suria

Tersilap bank in gaji pekerja, wang dikembalikan hanya selepas 6 bulan bersama satu berita gembira - “Dia duduk di Australia”

Posting Azim mengenai kejadian ini di Twitter pada Jun lalu. Gambar berasingan, Azim bersama isterinya, Syazana.

TERIMA kasih kepada kuasa viral, wang berjumlah RM1,600 yang lesap kerana kecuaian sendiri akhirnya berjaya diperolehi semula.

Begitulah yang berlaku terhadap Azim Mohd Nor, 27, apabila seorang wanita dikenali sebagai Wendy Lim memulangkan semula wang miliknya baru-baru ini.

Menerusi kejadian pada Jun lalu, Azim yang juga kontraktor binaan membuat kesilapan ketika urusan transaksi sehingga wang gaji pekerjanya dipindahkan ke akaun milik Wendy secara tidak sengaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja penat-penat, pencuri ‘sedap’ shopping... swipe 5 kad bank dalam masa sejam! Pelajar nasihat orang ramai jangan ulang kesilapannya

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis resah duit misteri masuk akaun... Pemiliknya berpeluh duit ‘last kopek’ lesap, minyak kereta kering

"Benda yang dah selalu buat setiap bulan. Pada masa tu dah yakin, saya pun transfer sajalah tanpa semak nama pemilik akaun bank.

"Bila dah keluar resit, saya tengok nombor akaun ada dua digit terbalik. Duit tu sebenarnya nak dimasukkan ke akaun pekerja saya.

"Bila saya semak, dapat tahu nama orang tu Wendy Lim. Jadi saya post di Twitter untuk minta bantuan orang ramai sekiranya ada yang mengenali wanita itu," ujarnya kepada mStar.


Posting Azim mengenai kesilapannya di Twitter.

Namun, usaha Azim pada waktu itu seolah-olah menemui jalan buntu.

Biarpun sudah membuat laporan kepada pihak polis dan bank terlibat, dia gagal mendapatkan wang berkenaan.

Selain itu, Azim turut membuat carian nama Wendy Lim di Facebook sehinggalah dia dihubungi oleh wanita itu pada penghujung November lalu menerusi laman Twitter.

"Hampir enam bulan, Wendy akhirnya mesej saya di Twitter. Kawan dia yang maklumkan pasal perkara ni.

Rezeki Allah ni tak pernah silap. Terima kasih untuk semua yang viralkan. 

AZIM MOHD NOR

"Dia duduk di Australia, tak tahu duit saya masuk dalam akaun dia, sebab dia jarang guna akaun bank tu. Tapi dia ada balik ke Malaysia baru-baru ni.

"Saya sepatutnya jumpa dia. Tapi saya ada hal, selepas balik bulan madu bersama isteri di Jeju, Korea Selatan, saya terpaksa bergegas ke Johor Bahru.

"Tak sempat jumpa, jadi Wendy bank in duit kepada saya Khamis lepas. Dia tersilap masukkan RM1,500, kurang RM1,00. Tapi saya halalkan, anggap macam belanja dia sajalah," ujarnya yang melangsungkan perkahwinan pada 18 Oktober lalu.

Kata Azim lagi, dia sebenarnya sudah berputus asa dan tidak berharap akan mendapat semula wang tersebut.

Namun siapa sangka, dia dihubungi semula biarpun kejadian itu sudah lama berlaku.

Dalam pada itu, Azim berkata, kejadian itu disifatkan sebagai rezeki berganda buat dirinya.

Pada hari wanita itu memulangkan semula wang miliknya, Azim turut mendapat khabar gembira apabila isterinya, Syazana disahkan hamil anak pertama.

Azim dan isterinya, Syazana baru sahaja pulang dari Jeju dan tidak sempat bertemu Wendy kerana ada urusan penting di Johor Bahru.

"Rezeki Allah ni tak pernah silap. Terima kasih untuk semua yang viralkan. Sebenarnya sosial media ni boleh jadi platform untuk kita membantu sesama sendiri.

"Lepas dah habis usaha guna saluran rasmi dengan buat report semua, saya terfikir untuk guna alternatif melalui media sosial. Alhamdulillah semuanya dah selesai.

"Pada hari Wendy bank in balik duit tu, hari sama juga isteri saya positif pregnant. Berganda rezeki lepas kahwin ni. Sebab lepas kahwin pun saya dapat kerja baharu," katanya lagi.

Dalam pada itu, perkongsian terbaharu Azim di Twitter miliknya menerima hampir 6,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai netizen turut meninggalkan komen, mengakui tumpang gembira mendengar perkhabaran itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain