suria

Mujahid panggil agensi umrah, Muhammad Sajad akan dikenakan tindakan tegas selepas bertelekung di Makkah

Gambar kiri menunjukkan Sajat bersama rakan-rakannya tanpa mengenakan tudung ketika di KLIA.

ISU usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang berpakaian wanita di Tanah Suci dihangatkan dengan pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersama agensi pelancongan umrah yang membawa ahli perniagaan itu bersama rombongannya menunaikan umrah.

Pertemuan pada petang Isnin itu membabitkan Albayt Travel (M) Sdn Bhd turut disertai oleh wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mujahid berkata, pertemuan bersama agensi yang membawa Sajat ke Tanah Suci itu bertujuan untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku di Makkah. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia seorang lelaki secara biologinya...” - Bertelekung tunai umrah di Makkah, menteri teliti ‘perjanjian’ agensi pengembaraan dengan Sajat

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat tak bertudung di KLIA, tapi bertelekung di Makkah - “Sepanjang pelepasan ikut garis panduan, cuma sebaliknya berlaku di sana”

Selepas perbincangan bersama agensi berkenaan, Mujahid memaklumkan Sajat perlu mengerjakan ibadah umrah sebagai seorang lelaki berdasarkan keputusan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas. 

“Kami berpegang kepada fatwa yang dikeluarkan oleh fatwa muzakarah haji yang terang dan jelas (menyebut) kekal seseorang yang asal gendernya lelaki maka, segala hukum hakam (untuk mengerjakan haji atau umrah) hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.

Mujahid (kiri) bersama dengan wakil Albayt Travel.

Mujahid berkata, pertemuan yang turut melibatkan SKMM itu bertujuan agar tindakan segera dapat diambil ekoran pelbagai video dan gambar Sajat berpakaian jemaah wanita di Tanah Suci dimuatnaik di laman sosial.

“Saya akan mengambil tindakan tegas tentang perbuatan Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang memuat naik video dan gambar mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial yang menimbulkan ketidakselesaan umat Islam. 

“Tindakan segera akan diambil oleh SKMM,” katanya selepas mengadakan pertemuan berkenaan di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya. 

Saya akan mengambil tindakan tegas tentang perbuatan Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang membuat naik video dan gambar mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial yang menimbulkan ketidakselesaan umat Islam.

MUJAHID

Selain itu, Mujahid berkata, suruhanjaya berkenaan mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana media sosial yang memuat kandungan yang menimbulkan rasa tidak selesa khususnya kepada umat Islam. 

“Oleh itu, saya telah meminta nasihat dan memberi pandangan bagaimana satu tindakan yang tegas tentang isu ini,” katanya.

Sajat menunaikan umrah bersama keluarga dan dua anak angkatnya.

Terdahulu, Albayt Travel dilaporkan berkata, Sajat telah mengikut garis panduan pemakaian yang ditetapkan sebelum jemaah berlepas ke Tanah Suci Makkah.

“Untuk trip keluarga Sajat tunaikan umrah, kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan umrah dengan saranan supaya ikut garis panduan ditetapkan.

“Sekiranya lelaki semestinya dengan penampilan lelaki dan sebaliknya untuk perempuan.

“Jadi sepanjang pelepasan semuanya mengikut garis panduan yang ditetapkan. Cuma sebaliknya berlaku apabila di sana,” kata agensi itu menerusi Facebook pada Ahad.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain