarahkan iklan aplikasi lucah itu ditarik balik berkuatkuasa serta-merta wajar mendapat pujian. 

Iklan tersebut tidak mendapat kebenaran DBKL dan YWP.

"Pada masa sama, siasatan terperinci perlu dilakukan dengan meneliti semula proses pelesenan iklan berbaur lucah yang di luar norma kehidupan rakyat di negara ini.

"DBKL perlu membuktikan kepada orang awam bahawa iklan itu benar-benar ditarik balik dan ditangani secara serius.

"Kita tidak mahu berlaku satu bentuk corak baharu dalam pengiklanan yang akan membawa kepada budaya merosakkan imej negara Malaysia sebagai negara Islam," katanya.

Jelas Noor Nirwandy lagi, perisian aplikasi secara interaktif penting bagi mendepani dunia digital tetapi tidak boleh mengikut nilai budaya negara Barat.

Beliau berkata konteks kemodenan tidak harus diterjemahkan melalui penularan budaya yang jelas bertentangan dengan asas kehidupan di negara ini.

Susulan penularan foto iklan aplikasi berbaur lucah itu, Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL tampil menjelaskan perkara tersebut.

Unit media tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
iklan lucah, DBKL, Bangsar

Artikel Lain