suria

Dari baki berbelas ringgit, kini transaksi wang masuk akaun disekat... pemuda bantu pasangan OKU akui kuasa viral - “Mereka tak perlu ke Hospital Ampang lagi”

Kisah sepasang suami isteri OKU ini menjadi tular selepas dikongsi oleh Zairul di media sosial. Foto: Twitter ZairulEizam

“PERTOLONGAN saya ini hanyalah pertolongan yang kecil sahaja”

Demikian kata seorang pemuda, Zairul Eizam Abdul Rahman selepas perkongsiannya mengenai kisah hidup sepasang suami isteri dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di media sosial baru-baru ini, menjadi tular sehingga mendapat perhatian ramai termasuk daripada kalangan artis.

Sambil merendah diri, Zairul berkata tujuannya membuat perkongsian berkenaan hanyalah sekadar menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai insan yang kurang bernasib baik dan perlu dibantu agar sama-sama beroleh ganjaran pahala.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah terima sedekah, Tok Bibah jual botol kosong, barang lusuh cari rezeki... mampu hantar anak angkat masuk universiti!

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan OKU ini melekat depan TV tiap malam gara-gara si Puteri Sweet Dreams, "Tergelak tengok scene Mira Filzah buat bahasa isyarat tak tepat"

“Tujuan saya buat posting di media sosial mengenai mereka adalah supaya orang ramai dapat baca sekali gus membantu meringankan beban keluarga ini. Mereka mungkin asbab untuk kita berkongsi pahala.

“Syukur pada semua yang beri bantuan, dari segi kewangan mahupun retweet posting tersebut. Saya tidak tahu siapa yang retweet, tahu-tahu saja dah viral. Alhamdulillah, tujuan dan tanggungjawab saya ‘sampai’,” katanya yang merupakan Jurulatih Media Sosial dan Koordinator Program di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Zairul berkongsi kisah mengenai pasangan suami isteri OKU itu menerusi satu bebenang di Twitter.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada lewat petang Rabu lalu, Zairul berkata ketika itu dia sedang menunggang motosikal melalui Lebuh Raya Guthrie, sebelum terperasan ada sebuah motosikal yang ditunggang secara tidak stabil.

Ketika berhenti dan menghampiri motosikal berkenaan, dia mendapati tayar belakangnya kurang angin.

Apa yang lebih menyentuh hati, motosikal tersebut dinaiki sepasang suami isteri yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran bersama dua anak mereka yang masih kecil.

Nur Ain dan Zubair mengalami masalah pertuturan dan pendengaran.

“Saya sangat sensitif terhadap perkara yang melibatkan bayi, kerana saya juga punya anak. Dalam keadaan motosikal yang kurang angin itu, adalah bahaya untuk menunggang bersama anak kecil.

“Disebabkan itu saya membantu mereka, kami bertukar motosikal, isi angin di stesen minyak dan kemudian ikut sehingga ke rumah. Lebih hiba, dalam komunikasi bersama isterinya yang ditaip di telefon bimbit, mereka ketika itu dari Hospital Ampang selepas selesai buat pemeriksaan pendengaran untuk bayi mereka yang berusia enam bulan,” katanya.

Zairul (kiri) bersama Zubair dan anaknya, Muhammad Ziyad merakamkan foto kenangan selepas membantu urusan bank lelaki berkenaan.

Menurut Zairul, si suami yang bernama Zubair Mohammad, 33, bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah kilang di Sungai Buloh, manakala isterinya, Nur Ain Othman, 29, hanyalah seorang suri rumah.

“Mereka tinggal di sebuah flat kos rendah di Bukit Subang. Kita pasti boleh bayangkan kehidupan keluarga yang tinggal di flat kos rendah. Dua anak mereka iaitu Muhammad Ziyad Wafi, 3, mengalami masalah ‘speech delay’ dan Nur Jannah yang berusia enam bulan, mengalami masalah pendengaran.

Selepas selamat tiba di rumah mereka malam itu, si suami ada berkongsi dengan saya salinan resit Bank Islam, yang mana bakinya hanyalah berbelas-belas ringgit sahaja.

ZAIRUL EIZAM ABDUL RAHMAN

“Selepas selamat tiba di rumah mereka malam itu, si suami ada berkongsi dengan saya salinan resit Bank Islam, yang mana bakinya hanyalah berbelas-belas ringgit sahaja. Sayu rasa hati. Disebabkan itu, saya menyuarakan hasrat untuk menulis satu posting bagi membantu mereka.

“Saya nak tolong dari segi wang, mungkin saya juga tak berduit. Jadi saya minta izin mereka untuk tulis posting di media sosial. Pada mulanya, mereka menolak kerana segan dan enggan menyusahkan orang, namun selepas diterangkan, mereka kemudian akur,” katanya.

Pasangan suami isteri ini tidak perlu lagi berulang alik ke Hospital Ampang untuk membuat pemeriksaan pendengaran bayi mereka, sebaliknya hanya perlu datang ke Hospital Sungai Buloh. 

Sehingga kini posting Zairul di Twitter meraih sehingga 25,200 retweet dan mendapat 16,000 like. Gara-gara perkongsian tersebut juga, pelbagai pihak menghulurkan sumbangan kepada pasangan suami isteri berkenaan untuk meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah, ramai yang bantu. Saya juga sekali lagi sempat membantu mereka bersama-sama adik Zubair pada Jumaat menyelesaikan urusan dengan bank kerana transaction decline gara-gara ramai yang salurkan sumbangan.

“Alhamdulillah, dengan kuasa viral atas izin Allah, saya dapat tahu mereka tak perlu lagi pergi ke Hospital Ampang untuk rawatan susulan bayi mereka, sebaliknya hanya perlu pergi ke Hospital Sungai Buloh sahaja. Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sama-sama membantu, baik dari segi kewangan mahupun tolong sebarkan,” ujarnya mengakhiri bicara.   

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain