suria

Papa terperangkap di siling gara-gara anak ‘larikan’ tangga, rupa-rupanya pernah terkunci pintu – “Dulu gelak, sekarang senyum-senyum”

Seorang bapa terperangkap di siling selepas tangga yang digunakannya untuk memanjat, ditolak anaknya ke sinki di dapur. Foto ihsan Mohd Safuddin Mohd Shawal

ALAHAI anak, gara-gara ragam seorang kanak-kanak kecil teruja bermain air di sinki, seorang bapa terperangkap di siling rumah.

Tangga aluminium yang digunakannya untuk memanjat ke siling untuk membuat kerja-kerja pemasangan wayar, ditolak anak lelakinya hingga ke sinki dapur.

“Ambil tangga, macam mana papa nak turun? Tu tangga, ambil letak sini. Gila papa kau nak terjun ke?” katan seorang bapa dengan gelak ketawa.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tinggal 2 anak, isteri sarat hamil di rumah... suami suka keluar malam dapat pengajaran, satu hari terdetik nak balik awal - “Rasa macam tak berguna jadi ayah”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan – “Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo”

Bapa berkenaan, Mohd Safuddin Mohd Shawal, 33, berkata, kejadian tersebut berlaku pada Ahad lalu semasa mahu membuat kerja-kerja pemasangan wayar di rumah baharunya di Sungai Rambai di Jasin, Melaka.

Anak tidur semasa membuat kerja-kerja pemasangan lampu dan wayar.

Ketika itu dia menjaga anak sulung, Muhammad Aneeq yang berusia hampir dua tahun selepas isterinya baru melahirkan anak kedua dan masih berada di hospital.

“Disebabkan isteri bersalin lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan, jadi saya perlu bergegas ke rumah baharu untuk membuat persiapan sebelum berpindah.

“Antaranya saya perlu pasang lampu di dalam rumah dan selepas menyimpan semua kelengkapan di dalam bilik, saya panjat tangga untuk buat wiring di siling berdekatan dengan dapur.

“Selepas hampir sejam saya buat wiring, saya nak turun dan terkejut bila nampak dari atas, anak saya dah bangun dan main air di sinki,” katanya kepada mStar.

Anak hanya melihat Mohd Saifuddin yang 'terkandas' di atas siling.

Mohd Safuddin berkata, apa yang lebih mengejutkannya apabila tangganya itu telah ditolak oleh anaknya untuk memanjat ke sinki.

“Saya pujuk anak untuk minta dia tolak tangga tu kembali ke tempat asal sebab saya nak turun. Tapi, anak hanya senyum-senyum saja pandang saya.

“Lepas tu dia pergi dan datang semula... ingatkan ambil tangga tapi botol susu yang dibawanya. Bila dah tunjuk botol tu maknanya dia haus nak minum susu.

“Masa tu saya dah mula panik, kalau anak tak dapat minum nanti dia ‘mengamuk’, menangis baring guling-guling,” ujarnya secara berseloroh.

Saya pujuk anak untuk minta dia tolak tangga tu kembali ke tempat asal sebab saya nak turun. Tapi, anak hanya senyum-senyum saja pandang saya

MOHD SAFUDDIN

Pada mulanya mahu menghubungi rakan atau jiran, namun katanya, dia perlu bertindak pantas sebelum anaknya itu meronta-ronta mahu meminum susu.

“Nak terjun dari siling tak boleh sebab terlalu tinggi kira-kira 12 kaki. Besi di siling untuk paut tangan pun agak jauh daripada lubang membuatkan saya tak dapat nak terjun,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Mohd Safuddin bersama anak lelakinya, Muhammad Aneeq.

Menurut Mohd Safuddin, dia juga tidak mahu mengambil risiko kerana pernah mengalami patah kaki akibat kemalangan motosikal, kira-kira 12 tahun lalu.

“Sebab anak dah nak mula tunjuk nak minum susu, saya cepat-cepat buka genting dan panjat bumbung sebelum lompat melalui garaj kereta.

“Mujur pintu rumah tidak berkunci walaupun bertutup. Kunci rumah ada di dalam dan saya hanya bawa handphone ke atas siling untuk suluh lampu sebab gelap... tapi masa tu anak dah mula menangis,” katanya.

Mohd Safuddin bersama anak dan isteri, sebelum isterinya yang baru melahirkan anak kedua.

Mohd Safuddin yang merupakan jurujual memberitahu, ia merupakan kejadian kedua dia ‘terperangkap’ disebabkan oleh anaknya yang disifatkan aktif dan agresif itu.

“Minggu sebelumnya di rumah lama masa tu saya baru balik dan isteri keluar nak sambut saya. Anak kemudian tekan punat tombol pintu, terus kami terkunci dari luar.

“Kami minta buka pintu, dia gelakkan kami... dulu gelakan, sekarang dia senyum-senyum pula. Nasib baik kami dapat buka semula pintu tu. Lepas ni kena ada kunci spare (pendua) dan bawa ke mana-mana, kalau terkunci lagi kami dah ada kunci spare,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain