suria

Budak tak habis jual perfume tidur di kaki lima, takut bapa marah... pensyarah bongkar kisah sebenar - “Saya ada tiga pilihan saja malam tu”

Kisah mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang menjual minyak wangi sehingga tertidur di kaki lima menjadi tular di selepas dikongsikan Ahmad di Facebook.

“SAYA tak sampai hati, lalu berpatah balik ke arah budak lelaki berkenaan dan mengejutkannya dari lena kerana mahu memberikan sedikit wang. Namun, dia menolak dan berkata dia bukan peminta sedekah.”

Demikian kata seorang lelaki mengulas mengenai postingnya di Facebook berkaitan kisah seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui tertidur di kaki lima berhampiran sebuah kedai serbaneka, baru-baru ini.

Mengimbas kembali peristiwa itu, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia sebelum itu mengunjungi kedai serbaneka berdekatan dengan lokasi hotel dia menginap untuk membeli bateri tetikus (mouse) komputer ribanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah ‘lebihan lauk’ buat pemilik restoran rapat dengan 8 beradik kematian ibu, lebih tragis kini bapa mereka pula koma - “Saya tahu erti kesusahan”

ARTIKEL BERKAITAN: “Sampai basah resit dia” - Ustaz tahan nangis, ibu 6 anak berjurai air mata gara-gara tak mampu bayar yuran

“Minggu lalu saya hadiri kursus dan menginap di sebuah hotel berhampiran Chow Kit. Pada malam Sabtu lalu kira-kira pukul 11.45 malam, saya keluar ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk membeli bateri 'mouse' komputer riba.

“Sebaik sampai saya dah perasan kelibat budak berkenaan. Selesai membeli, saya pun pulang. Tapi separuh jalan, saya tak sedap hati lalu berpatah balik dan masuk kedai itu semula dan bertanyakan perihal budak itu kepada juruwang bertugas.

Posting yang dimuatnaik oleh Ahmad menjadi tular sehingga meraih lebih 1,000 share di Facebook.

“Menurutnya, budak itu memang selalu tidur di hadapan kedai itu dan tinggal tak jauh dari situ. Saya pun keluar, kejutkan budak itu kerana mahu memberi sedikit wang. Tapi dia menolak kerana katanya dia bukan peminta sedekah.

“Katanya, kalau mahu tolong, belilah minyak wangi yang dijualnya. Saya pun beli sekotak minyak wangi dan menghulur juga sedikit wang belanja untuknya,” cerita Ahmad kepada mStar.

Menurut pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuantan, Pahang itu, tindakannya membuat posting mengenai kisah budak lelaki berkenaan di media sosial bertujuan supaya mana-mana pihak boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk menghulurkan bantuan.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen pula terdapat individu yang mendakwa ibu kanak-kanak itu sudah bercerai dengan suaminya dan dia tidak dibenarkan pulang ke rumah oleh bapanya selagi tidak dapat menghabiskan minyak wangi yang dijualnya.

Minyak wangi yang dibeli Ahmad daripada kanak-kanak lelaki berkenaan.

“Saya ada tiga pilihan saja malam itu. Pertama, tengok dan biarkan saja. Kedua, melaporkan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan. Ketiga, upload kisah itu di media sosial.

“Pilihan tindakan pertama, saya rasa paling tidak berperasaan. Pilihan kedua, saya tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan waktu itu sudah jam 12 tengah malam. Dan keesokan harinya pula adalah hari Ahad. 

"Maka pilihan ketiga yang saya ambil dengan harapan semoga akan tampil insan-insan berhati mulia. Langsung tiada niat untuk aibkan mana-mana pihak,” ujar pensyarah berusia 47 tahun ini.

Menurutnya, selepas membuat perkongsian di media sosial, terdapat ramai individu yang menghubunginya menerusi mesej di Facebook.

Saya bukan nak glamour ataupun cari publisiti. Tapi mungkin setiap tindakan kita, ada terselit perkara negatif tanpa kita sedar. 

AHMAD

PENSYARAH

“Ada dua individu yang berusaha mencari budak lelaki berkenaan dan akhirnya dapat menemui budak itu bersama bapanya. Mereka menceritakan kembali kepada saya hasil daripada pertemuan tersebut.

“Dua individu ini bukan daripada mana-mana NGO sebaliknya hanya masyarakat awam yang prihatin. Menurut mereka, budak itu berusia 12 tahun dan tidak berpeluang ke sekolah kerana masalah kewangan. Disebabkan itu dia terpaksa menolong bapanya menjual minyak wangi.

“Hasil perbincangan bersama bapa budak tersebut, dia akhirnya bersetuju untuk memasukkan anaknya ke sebuah sekolah tahfiz. Cuma sekarang, jika confirm dia masuk ke sekolah tahfiz itu, apa yang perlu diusahakan adalah untuk dapatkan sponsor bagi membayar yuran bulanan,” katanya.

Antara komen netizen yang memberi maklum balas terhadap perkongsian Ahmad.

Bukan itu sahaja, menurut Ahmad, tidak kurang daripada 15 individu menghantar mesej kepadanya dan meluahkan hasrat untuk mengambil budak tersebut sebagai anak angkat serta mahu membiayai pendidikannya.

“Alhamdulillah, sungguhpun mendapat kecaman berikutan posting itu, tetapi lebih ramai yang memberikan maklum balas positif. Yang kecam tu, mereka salahkan saya seolah-olah saya membuka aib keluarga kanak-kanak itu.

“Saya tak balas komen-komen negatif itu, kerana saya bukan nak glamour ataupun cari publisiti. Tapi mungkin setiap tindakan kita, ada terselit perkara negatif tanpa kita sedar. Tapi bagi saya, saya hanya serahkan kepada Allah kerana yakin apa yang dilakukan itu dilakukan dengan niat yang ikhlas,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, Ahmad menerusi ruangan komen memaklumkan bahawa kes kanak-kanak lelaki tersebut kini berada di bahawa perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat.    

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan