KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Siapalah kita di muka bumi tanpa dia insan hebat ini. Inilah yang boleh digambarkan apabila niat seorang anak yang berkongsi kisah susah payah ayahnya membesarkan mereka lapan beradik mendapat perhatian netizen apabila ianya tular. Ketika dihubungi mStar, Naurah Insyirah, 19 memberitahu dia pada mulanya hanya ingin berkongsi bersama rakan-rakan rapatnya sahaja memandangkan akaun Twitter itu tidak mempunyai pengikut yang ramai. ARTIKEL BERKAITAN: Jawapan “rahsia cikgu” ada kisah di sebaliknya, perkongsian murid Tahun 5 ini undang simpati - “Hari ini giliran adik sebab ada PJ, saya pakai seluar sekolah la” ARTIKEL BERKAITAN: Bukan setakat boleh beli cat, mungkin dapat pusat sumber ‘baharu’! Guru rayu sedikit sumbangan terkejut periksa akaun bank "Saya pun tak sangka bila ramai retweet (ulang kicau), mungkin ramai yang bersimpati bila baca kisah walid (ayah)," katanya yang mempunyai tujuh adik masing-masing berusia 18, 16, 14, 12, sembilan, enam dan tiga tahun. Menerusi luahan di Twitter, ayahnya, Sajiri Salleh, 48, yang bekerja di Pusat Tranfusi Darah, Alor Setar, Kedah itu menjadi bapa tunggal lapan anak selepas pemergian ibunya pada September 2017. "Selama hampir tiga tahun ketiadaan walidah (ibu), kami berlapan tak pernah rasa kurang. Walid bagi makan, pakaian dan kasih sayang semuanya cukup. "Walid tak kekok langsung nak uruskan anak-anak. Dia boleh menjahit, memasak, dan melakukan kerja-kerja rumah," ujarnya. Sajiri Salleh (memakai kopiah putih) bersama lapan orang anaknya. Tambah Naurah lagi, kadangkala dia berasa kesian apabila melihat ayahnya terlalu sibuk menguruskan adik beradiknya yang lain. "Seawal pukul 7 pagi, walid keluar hantar adik ke sekolah. Dua orang sekolah menengah dan dua lagi di sekolah rendah. "Waktu makan tengah hari pula walid kena balik rumah ambil adik di tadika. Selepas itu, dalam pukul 5 petang pula walid ambil semua adik di sekolah masing-masing," ujar Naurah. Dalam pada itu, Naurah yang sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Changlun meluahkan rasa terkilan apabila dia tidak dapat bersama-sama di rumah untuk menyambut hari lahir ayahnya pada 2 Mac lalu. "Kalau tahun lepas kami sambut meriah. Saya set up belon, adik-adik yang lain masak spaghetti dan kek sementara tunggu walid pulang. "Tahun ni saya mampu ucapkan dari jauh dan kirimkan hadiah kemeja yang dikongsi bersama adik kedua, Naurah Batrisyia," katanya. Naurah berharap kisah ayahnya dapat dijadikan contoh oleh netizen terutamanya buat kaum lelaki. Tambah Naurah lagi, selama ini, dia tidak pernah mendengar ayahnya mengeluh ataupun meluahkan hasrat ingin berkahwin lain. "Walid dah hilang bantal peluk dan tempat bercerita. Tak ada langsung bunyi-bunyi nak kahwin lain pun. "Saya terima sahaja kalau walid ingin mencari teman hidup yang baharu. Bukan apa, saya kesian tengok adik-adik yang kesemuanya masih lagi bersekolah membesar tanpa kasih sayang ibu di sisi," jawab Naurah. Pada mulanya Naurah berasa cemburu apabila adik-adiknya tidak masuk asrama untuk belajar hidup berdikari, namun menganggap semua itu ada hikmahnya. "Adik-adik tak duduk asrama, depa (mereka) yang tolong walid, hiburkan walid dan riuhkan rumah dengan bergaduh sesama mereka," tambahnya. Walid dah hilang bantal peluk dan tempat bercerita. Tak ada langsung bunyi-bunyi nak kahwin lain pun. NAURAH INSYIRAH Naurah berharap perkongsiannya di Twitter bukanlah untuk membandingkan ayahnya dengan orang lain, tetapi sebagai inspirasi buat netizen terutamanya kaum lelaki. Posting yang mendapat 6,900 retweet (ulang kicau) dan lebih 12,800 tanda suka rata-ratanya mendapat pujian daripada netizen yang bersimpati atas ketabahan ayahnya menjaga lapan anak. "I love this kind of tweet. Mashaa Allah. Saya doakan yang terbaik untuk awak dan keluarga. Semoga ayah awak sihat selalu, dipermudahkan segala urusan in shaa Allahh," ujar seorang netizen. "Subhanallah...Allah maha mengerti setiap kekuatan hambaNya bagi setiap dugaan. Bukan semua mampu menghadapi cabaran sebegini," tambah netizen lain.