“ALHAMDULILLAH, jenazah isteri saya negatif Covid-19,” demikian kata Mohd Khairul Azman Md Daud, suami kepada pendakwah terkenal, Allahyarhamah Shadiya Abbas. Mengesahkan perkara itu menerusi satu posting di Facebook pada Isnin, Mohd Khairul berkata keputusan berkenaan dimaklumkan selepas pihak hospital melakukan dua kali ujian terhadap jenazah isterinya. Menurut Mohd Khairul, jenazah isterinya akan dibawa pulang ke Masjid Puncak Alam, Selangor untuk urusan pengebumian yang hanya akan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat. ARTIKEL BERKAITAN: Besarnya hikmah jaga aurat, Allah tutup aib ustazah Shadiya dengan sehelai tuala kecil “Insya-Allah jenazah akan dibawa balik ke Masjid Puncak Alam untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan selepas solat Zohor. Disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Cherakah Puncak Alam. “Maaf jika saya katakan tuan/puan tak perlu hadir. Hanya doa yang kami pinta agar arwah diampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama para solihin. “Pihak polis hanya membenarkan keluarga terdekat saja untuk uruskan jenazah. Digalakkan buat solat jenazah ghaib. Ampun maaf,” tulisnya lagi. Posting terbaharu oleh suami arwah di Facebook. Allahyarhamah Shadiya, 40, meninggal dunia pada jam 5.05 pagi Ahad di Hospital Sungai Buloh akibat sesak nafas. Terdahulu pada Ahad, Mohd Khairul berkata jenazah isterinya masih belum boleh dibawa pulang kerana pihak hospital perlu membuat ujian pengesanan wabak Covid-19. mStar pada Februari tahun lalu menemubual arwah berhubung pengalamannya yang ditimpa kecelakaan jalan raya, susulan posting di Facebook beliau bertajuk “Tuhan, Tolong Tutup Auratku” menjadi tular dan menarik perhatian netizen. Ustazah Shadiya pernah berkongsi pengalamannya di hospital selepas ditimpa kemalangan sehingga posting itu tular di Facebook. Perkongsiannya pada posting tersebut menceritakan betapa beliau bersyukur Allah memakbulkan permintaannya yang bimbang soal aurat yang terdedah, sungguh pun ketika itu dalam kesakitan akibat kecederaan parah yang dialaminya. Posting berkenaan meraih lebih 6,000 tanda suka dan dikongsi lebih 3,000 kali. Dalam pada itu, anak sulung pasangan berkenaan, Ahmad Al Fateh turut menulis coretan di Facebook meluahkan rasa sedih atas pemergian ibunya. Ahmad Al Fateh memuatnaik gambar kenangan bersama ibunya di Facebook. “Mama, tahun lepas raya 2019 tapi raya tahun ni (2020) dah tak ada peluang untuk mama suapkan saya. Mama masak sedap-sedap. “Mama la mama yang paling terbaik. Tak sempat saya nak peluk mama, salam mama, cium pipi mama. Ya Allah... 5/4/2020 mama dah tinggalkan family kita," tulisnya. Remaja berusia 16 tahun itu juga berkongsi betapa arwah ibunya sentiasa sentiasa mendoakannya agar menjadi seorang penghafaz Al-Quran. “Terima kasih mama sebab jadi mama saya. Mama dah buat macam-macam yang saya nak. Saya doakan mama agar mama diampunkan dosa, dan saya doakan agar dimasukkan ke syurga firdaus. Assalamualaikum mama. Insya-Allah kita akan bertemu di syurga. Tunggu saya tau ma?,” tulisnya pada posting berkenaan.