suria

Nak ikut trend punya fasal, cikgu Add Math gigih mengajar dalam sungai walau jalan bertongkat

Fathi mengajar Matematik Tambahan dan menarik perhatian warga maya.

MEREKA yang tak minat subjek Matematik Tambahan pun sanggup tonton video sampai habis.

Mungkin itulah gambaran tepat mengenai pesona seorang guru viral, Fathi Hussein yang sering muncul di media sosial dengan video-video ilmiahnya.

Jika sebelum ini dia banyak menghasilkan video di pusat tuisyen, namun kali ini jejaka berusia 20-an itu tampil berbeza apabila membuat rakaman di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut tengok gambar diri sendiri dalam longkang! Cikgu Matematik viral dedah pernah accident setiap bulan dalam masa setahun

ARTIKEL BERKAITAN: Sir Uzairi, guru Matematik glamor impi buka stesen TV

"Masa tu nak pergi mandi sungai, kebetulan ada white board dalam kereta. Jadi saya dapat idea untuk buat rakaman di situ bersama seorang lagi guru Matematik iaitu Amir Maaruf.

"Sebenarnya video tu untuk bagi orang tengok yang Matematik Tambahan ni bukanlah subjek yang susah. Kita buat video santai, bagi mereka rasa tertarik nak belajar," ujarnya kepada mStar.


Aksi Fathi yang mengajar di Sungai Congkak baru-baru ini.

Menurut Fathi lagi, cara pengajaran masa kini juga sudah berbeza memandangkan pelajar pada zaman sekarang cukup pantas berkembang seiring kewujudan pelbagai teknologi.

Enggan menggunakan teknik pengajaran konvensional, dia cuba mencari jalan kreatif mengikut trend semasa bagi menarik minat golongan itu.

"Sebagai cikgu, kita kena berubah ikut aliran semasa. Pelajar sekarang ni up to date dengan media sosial. Dengan satu klik, ilmu boleh dapat di hujung jari.

Dalam belajar, kesalahan menambahkan pengalaman, pengalaman mengurangkan kesalahan.

FATHI HUSSEIN

GURU MATEMATIK

"Saya bawa elemen baharu, buat mereka rasa dekat. Barulah boleh tarik mereka untuk meneroka subjek ini.

"Pada saya, Matematik Tambahan ni bukan sekadar subjek sahaja. Kita boleh berseni, berkarya dengannya. Yang penting pelajar kena berani.

"Kalau berani buat salah, baru boleh perbaiki diri. Ada pelajar tak nak berfikir sebab takut salah. Kalau berani buat salah, maknanya mereka berani berfikir," jelasnya lagi.

Fathi terlibat dalam kemalangan pada Ogos lalu dan masih belum sembuh sepenuhnya.

Dalam pada itu, Fathi yang mendapat liputan mStar gara-gara kemalangan motosikal di Sungai Ramal Dalam, Bangi pada Ogos tahun lalu turut berkongsi keadaan kesihatan semasa dirinya.

Setelah enam bulan berlalu, dia masih lagi menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan memandangkan kakinya belum pulih sepenuhnya.

"Kalau ikutkan empat bulan dah OK tapi tulang saya tak bersambung penuh lagi. Dalam 90 peratus dah sembuh.

Fathi mengakui cara pemikiran pelajar hari ini sudah banyak berubah, seiring perkembangan teknologi.

"Saya cuba untuk tak jadikan kekurangan ini sebagai satu alasan. Saya mengajar sahaja seperti biasa.

"Kalau saya yang kurang upaya boleh tunjuk daya untuk mengajar, kenapa pelajar yang sihat sempurna tak boleh berusaha untuk belajar?

"Harapan saya pada tahun ini agar dapat lahirkan lebih ramai pelajar yang mampu berfikir dan berani hadapi kegagalan. Dalam belajar, kesalahan menambahkan pengalaman, pengalaman mengurangkan kesalahan," ujarnya.

Antara koleksi video perkongsian ilmu Fathi yang menerima tontonan tinggi di media sosial.

Antara perancangan Fathi bersama rakan sepasukannya, Sirpuloh pada tahun ini termasuklah seminar Matematik Tambahan yang turut diselitkan dengan subjek Biologi, Perniagaan dan Ekonomi.

Seminar pertama akan berlangsung pada 29 Februari di Selangor dan akan disusuli beberapa negeri yang masih dalam perancangan seperti Pahang, Melaka, Kelantan atau Terengganu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain