PENGORBANAN petugas barisan hadapan (frontliner) yang bertungkus-lumus dalam berdepan wabak Covid-19 sememangnya tidak dinafikan lagi. Turut terkesan tentunya ahli keluarga mereka yang melihat bagaimana komitednya golongan itu menabur bakti untuk masyarakat dan negara. Di Twitter misalnya, seorang usahawan, Mohd Yusoff Abdul Rahman berkongsi kisah mengenai isterinya, Siti Faizatul Asma Mahamad Tajudin yang juga seorang jururawat di Jeddah, Arab Saudi. ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman terburuk... mangsa Covid-19 kongsi pengalaman dikuarantin, paling cemas sukar tarik nafas panjang ARTIKEL BERKAITAN: “Dasar penyebar korona!” - Penumpang ludah dalam tren bikin netizen geli, marah... KTMB buat pembersihan segera "Wife jadi frontliner in her suit. Panas sangat katanya. Buka mask, baru nak makan dan rehat," tulis Yusoff di Twitter bersama sekeping foto isterinya. Bercerita kepada mStar, Yusoff berkata isterinya kini bertugas sebagai koordinator untuk wabak Covid-19 di daerah Taif. "Sudah lima tahun dia di Arab Saudi. Sebelum ini bertugas di Institut Jantung Negara (IJN). Pengorbanan pasukan frontliner dalam berhadapan Covid-19 sememangnya cukup besar untuk negara. "Sekarang dia bertugas untuk Covid-19 di sana. Perasaan tu tak boleh nak digambarkan. Rasa bangga pun ada sebab dia ketepikan diri sendiri untuk berkhidmat. "Pada masa sama rasa risau. Risiko terlampau tinggi. Tapi bila fikir balik... dia bekerja sebagai ibadah," ujarnya sewaktu dihubungi pada Rabu. Menetap di Perlis, Yusoff dan isteri, masing-masing berusia 31 tahun baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun lalu. Sebagai ahli keluarga frontliner, kena sabar dan faham tugas mereka. Sebagai orang awam, kita juga kena ikut arahan. Jangan susahkan petugas perubatan. MOHD YUSOFF ABDUL RAHMAN USAHAWAN Tambahnya lagi, isterinya baru-baru ini pulang ke Malaysia untuk bercuti sebelum kembali ke Arab Saudi sekitar tiga minggu lepas. "Sekarang cuti dah beku, tak boleh balik ke Malaysia. Last jumpa pun tiga minggu lepas. "Berat hati, dia mengadu panas pakai sut tu, tak ada masa nak makan. Tapi dia ada update saya setiap hari. "Saya maklumkan mengenai posting di Twitter, ramai doakan dia... ucap terima kasih kepada semua frontliners. Orang ramai digesa memahami tugas pasukan perubatan dan tidak menyusahkan tugas mereka. "Dia anggap tu sebagai pembakar semangat untuk terus bertugas," ujarnya lagi. Dalam pada itu, posting Yusoff mengenai isterinya di Twitter sehingga kini menerima lebih 11,000 ulang kicau (Retweet). Malah, ia turut dihujani komen, rata-ratanya mengucapkan terima kasih kepada isterinya serta petugas barisan hadapan yang lain. Kata Yusoff, dia sendiri tidak menyangka posting berkenaan akan menjadi tular dan menarik perhatian ramai. Posting Yusoff di Twitter. Di kesempatan sama, dia turut menggesa orang ramai agar mematuhi arahan kerajaan khususnya dalam membendung penularan wabak berkenaan. "Sebagai ahli keluarga frontliner, kena sabar dan faham tugas mereka. "Sebagai orang awam, kita juga kena ikut arahan. Jangan susahkan petugas perubatan. "Mereka pun ada keluarga. Masing-masing kena main peranan. Rasa kesian pada mereka, kesian juga pada diri sendiri," ujarnya lagi. Untuk rekod semasa setakat Rabu, Arab Saudi merekodkan 171 kes positif Covid-19 manakala Malaysia mempunyai 673 kes dengan dua kematian.