MANUSIA hanya merancang, namun Tuhan yang menentukan! Demikian ungkapan sesuai bagi menggambarkan situasi yang dialami oleh lima sekawan ini, apabila terpaksa membatalkan percutian mereka ke luar negara pada saat-saat akhir ekoran peningkatan kes Covid-19. Bercerita kepada mStar, Nik Aliaa Qistina Nik Zulkipli berkata dia dan empat rakannya sudah merancang untuk bercuti di Korea Selatan sejak setahun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tulis nama tipu-tipu” - 6 sahabat bercuti ke Korea nyaris tertipu gara-gara Hanbok free, lepaskan diri dengan 1,000 won ARTIKEL BERKAITAN: Pembuat kek rakam detik tak dijangka di Perlis, terkejut jadi viral - “Paling rare... antara gambar terbaik pernah saya hasilkan” Malah segala persiapan seperti pembelian tiket penerbangan, tempahan penginapan, pakaian musim sejuk dan stok makanan sudah pun dilakukan. “Memang kami berlima rancang untuk bercuti bersama ke Korea Selatan sejak setahun lalu. Semua dah lengkap, tinggal nak terbang saja ke Incheon pada 27 Februari. Cuti semua dah lulus, dan kami rancang bercuti selama enam hari di sana. “Tapi beberapa hari sebelum berlepas, berita kes koronavirus di sana semakin meningkat... dari 200 kemudian naik dan terus naik. Aliaa (dua, kanan) bersama empat rakannya bergambar di salah satu lokasi menarik di Penaga, Pulau Pinang. “Beberapa kali kami buat ‘meeting’ bincangkan sama ada nak batal atau teruskan. Mula-mula seorang saja yang cadangkan untuk batal. Tapi kami tanya rakan-rakan yang bercuti di sana ketika itu, dan rakan yang bekerja di AirAsia. Mereka semua kata masih okay. “Tapi bila nampak keadaan makin memburuk, dengan berat hati, akhirnya empat hari sebelum terbang kami buat keputusan untuk batalkan percutian yang dah setahun dirancang itu,” kata gadis berusia 24 tahun ini. Dia yang senang disapa sebagai Aliaa berkata, keputusan itu sungguh menyedihkan bukan sahaja mengenangkan impian untuk menikmati salji tidak kesampaian, tetapi terpaksa menanggung kerugian hampir RM3,000. Antara lokasi menarik yang dikunjungi lima sekawan ini ketika percutian mereka ke utara tanah air. “Semua sedih… kawan saya ada yang migrain. Kalau ikutkan memanglah rugi sebab hangus macam tu saja. Tapi kami kena fikir kesannya nanti… bimbang kesannya bukan kepada diri sendiri sahaja tapi kepada orang sekeliling. Ini soal nyawa. “Bila kami beritahu ibu bapa dan keluarga masing-masing tentang pembatalan itu, mereka meluahkan rasa bersyukur. Ibu saya sendiri pada mulanya tak cakap apa-apa. “Tapi bila tahu batal, dia terus cakap ‘Alhamdulillah terima kasih’. Siap beritahu lagi doanya dimakbulkan,” ujar bakal doktor ini. Semua sedih… kawan saya ada yang migrain. Kalau ikutkan memang lah rugi sebab hangus macam itu saja. Tapi kami kena fikir kesannya nanti… bimbang kesannya bukan kepada diri sendiri sahaja tapi kepada orang sekeliling. NIK ALIAA QISTINA NIK ZULKIPLI Tambah Aliaa, sehari selepas keputusan pembatalan tersebut, mereka berlima bertemu sekali lagi untuk membincangkan rancangan percutian di dalam negara untuk ‘mengubati’ kesedihan. “Bincang punya bincang, akhirnya kami sepakat putuskan untuk pergi bercuti di Perak, Pulau Pinang dan Perlis. Kami pergi tempat-tempat makan dan lokasi menarik di tiga negeri itu selama empat hari,” ujarnnya yang berasal dari Shah Alam, Selangor. Tambah Aliaa, sungguhpun hanya bercuti dalam negara sahaja, namun mereka sangat gembira kerana dapat menghabiskan masa bersama-sama dan paling penting keputusan itu ‘direstui’ keluarga masing-masing. Selain jalan-jalan, Aliaa dan rakan-rakannya turut meneroka lokasi makan yang menarik. “Mula-mula memang sedih tapi selepas itu bersyukur sangat. Batalkan trip ke Korea itu adalah satu keputusan yang tepat. Mungkin ada ramai lagi yang buat keputusan sama macam kami, kami faham perasaan kecewa itu. “Tapi ini adalah tanggungjawab kita. Kita tak boleh fikirkan diri sendiri sahaja. Jangan pentingkan diri, tak bolehlah kata kita sihat, maka tak akan terjangkit. Sebaliknya fikir keadaan orang sekeliling juga. “Mungkin ada juga yang nak kejar tiket murah sekarang ni, nasihat saya tangguhkan dahulu. Lagipun tak lari ke manalah Korea tu,” ujarnya mengakhiri bicara.