suria

“Saya tidak menghidap penyakit tu” - Timun, lauk tersusun rapi... penjual nasi lemak tak tahu apa itu OCD

Perkongsian seorang pelayar Twitter mengenai sebuah gerai nasi lemak menjadi tular gara-gara susunan lauk pauknya yang begitu rapi dan teliti. Foto: Twitter Hilfa_Akmal/Pak Mat

“GUYS tengok tu tersusun semua. Puas hati beli!”

Demikian tulis seorang pelayar Twitter dalam posting yang menceritakan pengalamannya membeli nasi lemak di sebuah gerai di tepi jalan, baru-baru ini.

Pelayar bernama Hilfa_Akmal itu turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan susunan lauk pauk di gerai itu yang begitu rapi, bersih dan teliti.

ARTIKEL BERKAITAN: Memang 'rare'... mat salih jual nasi lemak RM3 licin dalam 2 jam, siap mengaku guna ramuan rahsia!

ARTIKEL BERKAITAN: Dahsyat penangannya! Mat salih kutuk nasi lemak dalam pesawat British Airways akhirnya buat U-turn - “Kamu betul, ia sedap”

Bukan sahaja lauk pauk, malah bahan utama nasi lemak seperti kepingan timun dan telur juga disusun dengan begitu rapi sehingga ia menarik perhatian netizen.

“Susun telur rasanya biasa lagi, tapi bila timun pun disusun, MasyaAllah,” komen seorang netizen.

“Pakcik ni ada OCD,” tulis seorang pelayar pula.

Perkongsian tersebut menjadi tular apabila meraih 25,600 retweet dan 37,800 tanda suka.

Perkongsian seorang pelayar Twitter mengenai gerai Pak Mat menjadi tular. 

Ketika dihubungi mStar, peniaga gerai nasi lemak yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka kisah gerai kecilnya menjadi tular gara-gara perkongsian salah seorang pelanggannya.

Menurut lelaki berusia 46 tahun ini, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas diberitahu oleh anaknya.

Kalau diikutkan, bukan sahaja bab makanan, tapi semua perkara seperti pakaian memang disusun rapi. Tapi bukanlah sepanjang masa rapi, biasalah kita manusia biasa juga.

PAK MAT

PEMILIK GERAI NASI LEMAK

“Sejujurnya saya bukan seorang yang tahu bab-bab media sosial. Bila anak tunjuk, baru saya tahu.

“Rupa-rupanya salah seorang pelanggan ambil gambar itu secara diam-diam dan dia buat perkongsian di laman sosial. Keesokannya, pelanggan itu datang dan minta maaf kerana ambil gambar.

“Dia kata saja nak kongsi sebab katanya tak pernah nampak orang yang berniaga makanan tepi jalan dengan teratur dan tersusun. Pada saya, saya OK sahaja jika perkongsian itu tiada niat tak elok,” ujarnya.

Pemilik gerai yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat (depan) bersama keluarganya. 

Pak Mat berkata sudah menjadi tabiat semula jadinya memastikan semua barangan berada dalam keadaan tersusun.

“Saya tak faham apa itu OCD bila tengok komen orang. Tapi anak kemudian terangkan maknanya, baru faham. Sebenarnya, saya tidak menghidap penyakit itu.

“Tapi bagi saya seorang peniaga makanan, bab kebersihan adalah perkara yang sangat diambil berat. Jadi kalau menyusun dan mengatur tu benda biasa saja, tidak sampai tahap OCD pun.

“Tapi saya tak ambil kisah pun kerana setiap orang ada pandangan masing-masing,” ujarnya.

Pelayar Twitter bernama Hilfa_Akmal itu turut memuat naik gambar nasi lemak bungkus yang dibelinya dari gerai Pak Mat.

Namun lelaki ini mengakui, sikap telitinya itu sudah dipupuk sejak dari kecil dan ia menjadi kebiasaan sehingga kini.

“Dari kecil lagi orang tua biasakan saya dengan sikap ini. Kalau diikutkan, bukan sahaja bab makanan, tapi semua perkara seperti pakaian memang disusun rapi. Tapi bukanlah sepanjang masa rapi, biasalah kita manusia biasa juga,” ujarnya lagi.

Bercerita mengenai bisnes nasi lemaknya, Pak Mat berkata dia sudah mengusahakan gerai yang terletak di USJ14, Subang itu sejak setahun setengah yang lalu.

Antara komen netizen yang turut memuji sikap teliti Pak Mat.

“Keenakan masakan adalah kepada isteri … saya hanya tolong-tolong sahaja di dapur. Dan bila tiba masa untuk buka gerai, ia tugas saya.

“Gerai ini dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 5 petang. Saya menjual nasi lemak dengan pelbagai lauk seperti sambal ikan bilis, sambal kerang, sambal sotong, ayam sambal, rendang, dan kari.

“Menu-menu ini bergantung juga setiap hari. Kebiasaannya, jualan akan habis sekitar pukul 7.30 malam. Paling lewat pukul 8.30 malam,” katanya lagi.

Menurut Pak Mat, sejak gerainya menjadi tular, terdapat peningkatan pelanggan baharu yang datang dan mahu mencuba sendiri nasi lemak jualannya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada adik yang viralkan gerai ini, dan para pelanggan yang sentiasa menyokong. Pada yang beri komen membina, terima kasih juga diucapkan dan InsyaAllah kami akan pertingkatkan apa yang kurang,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
nasi lemak, gerai, OCD, timun, lauk pauk

Artikel Lain