“BILA anggap diri kita susah, rupanya ramai yang lebih susah” Demikian komen yang dilontarkan oleh netizen yang tersentuh hati dengan perkongsian seorang pelayar Facebook, Mohd Fadli Salleh mengenai kesempitan hidup sepasang suami isteri yang ditemuinya baru-baru ini. Menerusi satu posting di Facebook, Mohd Fadli berkata, pasangan suami isteri itu sanggup menaiki motor dari Seri Kembangan ke Gombak di Selangor semata-mata mahu mendapatkan bantuan daripadanya. ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkejut jumpa ‘duit balut’ ketika tolong bapa kira sumbangan tabung masjid - “Memang tiap-tiap minggu selalu ada dia ni” ARTIKEL BERKAITAN: Kurang 48 jam menjelang Deepavali masih tiada baju mahupun lauk raya, akhirnya keluarga India ini tersenyum - “Dia tak minta, aku yang cari” Mohd Fadli yang menguruskan Pertubuhan Kebajikan Danakita dan giat membantu golongan kurang berkemampuan berkata, apa yang menyedihkan, pasangan suami isteri itu turut membawa dua anak kecil mereka bersama untuk mendapatkan sekampit beras dan susu bayi. “Sepasang suami isteri dari Seri Kembangan sanggup meminjam motor orang cari aku di Gombak, bawa dua anak kecil atas pangkuan demi sekampit beras dan susu anak. “Datang ke mari dengan duit di poket cuma RM2.80 sahaja. Itu sahaja yang tersisa. Langsung tiada baki. “Aku hulur troli, suruh dia ambil barang keperluan. ‘Boleh ke ambil ubat gigi dan sabun mandi, cikgu?’ soalnya. Aku anggukkan kepala sahaja,” tulis Mohd Fadli dalam perkongsiannya. Posting Mohd Fadli yang menceritakan kisah sepasang suami isteri yang ditemuinya baru-baru ini. Menurut Mohd Fadli, mereka mengetahui mengenai kegiatan amal yang dilakukannya menerusi Facebook. “Dia datang guna Google sahaja ke tempat ini, sampai Jalan Pahang, bateri habis. Singgah kedai mamak caj telefon sebentar sebelum teruskan perjalanan mencari aku,” tulis guru ini lagi. Sejurus selesai membantu pasangan itu membeli barang keperluan, Mohd Fadli berkata, dia kemudian mempelawa mereka menikmati makanan di sebuah restoran berdekatan untuk mengisi perut. Mohd Fadli menguruskan Pertubuhan Kebajikan Danakita dan giat membantu golongan kurang berkemampuan. “Tapi dia enggan makan di kedai, sebab katanya ada dua lagi anak kat rumah mesti lapar, jadi saya bungkus saja. “Rupa-rupanya masih ada dua anak usia lima dan empat tahun di rumah. “Kami duduk berdepan dan nasihatkan banyak perkara, tentang pengurusan kewangan, tinggalkan aktiviti tak berfaedah yang membazirkan wang dan pentingnya merancang keluarga,” tulis cikgu itu. Dia datang guna Google sahaja ke tempat ini, sampai Jalan Pahang, bateri habis. Singgah kedai mamak caj telefon sebentar sebelum teruskan perjalanan mencari aku. MOHD FADLI SALLEH GURU Menurut Mohd Fadli, si suami hanya bekerja di sebuah pusat mencuci kereta berdekatan rumahnya dengan gaji purata RM1,500 sebulan dan tidak boleh bekerja di tempat yang jauh memandangkan tidak mempunyai kenderaan. Dengan gaji sebanyak itu, mereka perlu menyuap empat anak yang kesemuanya masih kecil. Usai pertemuan penuh menyentuh hati itu, Mohd Fadli kemudian memesan sebuah kereta menerusi perkhidmatan e-hailing kerana tidak sampai hati membiarkan empat beranak itu menaiki motosikal. Antara komen netizen yang memuji pendekatan Mohd Fadli membantu golongan berkemampuan. “Isteri dan anak-anak naik grab, suami follow dengan motor dari belakang. Hidup ini tidak selamanya kita senang. Kadang bukan kita tidak usaha, namun itu takdir kita. “Jika tiada yang peduli, jika tiada yang pesan, jika tiada yang hulurkan bantuan, nasib mereka akan terus terumbang ambing. Aku tidak mampu bantu semua orang. Namun semua orang mampu membantu seseorang. “Sekurang-kurangnya kita cuba membantu sesiapa sahaja semampu kita tanpa syarat. Kita takkan tahu bila kita perlu bantuan orang kerana hidup ini penuh dengan rahsia Tuhan. Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna,” tulisnya. Sehingga kini, posting tersebut meraih sehingga 1,600 shares selain dibanjiri dengan komen netizen yang memuji pendekatannya.