SEBUT sahaja lipas, pastinya masing-masing berasa geli, terutama bagi mereka yang 'alergi' dengan serangga itu. Itu belum lagi jika terlihat kelibat serangga berkaki enam itu melintas di depan mata, pasti golongan penakut lipas akan lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri. Pendek kata, pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang takut lipas agar tidak bertembung dengan serangga berwarna coklat gelap itu. ARTIKEL BERKAITAN: Serik! Masa hantar montel, apabila ambil dah kurus dan lemah – “Ada seekor lagi struggle untuk hidup... tapi saya tak mau tutup periuk nasi orang” ARTIKEL BERKAITAN: Si bulus merajuk gara-gara tuan terpicit ‘berlian’ masa mandi, terus tak nak keluar bilik air – “Mia datang dekat pun tak layan” Menerusi satu perkongsian seorang gadis di Twitter, dia mendedahkan kaedah pelik yang dilakukan oleh salah seorang rakannya untuk menghalang serangga itu daripada memasuki bilik tidur. “Gais tengok roomate aku ni susun ubat gegat supaya lipas tak masuk bilik,” tulis gadis itu dalam perkongsian tersebut sambil memuatnaik beberapa keping gambar bagi menceritakan situasi berkenaan. Perkongsian tersebut menjadi tular sehingga meraih 7,400 retweet dan lebih 10,000 likes, dengan netizen menyifatkannya sebagai tindakan yang lucu. Perkongsian seorang gadis mengenai gelagat pelik rakannya yang menyusun ubat gegat di muka pintu untuk menghalang lipas . Bagaimanapun, ada segelintir netizen yang memberikan komen negatif berbaur sindiran kerana menyifatkan rakan gadis tersebut tidak menggunakan logik akal. “Lipas senyum je tengok ni,” komen seorang netizen. “Last last lipas tu terbang je masuk bilik hahaha,” kata netizen yang lain pula. Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang mahu dikenali sebagai Anis Izati itu menjelaskan bahawa tindakan rakannya itu berlaku secara spontan selepas dia terlihat kelibat seekor lipas di ruang tamu rumah sewa mereka. Rumah yang disewa gadis ini bersama tiga lagi rakannya sememangnya mempunyai banyak lipas kerana sudah lama tidak berpenghuni. “Saya dan rakan, Izzah bersama dua yang lain baru saja menyewa rumah itu sejak awal bulan ini kerana menjalani latihan industri di sebuah hotel di Shah Alam. Sebenarnya rumah itu sudah lama tidak berpenghuni, jadi memang ada lipas. “Masa kami mula-mula masuk, lagi banyak lipas. Ibu kepada salah seorang rakan serumah ada beli ubat gegat. Kebetulan masa malam tu, Izzah yang sedang berada di ruang tamu terlihat kelibat seekor lipas sedang berjalan. “Dia menjerit sambil meminta ubat gegat. Bila dah dapat, secara spontan dia terus susun ubat gegat itu di muka pintu biliknya, kononnya nak halang lipas masuk. “Kami ketawa juga lihat gelagat spontannya tapi sebab masa itu dia nampak lipas sedang berjalan, sebab itu dia susun. Tapi sebenarnya dia tahu lipas boleh terbang, cuma itu tindakan refleks,” kata gadis ini. Dia menjerit sambil meminta ubat gegat. Bila dah dapat, secara spontan dia terus susun ubat gegat itu di muka pintu biliknya, kononnya nak halang lipas masuk. ANIS IZATI RAKAN Menurut gadis itu yang senang disapa Anis, keempat-empat penghuni rumah sewa itu termasuk dirinya sememangnya takut dengan serangga berkenaan. “Tak ada yang berani, kalau terdesak, sayalah yang akan melibas lipas dengan penyapu. Tapi sebenarnya, ada saja benda lain dekat rumah untuk halau lipas seperti penyembur serangga dan pewangi. Sekarang dah kurang sikit dah lipas,” ujar penuntut jurusan bakeri dari sebuah kolej vokasional ini. Antara komen netizen terhadap perkongsian gadis tersebut. Ujarnya, dia juga tidak menyangka perkongsian yang dibuat untuk tujuan suka-suka itu menjadi tular malah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen. “Tapi mujur kawan saya okay saja walaupun ada komen-komen negatif. Dia tak ambil hati pun, malah anggap komen sedemikian sebagai gurauan. Tapi banyak juga komen positif, malah siap mencadangkan kaedah berkesan untuk menghalau lipas. “Tapi bagi saya, tak perlulah nak beri komen negatif jika tak tahu situasi sebenar. Lagipun ia benda lucu, tak perlu nak ambil serius,” katanya mengakhiri bicara.