TINDAKAN seorang wanita bertindak memaksa ustazah yang juga guru anaknya merangkak di dalam kelas sebelum merakam perlakuan itu dan menularkan video tersebut mengundang reaksi marah dalam kalangan netizen. Dalam video berdurasi 1 minit 15 saat itu, mungkin ada sebab tertentu membuatkan ustazah itu dilihat tidak menunggu lama, sebaliknya terus mengajak beberapa anak muridnya untuk mengikutnya merangkak mengelilingi bilik darjah. Namun tindakan ustazah itu mengajak anak muridnya turut sama merangkak dipertikaikan wanita itu yang menyuarakan rasa tidak berpuas hatinya. ARTIKEL BERKENAAN: ‘Salon’ tanda kasih Cikgu Aimi - “Semuanya bermula bila ternampak kutu jatuh atas buku... dahlah hitam, besar pula tu!” Kejadian itu turut disaksikan sekumpulan anak murid dan seorang lagi guru dalam kelas dipercayai di sebuah sekolah agama di Perak itu. Malah video itu turut mendapat perhatian seorang guru yang terlibat dalam kegiatan kebajikan, Mohd Fadli Salleh. Menurut Mohd Fadli, perlakuan wanita itu yang kononnya untuk membalas dendam kerana anaknya disuruh ustazah terbabit merangkak sehari sebelum itu disifatkan sebagai amat biadab. Tindakan itu turut disaksikan seorang ustazah dalam kelas berkenaan. "Biadab gila! Perangai macam ini, datang dengan niat buruk kepada ustazah yang mengajar ilmu agama. Memaksa ustazah tu merangkak sambil merakam dan memperlekehkan. "Kau tak suka anak didenda tak payah hantar anak ke sekolah la makcik. Kau ajar sendiri. Masalahnya kau pun tak pandai nak ajar anak, orang tolong ajar bukan nak berterima kasih, tapi datang nak memalukan pula," katanya dalam satu posting di Facebook. Berdasarkan video yang tular itu, Mohd Fadli beranggapan ustazah itu mengikut kehendak wanita itu kerana panik dan ketakutan. "Ustazah tu agaknya panik dan ketakutan. Main ikut sahaja kehendak makcik ni. Eh, panas betul hati aku tengok video ni. "Betapa orang tak ada akal datang merendah-rendahkan seorang ustazah yang mengajar mengenal kalam Tuhan. Diperlekeh dan dihina sebegini rupa," katanya. Dalam pada itu, Mohd Fadli turut berniat mahu membantu ustazah tersebut untuk menegakkan keadilannya sebagai seorang pendidik. Suasana di dalam kelas tersebut sebelum wanita itu mengarahkan ustazah berkenaan merangkak. "Siapa tahu kes kat mana? Dan tolong mana-mana peguam wakilkan ustazah ini saman malu dan segala jenis saman yang boleh dikaitkan agar pelaku yang biadab ini dikenakan tindakan yang paling berat. "Jika ustazah tersebut tak mampu nak bayar kos guaman, aku sudi support. Kes guru atau ustazah yang dihina begini secara terbuka tidak boleh lagi dibiarkan berleluasa. "Ini satu penghinaan yang amat pada adab menuntut ilmu!," katanya. Tindakan itu turut dikecam netizen dengan rata-rata menyifatkan wanita itu sebagai bodoh dan tidak berperikemanusiaan. "Subhanaallah tunggu balasnya nanti. Takkan berkat ilmu yang anak-anak dia peroleh," kata Bunda Nur. "Tak lama lagi ko rakam diri ko pulak dalam lokap... bodoh sangat. Aku nak tengok sangat muka perakam," kata Yusri.