suria

Tunjuk sijil dekan tapi reaksi bapa ‘tak berapa best’, netizen pula sinis... mujur abang dan kakak pecah rahsia- “Rasa terharu dan nak menangis”

Akmal memuat naik reaksi 'bersahaja' bapanya ketika dia berkongsi berita gembira mendapat keputusan cemerlang baru-baru ini.

LAIN yang mahu ditunjuk, tapi lain pula yang menarik perhatian.

Ia gara-gara perkongsian seorang remaja lelaki yang memuat naik paparan skrin perbualan bersama bapanya menerusi aplikasi WhatsApp, namun ia disalah tafsir oleh segelintir netizen.

Remaja lelaki itu pada mulanya memuat naik sekeping gambar di Twitter menunjukkan respons bersahaja bapanya apabila dia berkongsi keputusan cemerlang ketika peperiksaan semester satu baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Siswa dapat dekan 9 semester hampir mengalah, ayah tak pernah ucap tahniah... selepas 5 bulan meninggal dunia rahsia terbongkar!

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terima duit cikgu, jawapan pelajar ini buat ramai kagum... Neelofa pun - “Dia pernah menangis, tak mahu kecewakan guru”

Namun tanpa disangka perkongsian tersebut menjadi tular sehingga mengundang komen negatif daripada segelintir netizen.

“Aku gelak sebab tak semua 'dean' (anugerah dekan) sem 1 akan bertahan dean list sampai habis belajar,” komen seorang netizen.

“Sem 1 paling mudah dalam mechanical politeknik bro... Kau masuk sem 3, sem 4 dan 5 baru kau tahu erti susah nak dapat dekan bro,” komen seorang lagi netizen.

Imej tangkap layar perbualan antara Akmal dengan bapanya yang menjadi tular di Twitter.

Sehingga kini perkongsian itu meraih 8,700 retweet dan 24,600 like.

Berkongsi cerita dengan mStar, remaja berkenaan, Muhammad Akmal Lokman berkata sejujurnya dia tiada niat langsung untuk bersikap riyak menerusi perkongsian tersebut.

Mengenali bapa, dia seperti kebanyakan bapa lain. Begitu jarang nak tunjukkan perasaan sebenarnya. Masa saya dapat masuk MRSM ketika tingkatan satu sebelum ini pun, dia tak cakap pun dia bangga.

MUHAMMAD AKMAL LOKMAN

ANAK

“Saya tak sangka nak jadi macam itu sebab pada saya ia sesuatu yang random, saya hanya mahu kongsi respons bapa apabila saya tunjukkan keputusan peperiksaan.

“Tapi jika ada yang terasa dengan perkongsian tersebut, saya minta maaf. Sebenarnya saya agak terkesan juga apabila menerima komen negatif, tapi saya hanya anggap perkara itu lumrah di media sosial.

“Bila kita muat naik sesuatu, ada yang suka... dan ada yang tak suka. Tapi saya cenderung untuk tunjuk respons bapa sahaja,” kata remaja berusia 19 tahun ini.

Akmal merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik.

Menerusi perkongsian tangkap layar perbualan yang dimuatnaik di Twitter itu, Akmal memaklumkan bapanya mengenai keputusan peperiksaan semester pertama yang mana dia berjaya memperoleh Sijil Anugerah Ketua Jabatan kerana mendapat pointer melebihi 3.50.

Bagaimanapun, bapanya tidak memberikan ucapan tahniah atas kejayaan tersebut sebaliknya hanya menjawab ringkas memintanya berusaha lebih gigih.

“Saya lebih cenderung bercerita dengan ibu. Tapi ketika itu sajalah nak tengok respons dia. Memang tak expect apabila dia reply minta saya berusaha lebih lagi.

“Mengenali bapa, dia seperti kebanyakan bapa lain. Begitu jarang nak tunjukkan perasaan sebenarnya. Masa saya dapat masuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Lenggong, Perak ketika tingkatan satu sebelum ini pun, dia tak cakap pun dia bangga.

Antara komen netizen yang turut berkongsi pengalaman bersama bapa masing-masing.

“Tapi sebenarnya dia bercerita tentang perasaan bangganya dengan orang lain. Dia tak tunjuk depan-depan,” ujarnya yang kini merupakan penuntut semester dua jurusan Kejuruteraan Mekanikal di sebuah politeknik di Shah Alam.

Menurut remaja yang berasal dari Seri Kembangan ini, dia sedar pencapaiannya sewaktu menuntut di sekolah berasrama penuh sebelum ini agak kurang memuaskan.

Justeru apabila mendapat keputusan yang cemerlang ketika di institusi pengajian tinggi, Akmal berkata dia mahu berkongsi kegembiraan tersebut bersama kedua ibu bapanya.

Antara komen negatif yang diterima Akmal selepas perkongsian itu tular di Twitter.

“Saya ingat yang bapa pernah beritahu 'Ayah berulang alik dari Seri Kembangan ke Lenggong selama lima tahun, ayah harap Akmal dapat beri keputusan yang baik untuk ayah'.

“Saya tak tergolong dalam kategori pandai, masa di peringkat menengah dahulu jarang dapat pencapaian yang bagus, saya tak banggakan ibu dan bapa. Jadi apabila masuk politeknik, saya bertekad nak berubah. Alhamdulillah dapat pointer dekan baru-baru ini.

“Sebenarnya, selepas perkongsian itu, kakak dan abang saya tweet dan mengatakan bapa sebenarnya bangga. Rasa terharu dan nak menangis. Mudah-mudahan saya akan terus banggakan kedua ibu bapa,” ujarnya mengakhiri bicara.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain