suria

Koronavirus: KLCC trending di Twitter, warganet saling beri nasihat ambil langkah berjaga-jaga

Gambar yang tular menunjukkan pasukan Hazmat dan anggota polis yang dilihat berada di Menara 3 Petronas, bangunan KLCC, pagi Rabu.

KLCC menjadi topik paling trending di Twitter, malam Rabu susulan kes seorang remaja perempuan warganegara Kanada yang dilaporkan pengsan di Menara 3 Petronas, berhampiran bangunan ikonik itu kerana disyaki koronavirus.

Rata-rata pelayar Twitter memuatnaik status masing-masing berhubung perkembangan terbaharu yang dilaporkan media itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri sahkan kejadian di KLCC, warga Kanada disyaki koronavirus dibawa ke HKL

ARTIKEL BERKAITAN: Dua rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan positif koronavirus

Ada dalam kalangan mereka menasihati ahli keluarga dan rakan masing-masing agar mengambil langkah keselamatan dengan sentiasa memakai topeng muka ketika berada di tempat awam berhampiran bangunan tersebut.

“Sesiapa yang bekerja dan berada di sekitar KLCC, terdapat satu kes disyaki 2019-nCoV pada hari ini 5 Februari 2020. Ia masih belum disahkan tapi paling bagus untuk ambil langkah pencegahan. Kongsikan dan sentiasa jaga keselamatan,” tulis seorang pelayar.

“Tak bolehkah mereka yang sudah pergi ke Wuhan hanya kuarantinkan diri mereka dan jangan pergi ke KLCC langsung?” tulis seorang pelayar lain.

“Dah menghampiri KLCC sekarang. Tiada KLCC atau pusat beli belah buat seketika! Jaga keselamatan semua,” tulis pelayar yang lain pula..

“Sejujurnya saya sangat takut memandangkan bekerja berhampiran KLCC,” tulis seorang lagi pelayar.

Antara komen warga Twitter susulan perkembangan terbaru melibatkan kes seorang remaja Kanada pada pagi Rabu. 

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan seorang warga Kanada telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disyaki koronavirus.

Dalam satu sidang media pada Rabu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya akan terus berhubung dengan HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Ujarnya, remaja berkenaan ditempatkan di wad isolasi HKL untuk pemantauan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai foto-foto tular pasukan Hazmat dan anggota polis yang dilihat berada di Menara 3 Petronas, bangunan KLCC, pagi Rabu.

Antara gambar yang tular menunjukkan beberapa individu berpakaian Hazmat hadir di Menara 3 KLCC.

Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan sedang menyiasat punca sebenar kes remaja tersebut selepas dia dilaporkan pengsan di lot parkir KLCC pada pagi Rabu.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan, sehingga kini masih belum ada pengesahan sama ada remaja perempuan warganegara Kanada berusia 17 tahun itu, positif 2019-nCoV atau sebaliknya.

Terdahulu awal hari ini, foto-foto dan maklumat tersebar menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa pasukan Hazmat hadir ke Menara 3 KLCC susulan panggilan yang diterima daripada Twin Tower Medical Clinic (TTMC) mengenai seorang individu yang didakwa disyaki koronavirus.

Setakat Rabu, jumlah kumulatif kes positif kluster koronavirus di Malaysia adalah 12.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
KLCC, koronavirus, Kanada, Twitter, trending

Artikel Lain