suria

Pelajar UiTM nyanyi lagu nasyid hafal nota saat akhir, sampai ‘miming’ dalam dewan exam – “Terkumat-kamit... macam baca jampi, mantera”

Sekumpulan pelajar UiTM menjadi perhatian apabila menyanyi untuk menghafal nota menjelang peperiksaan. Foto ihsan Muhammad Hazim Danish Mohamad Nadzri

MACAM-macam tip dan teknik yang berkesan dirangka untuk pelajar menghafal nota bagi menghadapi peperiksaan akhir.

Begitu juga mereka yang belajar pada saat akhir, maka segala idea unik dan pelik dicetuskan untuk mendapat kesan hafalan terbaik.

Menerusi satu video yang dikongsikan di laman Instagram mStar, sekumpulan pelajar bertungkus-lumus menghafal nota pada saat akhir dengan cara menyanyi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar IPTA kantoi, pensyarah semak jawapan terjumpa ‘toyol’ dalam kertas exam – “Potong markah tak adil untuk yang dah perah otak”

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup duduk di lantai, peliknya calon SPM ini asyik lap cermin mata pemberian arwah mak – “Walau kelas ‘belakang’, dia usaha belajar ekstra”

Seorang pelajar yang memandang kertas nota menyanyi dengan kuat, manakala yang lain membuat bunyi latar menerusi tepukan tangan dan ketukan pada lantai.

Nota yang dihafal Hazim dan rakan-rakannya menggunakan teknik nyanyian.

Salah seorang pelajar berkenaan, Muhammad Hazim Danish Mohamad Nadzri berkata, video tersebut dirakam pada malam 16 Januari lalu, sehari sebelum mereka menduduki peperiksaan akhir semester bagi subjek pengurusan.

Pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu, teknik nyanyian itu sebagai persiapan terakhir bersama rakan-rakan sekelas secara berkumpulan di asrama.

“Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama kami menyanyi untuk menghafal nota. Sebelum ini kami dah buat untuk ujian-ujian lain.

“Kami memilih teknik nyanyian kerana ia lebih berkesan berbanding menghafal mengikut akronim sebab tak berapa nak ingat,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Hazim kepada mStar.

Hazim dan tiga rakannya merupakan rakan sekelas di UiTM.

Selain itu, Hazim yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Melayu Komunikasi Profesional di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor berkata, mereka akan menggunakan teknik hafalan itu hanya untuk subjek yang sukar sahaja.

“Kami hafal nota untuk subjek yang susah, jadi bila menjawab kertas soalan tu taklah stres, tapi menyanyi untuk ingat apa yang dah hafal dalam kepala.

“Sebenarnya, banyak lagu yang kami gunakan untuk hafal nota kali ini. Kami pilih lagu-lagu nasyid sebab ia merupakan lagu ketuhanan, jadi kami nak dapat keberkatan semasa menghafalnya,” ujar pemuda yang berasal dari Jitra, Kedah itu.

Empat sekawan ini memilih lagu-lagu nasyid untuk menghafal nota.

Menurut Hazim, antara lagu-lagu kumpulan nasyid yang mereka nyanyikan untuk menghafal nota pada malam tersebut adalah Sumayyah dan Dia Kekasih Allah (Hijjaz), Zinnirah (UNIC) dan Iman Mutiara (Raihan).

Bagaimanapun jelas anak kedua daripada empat beradik itu, hanya satu lagu nasyid yang sempat dirakamkan untuk menghafal nota iaitu Sepohon Kayu nyanyian kumpulan Saujana.

Masa dalam dewan peperiksaan tu, macam saya sendiri... mulut terkumat-kamit menyanyi secara miming (nyanyian menggunakan gerak bibir) semasa menjawab kertas soalan

HAZIM

“Kami semua sibuk menghafal nota jadi tak sempat nak rakam semua. Persiapan akhir ni bukan main-main, memang kami buat betul-betul untuk cemerlang,” katanya.

Hazim berkata, nota yang dihafal mereka menggunakan teknik itu ternyata membuahkan hasil apabila antaranya disenaraikan dalam kertas soalan peperiksaan.

Hazim mengimbas pengalaman melucukan semasa dalam dewan peperiksaan.

“Masa dalam dewan peperiksaan tu, macam saya sendiri... mulut terkumat-kamit menyanyi secara miming (nyanyian menggunakan gerak bibir) semasa menjawab kertas soalan.

“Teknik hafalan ini memang berkesan bagi kami sebab saya sendiri ingat masa buat miming tu. Saya dan rakan-rakan bersyukur kerana dapat jawab soalan-soalan.

“Tapi yang kelakarnya, saya terfikir mungkin pengawas peperiksaan ingat saya macam baca jampi atau mantera masa miming tu untuk mudahkan saya dapat jawapan,” katanya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain