suria

Selepas ibu meninggal, anak terjumpa kata-kata istimewa arwah, dah 19 tahun dicetak dalam tesis - “Itulah kali pertama saya dapat tahu”

Gambar kenangan Muhammad Irfan bersama arwah ibunya.

TERKEJUT dan sebak! Itulah perasaan seorang pemuda apabila terjumpa tesis arwah ibunya yang disiapkan kira-kira 19 tahun lalu.

Kata-kata istimewa Noridah Samat dalam tesisnya yang berbunyi "To my son Muhammad Irfan Izzudin, this book is specially dedicated to you" ternyata meruntun hati anak sulungnya itu tatkala membacanya.

Kisah tersebut dikongsi Muhammad Irfan Norhisham menerusi satu bebenang di Twitternya sehingga mendapat 14,000 ulang kicau dan 24,500 tanda suka.

ARTIKEL BERKAITAN:“Ini semua untuk mama” - Gagal tunaikan permintaan ketika hayat, keluarga ini tetap sewa rumah impian selepas 9 bulan ibu tiada

ARTIKEL BERKAITAN: "Hanya pulang pegang tangan arwah" - Anak ziarah jenazah ibu sebaik sedar dari koma, tenang 'tonton' pengebumian dari hospital

Pemuda berusia 21 tahun itu berkata tesis arwah ibunya yang juga pakar sakit puan itu ditemui ketika dia sedang mengemas rumahnya baru-baru ini.

"Tengah kemas rumah saya terjumpa satu kotak. Dalam tu ada gambar ibu graduate (peringkat master) dan itulah kali pertama saya dapat tahu pasal tesis dia.

Kata-kata arwah ibunya dalam tesis yang ditulis kira-kira 19 tahun lalu meruntun hati Muhammad Irfan.

"Sebelum ni ibu tak pernah cerita pasal tesis dia cuma kami adik-beradik tahu dia sambung belajar je.

"Tesis tu ibu buat tahun 2001. Waktu tu umur saya dua tahun dan masa tu arwah ibu tengah sambung belajar peringkat sarjana dalam bidang sakit puan," katanya kepada mStar.

Menurut Muhammad Irfan hatinya tiba-tiba sayu apabila membaca kata-kata istimewa arwah yang ditujukan kepada dirinya sewaktu menyiapkan dokumen itu.

Saya memang rapat dengan ibu. Bila tak dapat jumpa dia buat kali terakhir tu memang saya terkilan sangat-sangat, tapi saya bersyukur kerana saya dapat luangkan masa menjaga ibu sebelum dia pergi.

MUHAMMAD IRFAN NORHISHAM.

"Waktu tu memang sedih tapi kata-kata ibu buat saya bersemangat untuk belajar.

"Saya sentiasa kagum dengan ibu. Walaupun sakit dia berusaha untuk tunjukkan dia OK depan anak-anak. Dia seorang wanita yang kuat," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Walaupun tidak dapat berada di samping ibunya ketika dia menghembuskan nafas terakhir, Muhammad Irfan berkata pesanan wanita itu yang meninggal dunia akibat kanser tiroid akan sentiasa kekal dalam ingatannya.

Gambar majlis konvokesyen ibunya selepas berjaya menamatkan pengajian peringkat Master.

"Saya memang rapat dengan ibu. Bila tak dapat jumpa dia buat kali terakhir tu memang saya terkilan sangat-sangat, tapi saya bersyukur kerana saya dapat luangkan masa menjaga ibu sebelum dia pergi.

"Arwah juga sering berpesan supaya saya belajar elok-elok sebab bila dia dah tiada nanti saya boleh jaga adik-adik. Insya-Allah saya akan ingat pesanan itu sampai bila-bila," katanya.

Mengenai kenangan terakhir bersama ibunya, pemuda berasal dari Banting, Selangor itu berkata dia tidak akan lupa saat ibunya menangis melihat dia berjaya melanjutkan pengajian ke sebuah universiti tempatan pada 2018.

"Masa tu ibu seronok sangat bila saya dapat masuk UKM. Itulah kali pertama tengok ibu betul-betul nangis. Kalau tak silap masa tu umur saya 19 tahun.

"Tapi ibu meninggal dunia masa saya masuk tengah-tengah semester satu. Dia meninggal dalam tidur. Saya reda dengan ketentuan Allah sebab tak sanggup tengok dia menderita kesakitan lagi," katanya.

Posting Muhammad Irfan menjadi tular di Twitter.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dengan perkongsian Muhammad Irfan.

"Semoga Allah berkati usaha ibumu. Tahniah dik, you have a loving and brilliant mother. Semoga terus success Irfan," kata Hanan.

"Let this be your motivation to be better, good luck in life mate. Take care," kata Firdaus.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain