suria

“Saya janji akan pergi bila ke sana lagi” - Tunku Azizah terkilan tak dapat singgah gerai durian Rafi

(kiri) Mohd Rafi berpeluang bertemu dengan Tunku Azizah di lapangan terbang. (kanan) Mohd Rafi menunjukkan kain rentang yang memaparkan fotonya bersama Tunku Azizah yang berkunjung ke gerainya sebelum ini. Foto ihsan Mohd Rafi Yakob

INGATKAN hanya peniaga durian yang terkilan kerana tidak berkesempatan berkongsi raja buah itu dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, tetapi rupa-rupanya perasaan yang sama turut dirasai baginda.

Tunku Azizah menyuarakan rasa terkilan kerana tidak dapat berkunjung ke gerai durian milik Mohd Rafi Yakob buat kali kelima, sempena lawatan rasmi selama tiga hari ke Pulau Pinang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Adoi panggil kakak lagi, ampun tuanku” - Agong, Permaisuri tak sempat singgah gerai, peniaga durian cuba nasib jumpa di airport selepas hafal skrip

ARTIKEL BERKAITAN: Rafi berdebar Agong, Permaisuri nak mai... Skrip dah hafal takut tersasul panggil abang - “Cukuplah dulu terpanggil Tunku Azizah kakak”

“Saya terkilan tidak dapat singgah di warung durian Rafi. Oleh kerana program di Pulau Pinang terlalu padat Rafi jumpa saya di airport dan hadiahkan saya gambar.

“Dan saya telah janji akan pergi bila saya ke sana lagi. Terima kasih di atas hadiah!” tulis Tunku Azizah menerusi akaun Twitternya petang Isnin.

Luahan Tunku Azizah di laman Twitter.

Bercakap kepada mStar, Mohd Rafi terkejut dan amat terharu dengan luahan Tunku Azizah di laman sosial apabila ia mempunyai kaitan dengan dirinya.

Bagaimanapun, dia yang berniaga raja buah sejak lebih empat tahun itu akur dengan kesibukan baginda dek jadual yang padat.

“Tak apa tuanku, saya faham sangat dengan jadual tuanku yang cukup padat. Tapi saya amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya berpeluang untuk berjumpa tuanku di lapangan terbang sebelum tuanku berangkat pulang.

“Tentang hadiah gambar tu, ia sekadar hadiah kecil sebagai penghargaan daripada saya buat tuanku. Saya amat menghargai kunjungan tuanku ke gerai saya yang telah banyak mengubah perjalanan bisnes saya,” katanya kepada mStar.

Mohd Rafi bertuah bertemu Tunku Azizah meskipun jadual baginda begitu padat.

Menurut Mohd Rafi, gerai duriannya di Gurney Drive, George Town semakin dikenali sehingga dikunjungi ramai termasuk pelancong asing.

“Ada yang datang ke gerai saya kerana mengetahui gerai saya dikunjungi tuanku. Ada pelanggan yang sanggup datang dari Singapura ke Pulau Pinang untuk membeli durian di gerai saya,” ujarnya.

Tak apa tuanku, saya faham sangat dengan jadual tuanku yang cukup padat. Tapi saya amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya berpeluang untuk berjumpa tuanku di lapangan terbang 

MOHD RAFI

Pada Ahad, Mohd Rafi mencuba nasib bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, selepas pasangan diraja itu tidak berkesempatan untuk mengunjungi gerai duriannya berikutan jadual padat.

Tunku Azizah sebelum ini menyuarakan hasratnya untuk kembali ke gerai Mohd Rafi bagi menikmati durian dalam lawatan ke Pulau Pinang dan kali ini bersama suaminya, Al-Sultan Abdullah.

Lukisan potret yang dihadiahkan oleh Mohd Rafi kepada Tunku Azizah.

Dalam pertemuan singkat selamat lima minit sebelum baginda berangkat pulang ke Kuantan, Pahang itu, Mohd Rafi turut menghadiahkan lukisan potret Tunku Azizah sebagai cenderahati kepada Raja Permaisuri Agong.

Mohd Rafi merupakan peniaga durian yang tular di media sosial kerana memanggil Tunku Azizah dengan panggilan ‘kakak’ ketika baginda singgah membeli durian di gerainya, kira-kira dua tahun lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain