suria

“Sifat berani memang ada dalam darah saya” - Lelaki ini mengaku sempat guna ilmu dalam tempoh 2 saat! Perompak cabut lari, tinggal bahan bukti

Zack bertindak berani melawan perompak di sebuah 7-Eleven pada pagi Ahad.

"BAGAIKAN buku bertemu ruas," begitulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan nasib perompak berparang apabila cubaan jahatnya digagalkan oleh pekerja kedai serbaneka 7-Eleven pada pagi Ahad.

Menerusi kejadian di cawangan 7-Eleven kawasan Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, Muhammad Izzuddin Azman, 24, bertindak melawan perompak itu sehingga dia melarikan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Dengar bunyi orang terlanggar baldi di luar rumah, ibu tunggal kongsi tempoh 15 minit yang sangat menakutkan... perompak ‘umpan’ buka pintu!

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas lawan tarik beg dengan peragut sampai masuk wad kecemasan, wanita ini baru tahu dia sedang hamil... ini pesanannya buat lelaki berjaket hitam!

"Ini kali pertama berlaku sepanjang setahun saya kerja 7-Eleven. Masa tu syif saya baru nak berakhir, tengah kira duit.

"Tiba-tiba perompak tu masuk, dia gertak suruh saya masukkan semua duit dan rokok dalam sebuah beg.

"Saya keluar dari kaunter, baru perasan dia bawa parang. Dia hayun tapi saya berjaya rampas, saya sepak perut dan kejar sampai luar premis," ujarnya kepada mStar.


Posting mengenai kejadian itu yang dikongsi di Facebook Zack.

Mesra disapa Zack, dia berkata kejadian berlaku terlalu pantas dan perompak itu berjaya melarikan diri apabila seorang lagi rakannya sudah menunggu di atas sebuah motosikal jenis Honda EX5 warna hitam.

"Saya kejar sampai keluar premis dalam 120 meter, kawan dia dah tunggu atas motor.

"Mereka dipercayai suspek sama yang rompak sebuah lagi 7-Eleven berdekatan sebelum ini," kata Zack.

Saya akan pergi kerja seperti biasa, tapi apa yang akan berlaku itu di luar kawalan saya, Allah yang menentukan semuanya.

MUHAMMAD IZZUDDIN AZMAN

PEKERJA 7-ELEVEN

Mengulas tindakan beraninya pada hari kejadian, Zack berkata dia tidak sempat berfikir apa-apa selain mahu menyelamatkan diri sahaja.

Namun, dia juga mengakui pengalaman belajar seni mempertahankan diri suatu ketika dahulu membantu dirinya berdepan situasi itu.

"Sifat berani tu memang ada dalam darah saya, tapi untuk pertahankan diri saja. Saya pernah belajar ilmu silat dan Muay Thai. Saya cuba guna ilmu yang ada dalam tempoh dua saat tu.

"Bila saya pegang parang tu, dia terus tak boleh kawal dan larikan diri. Parang tu sangat tajam," katanya lagi.

Zack bertindak mengejar perompak itu sehigga ke luar premis.

Menurut Zack, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju pada pukul 9.30 pagi, Ahad.

Selain parang, beg serta baju yang digunakan sebagai topeng muka perompak itu turut tercicir di tempat kejadian.

Menurut anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan itu, dia tidak trauma namun sedikit risau seandainya perompak berkenaan berdendam dengannya.

"Takut mereka tak puas hati, hidup saya 50-50, sama ada mereka berjaya ditangkap atau tidak.

Parang, baju yang digunakan sebagai topeng muka serta beg milik perompak tertinggal di lokasi kejadian.

"Saya akan pergi kerja seperti biasa, tapi apa yang akan berlaku itu di luar kawalan saya, Allah yang menentukan semuanya.

"Harap ini kejadian pertama dan terakhir dalam hidup saya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, rakaman kejadian rompakan itu turut menjadi tular di laman Facebook.

Selain memuji keberanian Zack, ramai netizen meluahkan rasa syukur apabila dia tidak cedera diapa-apakan perompak berkenaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain