suria

Berat nak lepas suami masuk pertandingan memancing, isteri teringin ke Paris minta isi borang permohonan dulu - “Alahai... macam buaya darat pula”

(kiri) Haiqal begitu minat memancing. (kanan) Isteri Haiqal membuat kejutan gara-gara mahu memancing di pantai buat pertama kali. Foto ihsan Muhammad Haiqal Affan

DALAM hidup berumah tangga, suami isteri perlu menghormati antara satu sama lain termasuk meminta izin daripada pasangan masing-masing.

Namun percaya atau tidak, seorang suami perlu memohon kebenaran daripada isterinya untuk pergi memancing serta mengisi borang permohonan!

Gambar tersebut dikongsikan di aplikasi story WhatsApp, menunjukkan borang yang perlu dinyatakan lokasi dan sebab memancing dalam 10 perkataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan gimik! Nak bagi satu je, tapi suami beli 9 iPhone 11 Pro suruh isterinya pilih yang paling suka - “Saya sendiri guna enam phone...”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sedih tertinggal telekung pink belacan di R&R, suami sanggup susahkan diri bantu - “Boleh ganti baharu, tapi bagi dia tak sama”

Suami berkenaan, Muhammad Haiqal Affandi, 28, berkata, dia telah meminta izin isterinya untuk menyertai pertandingan memancing di Pantai Puteri, Melaka yang diadakan pada Ahad.

Haiqal dikejutkan dengan borang minta izin memancing daripada isteri.

Dia bagaimanapun memberitahu bahawa hasrat tersebut telah dikemukakan kepada isterinya kira-kira dua minggu lebih awal.

“Bila saya minta izin, isteri kata nanti dulu. Dia memang terkejut apabila saya beritahu nak masuk pertandingan memancing di pantai.

“Mula-mula dia tak percaya sebab selama ini saya hanya memancing di kolam-kolam dan tak pernah masuk mana-mana pertandingan memancing,” katanya kepada mStar.

Isteri Haiqal seorang yang memahami minatnya memancing.

Haiqal yang berasal dari Johor Bahru, Johor berkata, isterinya kemudian bersemuka dengannya sebelum memberikan sekeping borang untuk diisi.

“Saya terkejut apabila dapat borang tu, pada masa sama nak gelak pun ada. Saya tanya mana dapat borang tu, dia beritahu borang tu dapat dari internet.

“Isteri tanya lagi betul ke saya nak pergi memancing di pantai, atau sebenarnya nak ‘memancing’ di darat. Alahai macam ‘buaya darat’ pula,” katanya.

Haiqal menunjukkan ikan siakap seberat 3.6 kilogram yang ditangkapnya awal bulan ini.

Dia yang menetap di Taman Limbongan Permai, Melaka bagaimanapun 'melayan' permintaan isterinya dan mengisi ‘borang permohonan’ tersebut dengan lengkap.

“Saya tertarik untuk masuk pertandingan memancing ni buat pertama kali sebab hadiah juaranya begitu lumayan berupa wang tunai RM70,000, banyak tu!

“Jadi, saya bagi sebab kalau menang duit sebanyak tu, saya berjanji nak bawa dia pergi bercuti ke Paris di Perancis. Saya tahu isteri teringin sangat nak ke Paris.

“Isteri apa lagi, terus setuju. Bukan setakat lulus, isteri siap nak temankan saya lagi pergi pertandingan tu. Sepatutnya dia bekerja, tiba-tiba cuti pula,” ujarnya sambil menambah dia dan isteri baru berkahwin pada Oktober lalu.

Bukan setakat lulus, isteri siap nak temankan saya lagi pergi pertandingan tu. Sepatutnya dia bekerja, tiba-tiba cuti pula.

HAIQAL

Haiqal bagaimanapun menegaskan bahawa dia bukanlah seorang suami yang takut isteri dan faham borang tersebut sekadar usikan manja daripada isterinya.

“Saya bukan takut bini, tapi bini yang tak takut saya. Isteri bukan kaki cemburu, tapi dia sangat garang, lagi garang daripada singa yang lapar nak makan,” katanya secara berseloroh.

Haiqal dan isterinya baru berkahwin pada Oktober lalu.

Walaupun garang, Haiqal yang menyediakan khidmat servis untuk penapis air memberitahu, isterinya seorang yang memahami dan amat menyokong minatnya.

“Dari sebelum kahwin pun dia seorang yang faham kegilaan saya memancing. Macam pertandingan buat pertama kali ni, tak ada rezeki untuk menang sebarang hadiah.

“Isteri kata tak apa, cuba lagi pertandingan yang lain pula. Semoga kami dimurahkan rezeki dan kalau menang nak bawa isteri pergi Paris sebab sejak kahwin, kami belum pergi honeymoon lagi,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain