suria

“Mak baru tunjuk dan tanya cantik tak?” - Jurutera terkejut ibu diam-diam beli baju nikah dari Bandung, calon isteri belum wujud

(kiri) Jalal bersama ibu. (kanan) Salah satu kain yang dibeli ibunya di Bandung, Indonesia untuk bakal menantu. Foto ihsan Jalaluddin Mohd Zaiki

IBU mana yang tidak mahu melihat anaknya berkahwin, lebih-lebih lagi jika anak lelaki kesayangan sudah mempunyai gadis pilihan.

Kalau sudah ada calon isteri mungkin kerja kahwin akan jadi mudah, tapi bagaimana pula kalau si ibu yang 'over' teruja nak sambut menantu sedangkan anaknya masih 'single'.

“Mak aku punya pressure nak suruh aku kahwin ni bukan kaleng-kaleng ya tuan-tuan. Dia pergi Bandung lepas tu belikan kain lace dengan alas kain untuk bakal bini aku (yang tak wujud) pakai nanti ya masa akad nikah atau majlis kahwin. Tolong...” tulis seorang pemuda menerusi perkongsian di laman Twitter sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda blazer banyak warna cuba nasib cari jodoh, ‘love bite’ pula dipersoalkan – “Tak semestinya, banyak lagi sebab boleh timbul kesan merah”

ARTIKEL BERKAITAN: Dihujani mesej gara-gara BF material, bakal doktor gigi letak syarat mulut tak boleh berbau! – “Kalau dia tak masak, saya ada...”

Pemuda berkenaan, Jalaluddin Mohd Zaiki berkata, ibunya bercuti ke Bandung, Indonesia bersama keluarganya pada akhir tahun lalu, tetapi dia tidak ikut sama.

Dua kain yang dibeli ibu Jalal buat bakal menantu sebagai hantaran atau majlis akad nikahnya.

Anak muda berusia 26 tahun itu memberitahu, hanya selepas lebih sebulan pulang bercuti, barulah ibunya menunjukkan dua kain yang dibeli semasa percutian itu.

“Mak baru tunjuk dua kain tu kat saya beberapa hari lalu dan tanya cantik tak? Mak cakap kain tu bolehlah buat untuk hantaran atau baju majlis akad nikah saya.

“Saya ni kadang-kadang buat qasidah majlis kahwin orang. Jadi mak cakaplah, asyik buat qasidah kat majlis orang saja, bila pula nak ada majlis sendiri... memang soalan paling ekstrem daripada mak setakat ini,” katanya kepada mStar.

Jalal menerima resume daripada beberapa gadis yang mahu berkenalan dengannya.

Lebih mesra disapa sebagai Jalal, dia yang masih belum mempunyai teman wanita berkata hanya mampu tersenyum dan menganggap ia sebagai gurauan ibu tetapi faham kain itu juga juga mempunyai maksud tersirat untuk melihat dia berkahwin.

Namun anak keempat daripada tujuh beradik itu tidak menyangka mendapat sambutan luar biasa di laman sosial susulan perkongsiannya itu.

Kalau boleh saya mencari calon isteri yang minat al-Quran, keluarga yang beragama, berpendidikan tetapi tidak semestinya bekerjaya tinggi.

JALAL

“Ada yang sanggup DM (mesej secara langsung) hantar resume, ada yang tunjuk latar belakang pendidikan, ada juga yang senaraikan kepakarannya seperti boleh memasak dan pandai mengambil hati orang tua.

“Malah ada yang hantar wakil di laman sosial untuk berkenalan dengan saya,” ujar jurutera kimia itu.

Dua abang dan seorang kakak Jalal yang bersanding di atas pelamin pada hari yang sama.

Menurut Jalal, dua abang dan kakaknya telah berumah tangga dan masing-masing berkahwin pada usia muda, beberapa tahun lalu.

“Mereka juga bersanding pada hari yang sama cuma nikah secara berasingan. Ketiga-tiga mereka berkahwin dengan pasangan masing-masing di atas pelamin yang sama.

“Mungkin sebab saya anak keempat, jadi mak bagi hint untuk saya berkahwin pula. Tapi saya letak sasaran untuk berkahwin pada usia antara 27 dan 30 tahun,” kata Jalal yang menetap di Kajang, Selangor.

Graduan University College London ini mencari calon isteri yang minat mendalami al-Quran.

Graduan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia di University College London di London, United Kingdom itu berkata, pada masa ini dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dan keluarganya, termasuk mendalami pengajian tarannum al-Quran.

Pada masa sama, Jalal berkata, dia juga mahu mencari calon isteri yang minat dengan al-Quran dan daripada keluarga yang beragama.

“Kalau boleh saya mencari calon isteri yang minat mendalami al-Quran, keluarga yang beragama, berpendidikan tetapi tidak semestinya bekerjaya tinggi.

“Saya ni seorang yang periang dan suka berjenaka. Calon tu nanti tak perlu pun pandai masak tapi sedia untuk belajar, saya sendiri boleh ajar dia masak,” katanya yang menyukai masak lemak cili api.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain