suria

Misteri! Anak pengasas Dnars terima kejutan al-Quran di KB, sejambak bunga ros di KL - “Saya ada minta pembantu peribadi call nombor tu...”

Iqbar menerima bungkusan yang mengandungi senaskhah al-Quran dengan kulitnya dicetak namanya sendiri daripada pengirim misteri. Foto ihsan Iqbar Hakim Jasman

“SEKALI lagi parcel ‘orang misteri’. Terima kasih, walaupun awak misteri, tapi awak sedang menyedarkan saya.”

Demikian coretan ringkas anak sulung kepada usahawan komestik, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad menerusi aplikasi Instagram Story, bersama foto senaskhah al-Quran dengan bahagian kulit dicetak namanya sendiri. 

Bercakap kepada mStar, Iqbar Hakim Jasman berkata, dia menerima bungkusan yang mengandungi senaskhah al-Quran itu daripada pengirim yang tidak dikenali, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak dedah hasrat pengasas Dnars dalam mesej terakhir sebelum dijemput Ilahi, “Saya mimpi mami datang pakai telekung tersenyum, wajahnya tenang...”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Pengasas Dnars peroleh kekuatan “Mamiku dapat tersenyum, ketika aku cakap dia cantik, dia yang paling kuat”

Namun, hadiah al-Quran itu menimbulkan tanda tanya pemuda berusia 21 tahun itu, apabila bungkusan berkenaan dihantar ke alamat kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan.

Iqbar memberitahu pemberi senaskah al-Quran itu daripada seorang wanita.

“Selama ini sebarang penghantaran atau pemberian daripada mana-mana pihak, akan dihantar ke alamat pejabat kami di Kota Bharu. Memang itu alamat surat-menyurat.

“Tak pernah saya dapat barang yang dihantar terus ke rumah, ia adalah pertama kali. Saya lebih terkejut apabila bungkusan itu mengandungi senaskhah al-Quran dengan kulitnya dicetak nama saya sendiri,” katanya kepada mStar.

Iqbar yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Dnars berkata, tiada butiran nama pengirim melainkan ia dikirim dari Kedah dan nombor telefon dipercayai milik seorang wanita.

“Saya ada minta pembantu peribadi (PA) call nombor tu, dan yang jawab adalah seorang wanita. Bila ditanya pasal bungkusan tu, wanita tu kata ya.

“Tapi bila ditanya siapa dia, terus panggilan dimatikan. Dan panggilan tidak dijawab lagi selepas itu. Saya tak tahu siapa pengirimnya, memang ‘orang misteri’,” katanya.

Sejambak bunga ros dan senaskhah al-Quran yang diterima Iqbar.

Iqbar mengakui hatinya begitu tersentuh dengan pemberian al-Quran tersebut yang menyedarkannya agar mendekatkan diri kepada tuhan.

“Pemberian itu mengingatkan saya tentang kealpaan. Walaupun misteri, ia benar-benar menyentuh hati saya. Kepada pemberi al-Quran ini, saya mengucapkan terima kasih,” katanya yang merupakan anak sulung daripada lapan beradik.

Pemberian itu mengingatkan saya tentang kealpaan. Walaupun misteri, ia benar-benar menyentuh hati saya. Kepada pemberi al-Quran ini, saya mengucapkan terima kasih.

IQBAR

Iqbar bagaimanapun mendedahkan ia bukanlah satu-satu hadiah yang dihantar oleh ‘orang misteri’ kerana dia turut menerima sejambak bunga ros pada minggu lalu.

“Saya terima sejambak bunga ros yang diletakkan di atas kereta saya, di kawasan parkir di kediaman saya dekat Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Selain perniagaan, Iqbar mahu memberi tumpuan kepada keluarganya.

“Tiada kad ucapan, apatah lagi nama pengirim. Saya cuma diberitahu oleh pengawal keselamatan yang ada orang hantar melalui khidmat penghantaran.

“Apa yang mengejutkan saya, macam mana ‘orang misteri’ tu boleh tahu kediaman saya di Kuala Lumpur, siap tahu kat mana saya letak kereta,” ujar anak kelahiran Kelantan ini sambil menambah tiada petunjuk mengenai pengirimnya.

Dia bagaimanapun menganggap ia sekadar pemberian daripada secret admirer dan hanya akan mengambil tindakan sekiranya mengancam keselamatan diri dan keluarganya.

“Bukan setakat wanita nak berkenalan dengan saya, malah ada yang berani hantar mesej kat saya nak meminang saya. Hati saya belum terbuka untuk terima seseorang dalam hidup saya,” katanya.

Arwah ibu Iqbar mempunyai pesanan mengenai soal jodoh.

Menurut Iqbar, buat masa ini, dia mahu menumpukan kepada perniagaan yang ditinggalkan oleh arwah ibu, dan menjaga keluarganya terutama adik-adik.

“Arwah Mami (Allahyarham Faziani) berpesan sebelum beliau meninggal, kalau hati sudah terbuka untuk terima seseorang, carilah wanita yang boleh pikul tanggungjawab.

“Arwah Mami seorang yang cukup simple, tak cerewet siapa pilihan hati saya. Cuma arwah pesan, biarlah wanita itu terima saya seadanya, boleh jaga saya dan adik-adik, serta faham kerjaya saya,” katanya.

Allahyarham Faziani meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan apabila kereta yang dinaikinya merempuh sebuah lori pada Mei 2019.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain