suria

Buntu fikirkan laptop, iPad hilang di rumah, sudahnya jual barang elektrik – “Mungkin pukau... Memang betul-betul ‘clean’ dia buat kerja”

Zulkarnain berkongsi kisah abangnya yang kerugian hampir RM6,000 gara-gara laptop dan iPad miliknya dicuri.

“SYUKUR tiada yang cedera, namun laptop dan iPad milik abang dikebas perompak,” demikian kata seorang pemuda bercerita mengenai insiden rompakan yang berlaku di rumah ibu bapanya di Ampang, Selangor, minggu lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, Zulkarnain Azman, 22, berkata ketika kejadian, semua penghuni di rumah itu langsung tidak sedar akan kehadiran perompak berkenaan apatah lagi mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali motor kena rembat, pemuda ini siap bersemuka dengan pencuri - “Ingat kedai angkut, tapi tak ada tunggakan”

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja penat-penat, pencuri ‘sedap’ shopping... swipe 5 kad bank dalam masa sejam! Pelajar nasihat orang ramai jangan ulang kesilapannya

“Kami semua tak pasti perompak itu masuk daripada mana. Tambah pelik apabila tiada langsung kesan dikopak pada gril atau kunci mangga. Memang betul-betul clean dia buat kerja.

“Kami semua sedar pagi keesokannya apabila abang mencari-cari laptop dan iPad miliknya. Dia yang bekerja sebagai freelancer memang biasa buat kerja di ruang tamu tingkat bawah. Malam kejadian, dia meninggalkan kedua-dua barang tu di ruang tamu.

“Mula-mula dia fikir mungkin tersalah letak. Tapi selepas cuba mencari kedua-dua alatan tersebut menerusi aplikasi khas, ternyata ia gagal dikesan.

“Memang dia kecewa sangat sebab kerja dia semua bergantung kepada laptop dan iPad. Banyak data dan pelbagai perkara berkaitan kerjanya disimpan di dalam peralatan itu. Memang dia agak stres dan sedih,” katanya.

Posting yang dimuat naik oleh Zulkarnain bagi mengiklankan barang rumah milik abangnya untuk dijual. 

Tambah Zulkarnain, gara-gara laptop dan iPad dikebas perompak, abangnya terpaksa menanggung kerugian hampir RM6,000 selain ‘berputih mata’ kerana turut kehilangan pelbagai data dan hasil kerjanya yang disimpan di dalam peranti tersebut.

Apa yang menyedihkan kata Zulkarnain, abangnya terpaksa mengambil keputusan untuk menjual beberapa barangan elektrik miliknya demi mengumpul dana bagi menggantikan semula barang yang hilang itu.

Kata pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini, barang elektrik tersebut dibeli oleh abangnya untuk diletakkan di rumah baharu mereka di Ampang.

Peti ais dan pendingin hawa mudah alih yang diiklankan untuk dijual.

“Sebenarnya abang baru berpindah dari Melaka sejak lima bulan lalu dan dia tinggal di rumah ibu bapa kami di Ampang buat sementara waktu sebelum masuk rumah baharu bersama isterinya.

“Barang-barang tersebut adalah barang dari rumah lamanya di Melaka. Bila dah jadi macam ini, terpaksa juga dia buat keputusan tersebut walaupun berat,” kata Zulkarnain yang memuat naik iklan tersebut di laman Twitter miliknya.

Ciapan tersebut menjadi tular sehingga meraih sehingga 7,600 retweet dengan merata-rata netizen melahirkan simpati terhadap nasib yang menimpa abangnya itu.

Ketuhar gelombang mikro dan mesin basuh turut ditawarkan bagi mencari dana untuk membeli laptop dan iPad yang dicuri. 

Malah kata Zulkarnain, dia banyak menerima Direct Message (DM) di Twitter daripada netizen yang berminat untuk membeli barangan elektrik tersebut.

“Ramai yang DM, ada dari Johor, Kedah… Bukan nak menolak, tapi kami bimbang jika jarak jauh, risiko besar… takut terjadi apa-apa kepada barang itu dalam perjalanan, kemudian pelanggan tak puas hati.

“Kalau boleh, siapa-siapa yang dekat dan berminat, boleh datang dan lihat sendiri dahulu. Tapi apa-apapun, abang saya ucap terima kasih banyak-banyak pada yang berminat nak beli.

“Bukan itu sahaja, ada juga yang respon macam-macam untuk membantu. Malah ada yang mahu pinjamkan laptop mereka kepada abang. Itupun abang ucap terima kasih sangat. Tapi dia enggan menyusahkan sesiapa, sebaliknya mahu usaha sendiri. Ketika ini, nampak jelas betapa ramai sangat yang prihatin. Terima kasih daripada kami sekeluarga,” ujarnya.

Ada juga yang respon macam-macam untuk membantu. Malah ada yang mahu pinjamkan laptop mereka kepada abang. Itupun abang ucap terima kasih sangat. Tapi dia enggan menyusahkan, sebaliknya mahu usaha sendiri. Ketika ini, nampak jelas betapa ramai sangat yang prihatin. 

ZULKARNAIN AZMAN

Bercerita lebih lanjut, Zulkarnain berkata keluarganya sehingga kini pelik bagaimana perompak tersebut berjaya masuk ke dalam rumah mereka memandangkan tiada kesan kopak atau umpil pada mana-mana tingkap atau pintu.

“Nak kata dipukau, mungkin boleh jadi. Tapi mungkin juga pintu utama rumah terlupa dikunci pada malam tersebut. Itu yang buatkan kami semua hairan hingga kini. Bagaimanapun, syukur kerana tiada kecederaan pada ahli keluarga.

“Kalau diikutkan, di bilik tingkat bawah, ada kakak saya yang sedang berpantang bersama bayinya. Dan memang semua tidur di bilik masing-masing. Alhamdulillah tak ada apa-apa yang berlaku. Kami dah buat laporan polis mengenai apa yang berlaku,” ujar pemuda berusia 22 tahun ini.

Antara komen netizen yang turut bersimpati dengan nasib abang kepada Zulkarnain.

Dalam pada itu kata Zulkarnain, keluarganya juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

“Kalau diikutkan, kawasan perumahan di sini agak selamat. Cuma pernah terdengar ada satu kes tiga bulan lalu. Itupun rumah mangsa terletak agak jauh dari rumah kami. Apapun, kami dah tukar mangga kunci. Siapa yang pulang rumah pada lewat malam akan pastikan semua pintu dikunci.

“Pengajarannya, simpanlah barang berharga di dalam bilik. Penat macam mana pun, pastikan ia disimpan di dalam bilik. Mungkin kita rasa selamat walau letak di ruang tamu, tapi lebih elok jika ambil langkah berjaga-jaga,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
laptop, iPad, rompak, Ampang, perkakas elektrik

Artikel Lain