SELAMA setahun hijab atau boleh melihat perkara ghaib seolah-olah tertutup, namun tiga minggu lalu tiba-tiba seorang pemuda ternampak kelibat entiti misteri. Pemuda tersebut, Mohammed Nadjmuddean Mohd Ris berkongsi kisah dia diganggu puntianak yang menghuni sebuah rumah terbiar tidak jauh dari rumah mentuanya di taman perumahan di Jinjang Utara, Kuala Lumpur menerusi satu bebenang di Twitter. Perkongsian itu mendapat lebih 4,500 ulang kicau dan 5,800 tanda suka di platform media sosial itu. ARTIKEL BERKAITAN:'Waze' bawa ke ladang kelapa sawit, kedai makan tiada yang ada hanya 5 pasang mata memerhati dan si tua bongkok ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cedera parah keluar suara wanita tua selepas pembedahan - “Ada seseorang muncul waktu Maghrib” Mohammed Nadjmuddean atau lebih mesra disapa Jarr ketika dihubungi mStar berkata, dia diganggu entiti misteri itu selepas terpandang ke arah sebuah rumah kosong yang sudah belasan tahun tidak berpenghuni. "Masa tu saya tengah kemas sangkar kucing dekat luar rumah. Saya buka pagar nak keluar buang semua taik (tahi) dan kotoran dalam tong sampah. Hati ni rasa nak pandang ke rumah kosong tu. Keadaan rumah terbiar itu pada waktu siang. "Tiba-tiba di sebalik pokok dengan semak samun, sosok seorang perempuan tengah perhatikan saya. Lama saya perati memang confirm perempuan, rambut panjang, baju putih tapi muka tak nampak. "Saya rasa apa yang saya nampak malam kelmarin tu puntianak. Sebab di taman tu ramai bercerita mereka pernah terjumpa perempuan tak ada muka. Lepas tu saya pun pelan-pelan pusing, jalan steady masuk rumah," katanya. Namun selepas ternampak kelibat itu, pemuda berusia 37 tahun ini berasa tidak sedap hati kerana ternampak kembali makhluk ghaib itu selepas hampir setahun hijab tertutup. Saya perasaan boleh nampak benda tu ketika berumur belasan tahun. Masa saya dapat tahu tu saya tertekan juga. Sampailah saya jumpa doktor sebab tak boleh terima apa yang saya lalui. Saya jadi depress. MOHAMMED NADJMUDDEAN MOHD RIS. PENGURUS AKAUN "Sebenarnya dah dekat setahun saya tak boleh nampak 'benda' ni, tapi tiga minggu lepas dan kelmarin saya kena balik. Saya pernah dengar macam-macam cerita pasal rumah tu tapi tak pernah kena walaupun lalu hari-hari. "Selepas nampak tu saya tutup pagar, pintu dan sliding door. Saya relaks kejap, mandi dan naik atas tidur. Tapi malam tu memang saya tak senang duduk. "Saya tak boleh nak tidur. Kebetulan katil menghadap TV. Belakang TV pula tingkap tertutup dengan langsir. Tiba-tiba saya dapat rasakan ada orang dok mundar-mandir dekat tingkap balkoni. Saya buat tak tahu jelah, mungkin perasaan saya saja," katanya. Rumah terbiar itu kini menjadi tempat pembuangan sampah. Jarr berkata dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara itu sehinggalah dia ditegur entiti itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kediaman abang iparnya malam kelmarin. "Saya pergi rumah abang ipar nak pass keropok lekor, borak punya borak dah pukul 10 malam. Saya pun minta diri. Macam biasa saya kenalah lalu depan rumah tu. Saya tak fikir apa sebab jam baru pukul 10 malam dan lampu jalan terang benderang. "Malangnya sampai je depan rumah kosong tu ada pula orang tegur. Saya pandang kiri nampaklah dia kat dalam pagar rumah tu. Saya hanya mampu menyebut Allah. Saya tak pandang dia dan teruskan jalan macam biasa sampai rumah. "Masa nak jalan tu saya dengar suara perempuan mengekek. Punya meremang sampai naik kebas kepala. Sampai sekarang masih lagi terngiang suara bisikan halus makhluk ghaib itu. Tapi Alhamdulillah saya tak demam macam pertama kali nampak dulu," katanya yang bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat insurans. Mengenai sejarah rumah kosong itu, Jarr diberitahu oleh ibu mentuanya bahawa kononnya berlaku kes bunuh membabitkan pasangan suami isteri di kediaman itu. "Saya tanya mak mentua dan katanya ikut cerita orang lama taman ni, rumah tu pernah ada suami isteri duduk. Mereka gaduh laki bini mungkin sebab curang. Jadi si isteri hilang pertimbangan lalu ambil pisau dan tikam suami dia. Keadaan rumah terbiar itu turut dipenuhi semak samun. "Wallahualam saya tak tahu betul ke tidak. Tapi apa yang saya kena tiga minggu lepas dengan malam kelmarin memang real. Bila ada yang kata bestnya boleh nampak... sejujurnya tak best langsung. Saya rasa kalau ada yang nampak pun akan menyesal," katanya. Dalam pada itu, Jarr mendedahkan dia sebenarnya mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk ghaib sejak berusia belasan tahun lagi. "Masa tahu yang saya boleh nampak 'benda' tu saya tertekan juga. Sampailah saya jumpa doktor sebab tak boleh terima apa yang saya lalui. Saya jadi depress. "Tapi lama kelamaan saya dah biasa. Lantaklah. Saya ada jumpa ustaz untuk berubat tapi dia tak cakap saya terbuka hijab tapi dia hanya minta saya anggap benda tu anugerah daripada Allah. Dia nasihatkan saya untuk amalkan bacaan surah dan selawat," katanya.