suria

“Jam 11.30 malam saya diminta hantar anak di lorong belakang” - Wanita terkedu rumah ‘didatangi’ virus Wuhan, sebulan simpan rahsia suami, anak positif Covid-19

Zuraita kuat dan tabah mengharungi ujian saat suami dan anaknya disahkan positif Covid-19, Mac lalu. Foto: FB Zuraita Mohd Anua

HATI wanita mana yang tidak sedih apabila suami dan anaknya dijangkiti wabak yang boleh membawa maut?

Itulah perasaan yang ditanggung oleh Zuraita Mohd Anua apabila dua insan kesayangannya itu disahkan positif Covid-19.

Selama 11 hari dirundung kesedihan berserta segala macam perasaan, akhirnya khabar yang dinanti-nantikannya tiba jua bila mana suami dan anaknya dibenarkan pulang ke rumah selepas dua kali ujian yang dilakukan menunjukkan keputusan negatif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa sudah di wad, anak nak luruh jantung lihat ibu positif Covid-19 bawa ‘peneman’... tenang masuk ambulans

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, bapa positif Covid-19! Anak doktor akui stres tak boleh lawat ayah di ICU - “Setiap kali dapat panggilan dari hospital, saya sangat takut”

Akui wanita ini, bukan mudah untuknya menghadapi dugaan tersebut apatah lagi berkongsi secara terbuka mengenainya memandangkan ketika itu kes Covid-19 di negara ini masih di peringkat awal.

Hanya selepas sebulan, ibu kepada tiga orang anak ini mempunyai kekuatan dan mengambil keputusan untuk berkongsi secara terbuka demi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Suami dan anak bongsu Zuraita ketika sedang menerima rawatan di hospital.

“Suami memang tak berniat nak sharing apa-apa tentang pengalamannya mendapat Covid-19 sebelum ini. Jadi saya hormat pendiriannya. Sehinggalah satu hari bila doktor dari Hospital Sungai Buloh (HSB) menghubungi dan offer dia jadi penderma pertama convalescent plasma (plasma darah) kerana keputusan darah dan antibodi dia bagus… jadi suami fikir yang dia patut kongsi mengenainya.

“Sekurang-kurangnya kita boleh memberitahu orang ramai bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa gigih mencuba pelbagai teknik untuk merawat Covid-19. Dan, teknologi itu adalah yang pertama kita nak gunakan di Malaysia… dan suami terima dengan hati yang terbuka.

“Diharap dengan perkongsian tu, ada sinar harapan untuk pesakit dan lebih ramai lagi bekas pesakit Covid-19 yang sesuai boleh menderma plasma mereka juga untuk membantu mempercepatkan penyembuhan khusus buat pesakit-pesakit yang agak kritikal,” katanya kepada mStar.

Selama ini kita dengar virus itu jauh di Wuhan, China, rupanya virus itu sudah pun 'mengetuk' pintu rumah kami sekeluarga. 

ZURAITA MOHD ANUA

ISTERI/IBU

Mengimbas kembali detik yang paling tidak dilupakan seumur hidupnya itu, wanita ini berkata segala-galanya bermula apabila suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Reza, mendapat panggilan daripada pejabatnya memaklumkan terdapat satu kes positif Covid-19 di syarikat tempatnya bekerja pada 1 Mac lalu.

“Setelah kes tersebut disahkan, semua yang ada dalam mesyuarat dengan anggota pekerja terbabit seminggu sebelumnya diarahkan kuarantin di rumah serta merta berserta family. Suami saya pun terlibat! Masih segar di mata saya wajah pucat suami sebaik menerima berita itu.

“Selama ini kita dengar virus itu jauh di Wuhan, China, rupanya virus itu sudah pun 'mengetuk' pintu rumah kami sekeluarga. Sehari selepas itu, suami dan beberapa orang kontak yang telah dikenal pasti diminta menjalani ujian di hospital. Suami tak ada simptom,  cuma deria baunya agak sensitif.

“Pada 3 Mac, suami mendapat panggilan telefon dari doktor terlibat, memberitahu kenyataan yang tak ingin kami dengar. Dia positif Covid-19,” ujar Zuraita sambil menambah, suaminya dibawa ke hospital menaiki ambulans pada tengah malam hari berkenaan.

Susulan itu, dia bersama tiga anaknya turut diminta untuk menjalani ujian saringan pada keesokan harinya.

Dua insan kesayangan Zuraita akhirnya disahkan pulih dan dibenarkan pulang pada 14 Mac lalu.

“Pada 6 Mac lebih kurang jam 6.40 petang, saya mendapat panggilan telefon dari pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) memberitahu sesuatu yang tak pernah saya jangka. Saya dan dua anak lagi negatif.

“Tapi lemah lutut saya menerima kenyataan tentang anak bongsu saya yang berumur 12 tahun pula yang disahkan positif. Anak saya menangis selepas mendengar khabar itu. Allahuakbar, luluh seluluh luluhnya hati saya melihat tangisannya,” ujarnya bercerita mengenai anak bongsunya yang hanya mahu dikenali sebagai Zil.

Tambah Zuraita, disebabkan keadaan sudah mula 'panas' di taman perumahan waktu itu, dia meminta agar ambulans tidak datang mengambil anaknya di rumah.

“Setelah berbincang, doktor meminta saya menghantar anak saya di lorong belakang sebuah klinik berhampiran lebih kurang jam 11.30 malam. Ambulans akan ambil dia di lokasi itu.

“Bayangkanlah betapa luluhnya hati saya waktu itu. Nak pegang dia tak boleh, nak peluk pun tak boleh. Hanya air mata yang tak henti-henti mengalir. Inilah antara pengalaman yang takkan saya lupakan seumur hidup,” kata Zuraita.

Zuraita menyifatkan apa yang berlaku baru-baru ini sebagai ujian Tuhan.

Bagaimanapun kata Zuraita, dia bersyukur apabila mengetahui suami akan menjaga anaknya di hospital, dan satu lagi khabar yang melegakannya adalah 50 kontak rapat anaknya yang dikenal pasti disahkan negatif selepas melalui ujian saringan.

“Syukur Ahamdulillah selepas dua kali negatif swab test, masing-masing dibenarkan pulang ke rumah pada 14 March 2020. Saya sendiri yang menjemput mereka di hospital pada jam 1.30 pagi.

“Moral daripada kisah saya ini, saya yakin Allah pilih kami untuk melaluinya kerana Allah tahu kami mampu. Tapi sebenarnya kemampuan kami mengharungi semua ini pun atas izin dan pertolongan-Nya juga.

“Justeru, kami kongsi kerana nak sebarkan aura positif kepada orang bahawa Covid-19 ini boleh kita tangani dengan baik. Yang penting emosi kena kuat dan bergantung pada Allah SWT bagi yang Islam. Bagi yang bukan Islam, mereka boleh kuatkan semangat mengikut kepercayaan masing-masing,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Covid-19, positif, Wuhan, virus, suami, anak, ambulans

Artikel Lain