suria

“Babah, kesian pakcik tu, dia tak makan lagi...” - Gelagat anak comel beri makanan, cium tangan warga tua di kaki lima buat ramai tersentak, tahniah ibu bapa Fatih!

Fatih menunjukkan reaksi gembira setelah memberikan bungkusan makanan kepada seorang pakcik tua.

BAK kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya yang membawa maksud hendak mendidik anak biarlah dari usia muda.

Pepatah itu sangat sesuai menggambarkan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan lima tahun dilihat bersimpati terhadap seorang warga tua berkerusi roda di kaki lima deretan rumah kedai dan pejabat hingga tular di laman Facebook.

"Babah kesian pakcik tu, dia tak makan lagi tu. Nasi lebih kita bagi kat dia la na," demikian kata-kata yang terkeluar dari mulut si kecil itu kepada bapanya sebelum bantuan yang ingin dihulurkan itu menjadi kenyataan.

Menerusi video berdurasi 34 saat itu, kelihatan kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Fatih berjalan ke arah pakcik tersebut sambil memegang sebuah beg plastik mengandungi makanan untuk diberikan kepada lelaki separuh abad berjambang dan berkopiah putih itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah kahwin, ada anak... tiada masa nak tiru Ariana Grande” - Tak kisah wajah disamakan dengan penyanyi antarabangsa, tapi ibu muda ini tetap rimas

Fatih yang mengenakan seluar jeans dan kemeja-t putih itu melangkah dengan penuh keyakinan untuk menyampaikan rezeki kepada warga tua yang berada di hadapan sebuah bank, dipercayai di negeri di utara tanah air.

Lebih menarik perhatian apabila lelaki tua itu kelihatan gembira ketika menerima bungkusan makanan yang dihulurkan Fatih, lebih-lebih lagi budak comel itu tanpa disuruh dan dengan spontan telah bersalaman sambil mencium tangan warga emas itu.

Tindakan Fatih mendapat pujian netizen.

Selepas memberikan bungkusan nasi tersebut, Fatih berjalan semula ke arah ayahnya sambil menunjukkan isyarat 'good' menandakan dia puas kerana hasratnya untuk membantu lelaki tua itu menjadi kenyataan.

Rata-rata pengguna laman sosial memuji tindakan Fatih yang menyifatkan ia sesuatu yang jarang dilakukan oleh kanak-kanak sebayanya.

Netizen turut memuji didikan yang sempurna diberikan oleh ibu bapa kanak-kanak tersebut yang berjaya membentuk sahsiah diri yang bagus.

"Bila didikan terbaik dari ibu bapa serta mengikut sunah Nabi, maka terlahirlah anak yang pemurah hatinya," ujar netizen.

"Alhamdulillah, kita perlu tanamkan sifat begini kepada generasi akan datang...supaya depa (mereka) faham," tulis seorang pelayar yang lain pula.

Sementara itu, ada netizen yang mengatakan pakcik tersebut sering dilihat berada di sekitar kawasan Maybank Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan berniaga ikan kering dan bukannya sedang meminta sedekah.

Video berdurasi 34 saat dimuat naik di Facebook oleh pelayar bernama Mat Kacau turut dikongsi oleh beberapa laman yang lain sehingga kini telah meraih 100 share dan 1,800 like.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Viral, Facebook, sedekah

Artikel Lain