suria

“Silap, 10 minit yang berharga tu saya lalai” - Kerana susu satu tin, isteri kursus 2 hari... rosak sofa ‘dikerjakan’ anak-anak

Ariff (kiri) bersama isteri berkongsi kisah lucu mengenai sofa di ruang tamu rumah mereka dilumuri dengan susu tepung. Foto ihsan Ariff Ermizie Ariffin

MULANYA bunyi gelak ketawa anak-anak bermain pada waktu malam, tiba-tiba rumah jadi sunyi sepi.

Disangka sesuatu berlaku, seorang bapa kemudian bergegas ke ruang tamu untuk melihat apa yang berlaku dan dikejutkan dengan drama ‘sofa dilumur susu tepung’.

“Silap abam tadi 10 minit yang berharga tu abam lalai. Inilah yang terjadi, habis susu setabung yang baru dibuka semalam. Nasib baik mental abam cukup kuat sekarang ni,” tulisnya menerusi satu perkongsian di halaman Facebooknya sehingga tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tinggal 2 anak, isteri sarat hamil di rumah... suami suka keluar malam dapat pengajaran, satu hari terdetik nak balik awal - “Rasa macam tak berguna jadi ayah”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan – “Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo”

Lelaki berkenaan, Ariff Ermizie Ariffin, 30, berkata, ketika itu dia dan dua anaknya berada di rumah mereka di Marang, Terengganu, sementara isterinya menghadiri kursus selama dua hari di Kuala Lumpur.

Keadaan sofa yang 'dikerjakan' anak-anak.

Jelasnya, dia sepatutnya menghantar anak-anaknya ke rumah pengasuh memandangkan dia perlu bekerja syif malam pada hari tersebut.

“Saya biarkan anak-anak bermain di ruang tamu dan saya masuk ke dalam bilik sekejap, main telefon. Bunyi gelak ketawa mereka memang asyik bermain.

“Bila senyap, saya keluar bilik tengok anak yang sulung sedang tengok TV, tengok si adik pula kat sinki di dapur. Okay, anak-anak saya selamat.

“Tapi bila saya nampak bekas susu tepung untuk anak kat sinki, saya memang terkejut. Bekasnya ada, mana serbuk susunya? Saya cepat-cepat kembali ke ruang tamu dan tengok habis sofa ‘dikerjakan’ mereka, penuh serbuk susu tepung bertabur kat sofa,” katanya kepada mStar.

Aksi dan ragam dua beradik yang mencuit hati.

Bapa kepada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, masing-masing berusia lima dan dua tahun itu tidak menyangka bekas yang mengandungi susu tepung yang diletakkan di sebuah rak di dapur pada kedudukan agak tinggi mampu diambil anaknya.

“Memang tak boleh capai sebab kedudukannya agak tinggi. Si abang pergi tarik kerusi di meja makan dan bawa ke dapur untuk panjat ambil bekas tu.

Saya nampak bekas susu tepung untuk anak kat sinki, saya memang terkejut. Bekasnya ada, mana serbuk susunya? Saya tengok habis sofa ‘dikerjakan’ mereka.

ARIFF

“Bukan setakat susu tepung penuh satu sofa warna kelabu, habis lantai dan karpet pun kena juga. Alahai anak... sudahlah susu tepung tu berbau manis dan melekit.

“Tak rasa nak marah sebab mereka masih kecil, tapi lebih kepada kelakar. Saya hantar video tunjuk kat isteri, dia pun gelak saja,” ujarnya yang bertugas sebagai juru X-ray.

Ariff dan Dr Humairaa sentiasa menjaga anak-anak mereka secara bergilir.

Sementara itu, isterinya menganggap kejadian yang menimpa suami dan anak-anak sebagai melucukan kerana ia berlaku semasa ketiadaanya di rumah.

Dr Humairaa Muhammad, 35, berkata, suami ada mencuci dan memvakum sofa tetapi kesan susu tepung masih kelihatan.

“Suami tak perasan yang sarung kusyen sofa bahagian sandar tu boleh ditanggalkan, bila saya balik baru dia perasan ada zip untuk buka sarung tu.

Dua beradik yang serasi bersama.

“Tapi kusyen bahagian bawah tak boleh tanggal, jadi kena panggil orang datang cuci sofa tu. Kalau duduk memang rasa melekit dan bau susulah,” katanya.

Bagaimanapun, kisah mengenai kejadian yang disampaikan oleh suami kepada pengasas produk kosmetik itu menimbulkan tanda-tanya.

“Ye ke 10 minit? Takkan dalam tempoh 10 minit tu anak-anak sempat buat semua tu. Habis licin tau susu tepung si adik. Entah-entah dia tidur,” ujarnya secara berseloroh. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sofa, susu tepung

Artikel Lain