suria

Bengkel kurang job, mekanik selamba tak caj ambulans aircond rosak tanpa pengetahuan bos - “Perkhidmatan kau tak ternilai bro...”

Farees memberitahu niatnya adalah untuk membantu pemandu ambulan tersebut meskipun tidak mendapat pelanggan dalam tempoh PKP.

BERTUGAS sebagai barisan hadapan atau 'frontliner' terutama ketika saat getir bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata.

Ketika orang lain sedang nyenyak tidur di rumah, mereka yang bekerja sebagai kakitangan kesihatan, anggota keselamatan dan petugas media bersengkang mata untuk memastikan negara ini dalam keadaaan aman dan selesa.

Bagaimanapun, dalam menjalankan tugas, pasti akan timbul masalah dan halangan sama ada dari segi fizikal mahupun mental.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dalam keluarga saya, adik beradik semua doktor” - PKP belum umum, pasangan doktor ini awal-awal tangguh majlis kahwin, ‘burn’ deposit

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman terburuk... mangsa Covid-19 kongsi pengalaman dikuarantin, paling cemas sukar tarik nafas panjang

Begitulah perkongsian seorang pemandu ambulans persendirian di Facebook, Azman Roy yang menceritakan tentang kerosakan yang berlaku pada ambulans yang dipandunya.

"Tak tahu nak kata apa kat mamat ni, ambulans tiba-tiba aircond tak ada. Jadinya pergi bengkel nak betulkan, tak tahu apa rosak.

"Entah apa mamat ni buat sampai aircond dah OK, bila tanya berapa harga dia caj, dia tak caj satu sen pun... dengan selamba dia cakap kat aku perkhidmatan kau tak ternilai bro, macam mana aku nak nilai apa yang aku betulkan dekat ambulans kau," ujar pemandu tersebut yang menghargai bantuan mekanik berkenaan sambil mendoakan seluruh warga di bengkel tersebut dimurahkan rezeki.

Ketika dihubungi mStar, mekanik berkenaan, Muhammad Iskandar Farees, 28, memberitahu pemandu ambulans tersebut datang ke bengkel tempat dia bekerja pada petang Rabu disebabkan penghawa dingin tidak berfungsi.

"Kalau ikutkan bengkel dah tutup, tapi dia dah telefon saya awal untuk minta tolong saya baiki... dalam pukul 5 petang dia sampai.

Perkongsian seorang pengguna Facebook, Azman Roy menjadi tular di media sosial.

"Dia memang memerlukan servis saya, macam mana dia nak bawa pesakit kalau tiada aircond? Masa saya servis tu, blower bahagian pemandu elok tetapi yang rosak adalah di bahagian belakang.

"Saya 'usik' sikit dan dah elok. Saya memang tak caj dia langsung, sebab dia pun buat servis untuk bantu orang, lebih-lebih lagi musim wabak ni memerlukan perkhidmatan dia. Kali ni, giliran saya pula bantu dia," katanya.

Ketika ditanya adakah tindakannya itu diketahui oleh pemilik bengkel Kembara Auto Aircond & Car Services, yang terletak di Klang itu, Farees berkata dia tahu tindakannya itu betul dan bosnya juga mungkin akan melakukan tindakan sama jika berdepan situasi ini.

"Pemilik bengkel, Azrul memang minta saya banyakkan bersedekah ketika bekerja kerana dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.

"Saya dah kenal Azrul ni lebih 10 tahun, dia memang tak berkira terutama kalau bab makan. Setiap bulan pula dia takkan terlepas untuk bayar zakat," ujar Farees yang sudah menganggap Azrul sebagai abang sendiri.

Saya memang tak caj dia langsung, sebab dia pun buat servis untuk bantu orang, lebih-lebih lagi musim wabak ni memerlukan perkhidmatan dia. Kali ni, giliran saya pula bantu dia

FAREES

Tambah Farees lagi, bengkel tersebut diusahakan bersama dua mekanik yang lain.

"Azrul memang nak bantu saya, dia beri saya modal, saya yang usahakan bengkel ni.

"Dengan situasi sekarang, memang tiada job masuk, tapi saya yakin rezeki tu ada di tempat lain," ujarnya yang memberitahu waktu operasi bengkel juga dipendekkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Farees sudah mengenali pemilik kedai, Azrul, lebih 10 tahun.

Dalam pada itu, pemilik bengkel, Azrul Helmi, 34, memberitahu dia membuka bengkel tersebut bersama rakannya, Muhammad Faizul, 37, sekitar Mei tahun lalu.

"Disebabkan PKP, waktu operasi bengkel kami perlu disingkatkan. Pelanggan yang nak datang pun perlu telefon terlebih dahulu. Buat masa ini kami hanya lakukan servis penghawa dingin seperti mengisi coolant.

"Kami tak boleh membaiki bahagian kenderaan yang rosak disebabkan pembekal alat ganti kereta ditutup," ujar Azrul.

Mengulas lanjut mengenai apa yang berlaku, dia mengakui memang menggalakkan semua yang bekerja di bengkel itu melakukan amal kebajikan terutamanya bagi pelanggan yang kesusahan.

“Saya memang percaya pekerja saya, apa yang mereka lakukan pasti mereka akan beritahu kepada saya,” ujarnya.

Azrul berkata, walaupun tiada di bengkel pada waktu itu dia sangat bangga dengan tindakan Farees.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
frontliner, ambulans, bengkel, servis

Artikel Lain