suria

Sedia nafkah, nak bagi mak ayah... pengantin baharu akui banyak bersabar fikir bajet selepas kahwin - “Kalau isteri nak tolong apa salahnya”

Perkongsian Kauthar di Twitter menjadi tular sehingga menerima lebih 2,000 ulang kicau (Retweet). Gambar Hiasan: Kredit: Asyikin Rozi.

USAHA menghalalkan sesuatu hubungan tidaklah semudah yang disangka.

Selain memikirkan soal majlis perkahwinan, banyak lagi perkara lain yang perlu dipertimbangkan. Paling utama tentunya melibatkan soal kewangan.

Hal itu menyebabkan ramai individu gusar untuk mendirikan rumah tangga, bimbang tidak mampu menanggung beban kewangan apabila berkeluarga.

Begitu juga perkongsian tular seorang lelaki yang mengakui turut berdepan situasi sama seperti mana individu lain yang baru membina masjid.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan 'takut nak kahwin' akhirnya gembira, berjaya buat majlis walau kos murah!

ARTIKEL BERKAITAN: Pandangan pertama di kantin sekolah berakhir di pelamin impian, pengantin lelaki rancang semuanya... ambil masa setahun!

Menurut Kauthar Rozman, 27, fasa awal perkahwinan sememangnya sukar kerana pengantin lelaki banyak menggunakan wang untuk urusan majlis, hantaran, rumah baharu untuk isteri dan sebagainya.

"Saya suka nak kongsi pengalaman. Saya pun baru kahwin pada Oktober lalu. Biasalah untuk lelaki, masa nak kahwin habis banyak duit.

"Kena bagi hantaran, tanggung kenduri, barang rumah, deposit rumah baharu. Awal-awal habis banyak duit.


Sebahagian perkongsian Kauthar di Twitter.

"Dulu boleh sewa bilik, sekarang tak kan nak sewa bilik bila dah ada isteri? Sewa bilik harga RM300 atau RM400. Sekarang sewa rumah, tiga kali ganda meningkat," ujarnya kepada mStar.

Menurut pengarang sebuah portal ekonomi itu, dia bagaimanapun tidaklah berdepan fasa yang terlalu sukar memandangkan sudah membuat sedikit simpanan.

Tambahnya lagi, setiap individu bujang seharusnya mengamalkan gaya hidup bersederhana dan perlu ada simpanan untuk masa depan.

Toleransi juga penting. Kalau isteri kerja, kita kena tolong juga buat kerja rumah.

KAUTHAR ROZMAN

EDITOR

"Struggle kalau tak ada simpanan. Awal-awal kahwin tak selesa sangat, tapi tak adalah sampai berhutang.

"Kalau dulu boleh simpan RM1,000 sebulan misalnya, sekarang boleh simpan RM200. Paling penting kena terbuka soal pendapatan dan belanja antara pasangan.

"Tak bergantung pada isteri tapi kalau dia nak tolong apa salahnya. Mak ayah juga jangan dilupakan," ujarnya lagi.

Selain majlis kahwin, kehidupan baharu selepas berumahtangga juga memerlukan pasangan suami isteri mengeluarkan banyak belanja. (Gambar Hiasan)

Kata Kauthar lagi, setiap individu juga perlu yakin dengan rezeki kurniaan Allah.

Namun, keyakinan itu perlu disusuli dengan usaha agar kehidupan suami isteri dapat berjalan dengan lancar.

"Kena yakin dengan dengan janji tuhan. Antara cabaran awal kahwin, kalau dulu boleh lepak-lepak sekarang dah tak boleh sangat.

Pasangan pengantin juga perlu mencari kediaman baharu sejurus mendirikan rumah tangga untuk memulakan kehidupan berkeluarga. (Gambar Hiasan: Ricky Lai/The Star)

"Fokus cari nafkah pula. Toleransi juga penting. Kalau isteri kerja, kita kena tolong juga buat kerja rumah," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, posting Kauthar di Twitter miliknya sehingga kini menerima lebih 2,600 ulang kicau (Retweet).

Malah, komen beberapa invidu turut mengakui perkara sama yang mana mereka bersetuju atas pandangan yang dikongsikannya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Kauthar Rozman, kahwin, rezeki, ekonomi

Artikel Lain