IBU mana yang sanggup melihat anak menderita sakit, apatah lagi pada usia yang kecil. Begitulah kisah yang dilalui wanita ini apabila anak sulungnya didiagnosis menghidap penyakit kanser Ewing Sarcoma pada tahap empat. ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal ARTIKEL BERKAITAN: Jari tumbuh ketulan kecil sejak usia 8 bulan, ibu tak sanggup lihat si kecil kudung... anak selalu tanya “mama, bila nak potong?” Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang dikenali sebagai Norazilawati Che Ahmad ini berkata, penyakit tersebut mula dikesan selepas anak sulungnya, Aliff Haikal Ayob mengalami patah bahu kiri. Alif ketika diusung keluar selepas selesai menjalani pembedahan memotong tangan sebelah kiri. “Ketika kejadian pada penghujung tahun 2015 itu, Aliff berusia enam tahun. Kanak-kanak biasalah, dia bermain. Hendak dijadikan cerita, dia terjatuh dan bahunya patah. “Selepas simen di bahunya dibuka, ada nampak bengkak sedikit. Doktor beritahu tulang yang patah itu tercucuk isi, sebab tu membengkak. Namun beberapa bulan kemudian, bengkaknya semakin besar. “Doktor kemudian ambil sampel isi untuk tahu mengenai puncanya. Sehinggalah pada penghujung tahun 2016, Aliff didiagnosis menghidap kanser Ewing Sarcoma yang menyebabkan tangannya terpaksa dipotong,” ujar ibu muda berusia 28 tahun ini. Ewing Sarcoma adalah kanser yang kebanyakannya berasal dari tulang namun ia juga boleh berasal dari tisu. Bahagian yang kerap berlaku adalah di tulang kaki, tangan, pinggul, tengkorak dan tulang belakang. Tisu-tisu lain yang kerap berlaku pula adalah di dada, tangan, kaki, kepala, leher dan di dalam abdomen. Kanser ini kebiasaanya berlaku pada kanak-kanak. Menurut Norazilawati, ketika dimaklumkan bahawa tangan anak sulungnya itu terpaksa dipotong, hati kecilnya terlalu berat untuk menelan kenyataan pahit itu. Sungguhpun menghidap kanser tahap empat, Alif seorang yang ceria seperti kanak-kanak lain. Dugaan dirasakan terlalu berat apatah lagi ketika itu dia sedang sarat mengandung anak kedua, ditambah pula memikirkan masa depan Alif kelak. “Memang terlalu berat dugaan ketika itu. Saya suri rumah, suami pula hanya bekerja kilang. Dengan keadaan Aliff yang sakit dan terpaksa berulang alik ke hospital, saya pula sarat mengandung memang sukar. “Ketika diberitahu tangan Aliff terpaksa dipotong, sukar nak terima. Iyalah, saya melahirkannya dengan sempurna dan cukup sifat tetapi tiba-tiba terpaksa dipotong. Doktor beritahu tiada cara lain, selepas kemoterapi yang paling kuat pun masih tak berjaya. “Pada awal nak beritahu Aliff mengenai perkara itu, saya sedih juga. Tapi kami beritahu dia elok-elok. Saya beritahu kepadanya ‘Aliff, nanti Allah nak pinjam sekejap tangan Aliff. Nanti Dia bagi balik’. Aliff kecil lagi masa itu, dia dapat terima apa yang dikatakan. Malah dua tiga hari selepas pembedahan, dia sudah boleh berjalan. “Saya lihat keadaannya, dalam hati berkata, ‘anak aku memang seorang yang kuat, jadi aku kena kuat untuk dia’,” cerita wanita yang berasal dari Pulau Pinang ini. Potret keluarga Norazilawati bersama suami, Mohd Ayob dan dua anaknya, Aliff (bertopi) dan Adam Harraz. Bercerita lebih lanjut, Norazilawati berkata sel kanser tersebut kini menyerang paru-paru Aliff dan anaknya yang kini berusia 10 tahun itu perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di organ tersebut. “Ketumbuhan di paru-paru Aliff berukuran 6 cm. Belum lagi ada tarikh pembedahan, dan Aliff kini mendapatkan rawatan susulan sekerap tiga hingga empat kali sebulan. Mungkin pembedahan itu bulan depan, namun mudah-mudahan dapat dilakukan dengan segera. “Sungguhpun sakit dan tinggal hanya sebelah tangan, Aliff aktif, suka main basikal, dan selalu berjemaah di surau waktu Maghrib. Dari segi pendidikan, kami hantar dia di sekolah pendidikan khas. Kawan-kawan dia OK, hanya beberapa kali saja dia pernah mengadu diejek. Saya kata, usah balas dan sentiasa beri kata sokongan padanya,” ujar wanita ini. Ketika diberitahu tangan Alif terpaksa dipotong, sukar nak terima. Iyalah, saya melahirkannya dengan sempurna dan cukup sifat tetapi tiba-tiba terpaksa dipotong. NORAZILAWATI CHE AHMAD IBU Tambah Norazilawati, dia banyak mengumpul kekuatan daripada anaknya sendiri dan juga beberapa wanita lain yang turut sama menjaga anak mereka yang sakit ketika sama-sama ‘berkampung’ di dalam wad pediatrik sebelum ini. “Masa jaga Aliff, saya berkampung dua bulan lebih di hospital. Ketika itu banyak bersembang dengan ibu-ibu lain yang menjaga anak mereka. Ada yang sakit lebih teruk daripada Aliff. Dari situ kami saling berkongsi cerita dan berikan semangat antara satu sama lain. “Apa yang saya boleh kongsikan, jika anak sakit, jangan anggap dia sakit. Kita kena lawan perasaan sedih. Jika kita sedih, nanti dia pun sedih. Dalam pada itu, saya juga nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang berikan sumbangan kepada kami. Alhamdulillah, terasa ringan bebanan yang ditanggung. Hanya Allah saja mampu membalasnya,” akhiri wanita ini.