"MEMANG orang tempatan label sebagai lubuk mayat." Demikian kata seorang guru mengenai tiga pantai di Dungun, Terengganu yang didakwa cukup bahaya kepada pengunjung yang datang untuk mandi-manda di kawasan itu. Menurut Mohd Asri Jusoh, 30, Pantai Teluk Bidara, Teluk Lipat dan Teluk Gadong yang terletak berdekatan antara satu sama lain sudah meragut banyak nyawa dari dulu hingga sekarang. ARTIKEL BERKAITAN: Hilang dihanyut ombak, 4 pelajar politeknik ditemui mati lemas di Pantai Teluk Bidara ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau lemas jangan angkat tangan, buka seluar dulu…” - Teknik elak lemas jurulatih renang buat netizen kagum Terbaharu, empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) meninggal dunia selepas dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Teluk Bidara pada Jumaat lepas. Kata Asri yang berkhidmat sebagai guru di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pahang, dia yang dibesarkan tidak jauh dari pantai berkenaan tidak pernah mandi di lokasi itu. Bercerita lanjut kepada mStar, Asri berkongsi kisah Amin, rakan zaman kecilnya yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Teluk Gadong. Posting Asri yang tular di Twitter. "Tiga pantai ni tak jauh, macam sejajar sahaja. Teluk Gadong misalnya, memang orang tempatan sebut sebagai lubuk mayat. "Ada mitos tangan tarik dari bawah, memang bahaya. Teluk itu sendiri maksudnya dalam dan ada batuan lembut. Ia merupakan dua tanjung yang membentuk teluk, jadi bila ombak tarik, arusnya sangat deras. "Dulu ada kawan saya, umur 10 tahun macam tu, mati lemas. Ia melekat dalam minda saya, dari kecil mak saya pesan tak boleh mandi pantai," ujarnya. Orang sekitar pun tak berani. Sebab itu jugalah saya rasa perlunya kemahiran renang diajar dalam sistem pendidikan di negara kita. MOHD ASRI JUSOH GURU BAHASA INGGERIS Menurut guru bahasa Inggeris itu, masyarakat luar yang datang ke Terengganu mungkin tidak peka dengan keadaan itu. Malah katanya, keadaan pantai juga kadang-kala kelihatan tenang biarpun masih lagi dalam musim monsun, sekali gus memberi kekeliruan sehingga mereka mandi-manda tanpa menyedari bahaya menanti. "Orang luar tak tahu, nampak pantai tenang, cuaca cerah. Tapi ombak dan angin kuat sebenarnya. Orang ramai berada di pantai untuk mengikuti perkembangan kehilangan empat pelajar pada Jumaat lalu. FOTO: BERNAMA "Sebab itu pulau pun biasanya tidak dibuka untuk kedatangan pelancong dari November hingga Mac. Ia nampak tenang pada pandangan mata, tapi kita tak tahu. "Dua tahun lepas, ada satu keluarga dari Sabah mandi di Pantai Teluk Lipat. Ayah dan anak lemas kalau tak silap. Mayat mereka ditemui jauh di Kerteh, lebih kurang 30 hingga 40 kilometer. Ombak teramat deras. Itu bahayanya mandi pantai di Dungun. Asri mengakui kematian sahabatnya dikenali sebagai Amin membuatkan dia tidak pernah mandi pantai sehingga hari ini. "Orang sekitar pun tak berani. Sebab itu jugalah saya rasa perlunya kemahiran renang diajar dalam sistem pendidikan di negara kita," ujarnya lagi. Sehingga kini, posting Asri di Twitter menerima lebih 14,300 ulang kicau (Retweet). Dia berkongsi kisah itu demi mendidik masyarakat selepas berlakunya tragedi melibatkan empat pelajar pada Jumaat lalu. Empat pelajar hilang di Pantai Teluk Bidara pada Jumaat sebelum ditemui meninggal dunia pada Ahad. Menerusi laporan mStar, empat pelajar politeknik yang dihanyut ombak pada Jumaat ditemui meninggal dunia pada Ahad. Mangsa yang terkorban adalah Mohamad Amir Izzudin, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee. Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, mereka dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.