INSIDEN seorang anggota polis yang tiba-tiba rebah ketika berjoging di Taman Perbandaran Tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan, pagi Rabu masih menghantui seorang pemuda yang kebetulan berada di lokasi sama pada hari kejadian. Rizal Razak antara beberapa individu yang kerap berjoging di taman rekreasi tersebut tidak menduga akan berdepan situasi cemas seperti itu pertama kali dalam hidupnya. Jelas pemuda berusia 34 tahun itu, dia menyedari kelibat Koperal Khairul Anuar Md Nor sewaktu melakukan brisk walk (berjalan laju) pagi Rabu lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Minta isteri ambil lesen kereta, rupa-rupanya petanda ajal... anggota polis rebah ketika berjoging ARTIKEL BERKAITAN: Pemuzik terkenal Lok U meninggal dunia selepas balik joging "Saya selalu joging dekat situ. Tapi pada hari kejadian saya joging lewat berbanding hari biasa. Saya sampai sekitar pukul 9.20 pagi. "Saya buat brisk walk. Waktu tu ramai pengunjung terdiri daripada warga emas yang turut melakukan brisk walk. "Namun saya perasan dia mula memintas kebanyakan kami. Saya tengok dia berlari laju sehingga di satu point di hadapan arwah tiba-tiba rebah," katanya kepada mStar. Koperal Khairul Anuar Md Nor. Sebaik menyedari arwah rebah, Rizal berkata orang ramai mula mengerumuni mangsa. "Saya sampai beberapa minit kemudian kerana jarak saya dengan arwah agak jauh sedikit. Masa saya sampai barulah orang ramai buka stokin dan kasutnya. "Masa tu saya dapat tengok kakinya kelihatan pucat. Tapi saya dan pengunjung lain ingatkan dia hanya pitam sahaja," katanya. Tambah Rizal lagi, beberapa pengunjung bertindak menghubungi pihak hospital tetapi mereka disarankan supaya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa terlebih dahulu. Saya tak pergi lagi ke sana sebab masih terbayang-bayang saat saya tak dapat buat apa-apa yang mungkin boleh membantu menyelamatkan arwah. RIZAL RAZAK PEREKA LAMAN WEB "Ketika rebah, tindakan CPR agak lambat diberikan kerana kami ingat dia hanya pitam sebab berlari laju. Ketika itu kami semua tak terfikir apa-apa yang negatif. Namun setelah stokin dan kasut dibuka barulah nampak kakinya pucat. "Hasil tele-conversation dengan doktor, salah seorang pengunjung membuat CPR kepadanya. Ada dua kali dia seolah-olah bernafas semula, kerana kami ingat dia pitam. "Bantuan CPR diteruskan dan ujian nadi di lengan ketika itu masih berdenyut. Namun selepas 20 minit, tiada perubahan dan setelah pemeriksaan oleh petugas hospital, dia disahkan meninggal dunia," katanya. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemuda yang bekerja sebagai pereka laman web itu mengakui agak terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan anggota polis berkenaan. "Saya tak pergi lagi ke sana sebab masih terbayang-bayang saat saya tak dapat buat apa-apa yang mungkin boleh membantu menyelamatkan dirinya. "Sejujurnya saya panik sebab tengok mangsa masih tak sedarkan diri. Tak nak buat suasana jadi kalut, saya serahkan pada sukarelawan sedia ada untuk buat apa yang sepatutnya. "Memang waktu tu kebanyakan kami tak pandai buat CPR dan pengunjung hanya gunakan guide dari doktor semasa tele-conversation. Jadi CPR tu tak berkesan sangat," katanya. Malah pemuda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu turut meluahkan rasa kesal kerana tidak mempelajari teknik CPR yang betul. "Ada sedikit kesal kerana tak belajar teknik CPR. Dulu asyik tengok kat TV. Masa orang buat live demo pun sebelum ni tak ambil serius. "Jadi orang ramai patut belajar teknik CPR yang betul kerana ia mampu menyelamatkan nyawa orang lain," katanya. Rizal antara pengunjung yang turut berjoging di taman rekreasi tersebut pada hari kejadian. Pada masa sama, Rizal turut mencadangkan agar maklumat berkaitan teknik CPR atau langkah-langkah yang wajar dilakukan ketika berdepan situasi panik dipamerkan di taman rekreasi. "Saya cadangkan perkara ini sebab waktu tu kami semua hilang punca. Ya... kita tak dapat mengawal hidup dan mati seseorang cuma tindakan dan rawatan pantas yang betul harus diberikan kepada mangsa," katanya. Dalam kejadian pukul 10 pagi Rabu, Koperal Khairul Anuar Md Nor, 44, meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika berjoging di Taman Perbandaran Tengku Anis. Malah isteri arwah, Zalilawati Deraman, 45, berkata suaminya seorang yang suka berjoging dan mereka berdua juga sering melakukan aktiviti tersebut bersama-sama.