SELEPAS 42 hari bapa tercinta meninggal dunia, giliran ibunya pula menyusul menghadap Ilahi sekali gus menjadikan remaja ini hilang kedua-dua insan tersayang. Menurut Abdul Qayyuum Abdul Rahim, 22, sukar untuk dia menerima hakikat pemergian itu yang berlaku dalam tempoh cukup singkat. Bapanya, Abdul Rahim Ja’apar, 73, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 6 Disember lalu manakala ibunya pula, Aminah Ahmad, 65, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada Sabtu lalu. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa dia boleh sembuh…” - Suami terkilan baju raya ditempah untuk isteri hanya tinggal kenangan ARTIKEL BERKAITAN: Kisah ‘lebihan lauk’ buat pemilik restoran rapat dengan 8 beradik kematian ibu, lebih tragis kini bapa mereka pula koma - “Saya tahu erti kesusahan” "Memang sedih dan susah nak terima hakikatnya tapi Allah itu maha kaya, saya percaya semua yang jadi ada hikmah sebaliknya. "Tapi saya perlu fikir positif dan terus kuatkan semangat. InsyaAllah ada benda lebih baik untuk saya dan abang-abang saya di masa hadapan," ujarnya sewaktu dihubungi mStar. Menurut Qayyuum, dia dilahirkan dan membesar di Boon Lay, Singapura, namun ibunya berasal dari Pantai Remis, Perak. Posting Qayyuum yang tular di Twitter. Malah, arwah ibunya juga sempat pulang ke kampung halaman di Malaysia baru-baru ini sebelum dia meninggal dunia. Paling sedih kata pelajar ITE College West itu tentunya kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang bakal bakal disambutnya pertama kali tanpa kedua ibu bapa. "Memang rasa kekosongan tanpa mereka, tapi mujur ada abang-abang untuk menyambut hari yang istimewa dan bulan yang mulia. InsyaAllah dapat sambut dengan saudara mara yang lain. Ibu menghembus nafas terakhir di depan kami bertiga dan kami rasa puas apabila melihat ibu pergi secara tenang. ABDUL QAYYUUM ABDUL RAHIM PELAJAR "Nak nangis pun dah tak guna, mereka pergi kerana Allah lebih menyayangi mereka. Mungkin ibu rindukan ayah sangat hingga ibu pergi untuk mencari ayah di sana. "Memang susah nak percaya mereka pergi begitu cepat tetapi InsyaAllah saya akan bertemu dengan mereka lagi di sana," ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu. Menurut Qayyuum lagi, keadaan kesihatan ibunya merosot selepas kematian bapanya. Potret kenangan ibu bapanya yang akan menjadi tatapan Qayyuum sampai bila-bila. Sepanjang tempoh itu juga, ibu Qayyuum sering menitipkan pesanan agar mereka bertiga teguh sebagai adik beradik tanpa sebarang sengketa. "Ibu selalu pesan, bukan senang untuk jadi senang, jadi haruslah bekerja keras untuk apa yang kami mahu, maklumlah kami ini pun bukan orang senang. "Ibu ayah memang rajin berkerja sejak kami kecil lagi. Alhamdulillah kami bertiga dibesarkan dengan cukup makan dan minum walaupun hidup kami taklah senang mana. Biarpun sedih, Qayyuum reda atas pemergian dua insan penting dalam tempoh singkat. "Ibu juga tahu yang dia akan pergi suatu hari nanti, dia sering mengatakan kepada kami supaya terus bekerjasama sebagai adik-beradik. "Ibu menghembus nafas terakhir di depan kami bertiga dan kami rasa puas apabila melihat ibu pergi secara tenang," ujarnya lagi. Tambah Qayyuum, sebagai anak dia juga bersyukur apabila berpeluang memandikan jenazah kedua ibu-bapanya tempoh hari. Bapa Qayyuum meninggal pada 6 Disember lalu manakala ibunya meninggal pada Sabtu lalu. Jelasnya, ia seolah-olah mengimbas kenangan dimandikan oleh kedua ibu bapanya sewaktu masih kecil. "Antara kenangan yang tak akan dapat dilupakan seperti cara mereka didik dan membesarkan kami bertiga," katanya lagi. Sehingga kini, posting Qayyuum mengenai kisah duka itu menerima lebih 7,000 perkongsian netizen. Malah, ramai yang turut meninggalkan komen serta ucapan takziah atas kehilangan itu.