suria

Anak juruterbang terkejut, nanas tak laku bertukar jadi ‘pisang goreng panas’ - “Makan banyak mana pun lidah tak rasa lidas”

Shukri tidak menyangka tweetnya tentang nanas dari ladang bapanya mendapat perhatian netizen.

TIDAK dinafikan semasa wabak Covid-19, para peniaga sukar untuk menjalankan perniagaan mereka seperti biasa terutama selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Tetapi, pepatah 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu' nampaknya masih boleh digunapakai dalam situasi tertentu.

Begitulah gambaran kisah Syazani Shukri, 23, apabila tweetnya tentang buah nanas yang tidak terjual, laku bak 'pisang goreng panas' dalam tempoh 12 jam!

ARTIKEL BERKAITAN: “Topeng dah kemek, kotor terkena abu arang” - Kepak ayam tak laku, isteri Pak Mat menangis pelanggan tetap datang bawa sumbangan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Misteri’ rumah rentung... pelajar dedah 3 dompet tak terbakar tapi duit beribu ringgit ‘hangus’ - “Kad pengenalan masih ada...”

Bercerita kepada mStar, pemuda yang lebih mesra dipanggil Shukri itu memberitahu bahawa bisnes nanas dari ladang perusahaan bapanya tidak mendapat sambutan apabila kebanyakan peniaga kecil bertindak untuk menghentikan jualan berikutan wabak Covid-19.

Shukri berkata, ketika PKP mula-mula dilaksanakan, terdapat empat bakul nanas seberat kira-kira 200 kilogram tidak dapat dijual.

"Ayah saya ada usahakan ladang nanas seluas 20 ekar di Pontian, Johor, tapi sebab kedai buah tutup, tiada siapa yang nak borong.

"Terkejut juga sebab selepas saya tweet pukul 9 pagi, ramai yang telefon nak beli nanas. Pelanggan dari Kelantan pun ada tanya saya," ujarnya yang memberitahu kesemua nanas habis terjual pada jam 9 malam.

Shukri membantu kedua ibu bapanya menjual nanas ketika cuti.

Shukri juga memberitahu bahawa harga nanas jenis MD2 yang dijualnya sepanjang tempoh PKP ini lebih murah berbanding hari biasa.

"Selalu nanas saya jual sekilo RM4, tetapi sekarang saya jual tiga biji RM10 sahaja. Nenas MD2 ni rasa dia lain, makan banyak mana pun, lidah tak rasa lidas.

"Pelanggan yang tinggal berdekatan saya pergi hantar ke rumah, pelanggan tinggal agak jauh saya tak pergi sebab sekarang ni tengah kawalan pergerakan.

Ayah saya kerja sebagai juruterbang helikopter di Labuan, sebulan sekali dia akan pulang ke rumah dan pergi ke ladang nanasnya di Pontian.

SYAZANI SHUKRI

ANAK

"Jika sebelum ni mak saya yang buat penghantaran kepada peniaga dan pelanggan tapi memandangkan saya tengah cuti ni, saya bantu mereka," ujar anak bongsu daripada lima beradik ini.

Dalam pada itu, Shukri mengakui terkejut dengan permintaan tinggi secara tiba-tiba daripada netizen yang tidak henti-henti membeli nanas daripadanya.

"Tak sangka ramai yang nak beli, pada mulanya saya tweet untuk penduduk sekitar sini je. Apa-apa pun saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada netizen yang tolong retweet (ulang kicau) perniagaan ayah saya," ujarnya.

Bapa Shukri yang bekerja di Labuan pulang sebulan sekali ke rumah untuk melawat kebun nanas yang diusahakannya.

Mengulas lebih lanjut mengenai ladang nanas tersebut, Shukri memberitahu bahawa bapanya, Lukman Abdul Rahman, 59, baru menceburi bidang ini lebih kurang dua tahun lalu.

"Ayah saya kerja sebagai juruterbang helikopter di Labuan, sebulan sekali dia akan pulang ke rumah dan pergi ke ladang nanasnya di Pontian.

Posting yang tular di laman Twitter.

"Nanas ni tak ikut musim, bila dah tanam tu kena tunggu dalam setahun setengah untuk berbuah," ujar Shukri yang merupakan penuntut Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Teknologi Mara, Jasin, Melaka.

Shukri memberitahu bahawa tidak lama lagi bapanya akan membuka sebuah ladang tembikai di Pahang namun masih di fasa awal pembenihan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
nenas, tweet, netizen, Twitter, pelanggan, laku

Artikel Lain