LUCU namun semestinya takkan dilupakan sampai bila-bila. Itulah yang dialami oleh sepasang pengantin apabila majlis pernikahan mereka yang dilangsungkan pada sebelah malam hanya diterangi lampu suluh dan telefon bimbit, gara-gara bekalan elektrik terputus. Berkongsi cerita bersama mStar, Nur Fazlina Abdullah berkata, kejadian ‘blackout’ itu berlaku sebanyak dua kali pada malam tersebut menyebabkan seluruh rumahnya yang terletak di Bagan Datok, Perak, diselubungi cahaya malap. ARTIKEL BERKAITAN: Majlis terganggu, juruvideo ‘bad mood’ lensa kamera dijadikan gelas sirap, tak lama kemudian jadi makanan semut - “Mak dia langsung tak minta maaf” ARTIKEL BERKAITAN: 9 tahun tunggu, bekalan elektrik terputus malam pernikahan... Pengantin 'on' nikah, “kami dah sedia, tak kisahlah blackout pun” “Sebenarnya pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah keluarkan notis awal memaklumkan bekalan elektrik akan mengalami gangguan pada 12 Januari (Ahad). Majlis pernikahan kami berlangsung pada malam sebelumnya di rumah keluarga saya. “Ingatkan bekalan elektrik mengalami gangguan pada tarikh yang dinyatakan iaitu keesokannya, tak sangka malam tu gangguan berlaku. Tapi mujur juga kami sudah diijabkabulkan sebelum bekalan terputus. “Ia berlaku ketika saya sedang mahu menandatangani borang dan dokumen nikah. Masa tu memang terkejut sebab tiba-tiba gelap. Mujur ada lampu suluh dan tetamu pun tolong buka lampu telefon bimbit masing-masing,” ujarnya ketawa kecil. Tetamu turut membantu membuka lampu daripada telefon bimbit masing-masing. Gara-gara keadaan itu, wanita berusia 30 tahun ini menjadi mangsa usikan nakal para tetamu. “Biasalah, tetamu tak lepaskan peluang untuk mengusik. Kawan-kawan suami terutama yang lelaki siap cakap sudah sah, gelap pula, memang mereka sengaja nak bagi chancelah ni. Tetamu lain pun gelak sekali,” ujarnya. Menurut Fazlina, bekalan elektrik pulih tidak berapa lama kemudian namun disebabkan bimbang kejadian itu berulang, dia dan suami mengambil kesempatan itu untuk terus mengadakan sesi penggambaran di pelamin. Insiden blackout pada malam majlis pernikahan Fazlina turut dikongsikan oleh jurufoto mereka, Mohamad Ruzairin di Facebook. “Kami berkejar buat photoshoot masa bekalan elektrik dah pulih sebab takut bergelap lagi, nanti susah pula nak bergambar. Sampai tak sempat nak jamah makanan selepas nikah tu. “Memang benar bekalan elektrik terputus lagi buat kali kedua. Masa itu terdengar makcik-makcik dekat dapur menjerit. Ketika itu kami sedang bergambar lagi. Kalau ikutkan, memang susah juga nak shoot sebab pencahayaan kurang. “Tapi dengan pengalaman jurufoto yang merupakan rakan saya, Mohamad Ruzairin Ghazali, kami letakkan sepenuh kepercayaan kepadanya. Pandailah dia nak edit bagi gambar tu cantik nanti,” katanya yang merupakan anak kelapan daripada 10 adik beradik. Dalam enam majlis perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga kami, majlis sayalah yang paling rare dan lucu gara-gara bekalan elektrik terputus sewaktu majlis nikah. NUR FAZLINA ABDULLAH PENGANTIN PEREMPUAN Dalam pada itu kata Fazliana, memandangkan gangguan bekalan elektrik berlaku pada 12 Januari iaitu ketika majlis persandingannya, keluarganya sudah memaklumkan pihak TNB lebih awal dan membuat permintaan untuk dibekalkan generator sepanjang majlis berlangsung. “Pihak TNB beri kerjasama yang baik. Mereka tak beri generator tapi ‘skip’ laluan bekalan ke rumah saya, maknanya bekalan elektrik di kawasan rumah keluarga saya tetap ada seperti biasa. “Cuma sekali sahaja elektrik terputus iaitu selepas kami bersanding. Lagipun kami juga sudah membuat persediaan lebih awal andai kata berlaku perkara di luar jangkaan, jadi tak ada masalah sangat. Cuma panas sikit dan berpeluh-peluh sebab dah petang dan nak mula berkemas apa yang patut. Tapi gangguan pulih tidak lama selepas itu,” katanya. Gangguan bekalan elektrik turut berlaku ketika majlis persandingan Fazlina keesokannya namun pulih tidak lama kemudian. Dalam pada itu kata Fazlina, insiden tersebut bukan sahaja tidak akan dilupakan oleh dia dan suami, bahkan oleh seluruh ahli keluarganya. “Dalam enam majlis perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga kami, majlis sayalah yang paling rare dan lucu gara-gara bekalan elektrik terputus sewaktu majlis nikah. “Namun saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar. Lucu bila teringat kejadian itu,”ujarnya mengakhiri bicara.