“SUNGGUHPUN pangkat kami antara pelajar dengan pensyarah, namun dia ibarat abang kandung sendiri.” Demikian kata Nur Muhammad Iqmalzaim Quddus yang berkongsi kisah mengenai pensyarah kesayangannya, Iran Amri Musoddiq yang meninggal dunia akibat Covid-19, 31 Mac lalu. Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang senang disapa sebagai Abby itu berkata, dia mula mengenali pensyarahnya ketika arwah ditugaskan untuk mengajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 2014. ARTIKEL BERKAITAN: Nasib pelajar pulang dari UK, niat baik mengaku positif Covid-19 sudahnya dipersalahkan... dilabel ‘pembawa’ - “Kami tak minta dijangkiti” ARTIKEL BERKAITAN: Bapa sudah di wad, anak nak luruh jantung lihat ibu positif Covid-19 bawa ‘peneman’... tenang masuk ambulans “Arwah berasal dari Indonesia. Ketika dia mula bertugas sebagai pensyarah muzik di Unimas, saya sedang berada di tahun ke-2 pengajian. Ketika itu, dia hanya datang berseorangan tanpa isteri dan anak-anak. “Disebabkan itu, dia kerap menghabiskan masa dengan saya dan rakan-rakan. Lepak dan sekali sekala tidur di rumah sewa kami. Lagi pula arwah juga muda, jadi memang dianggap seperti abang. “Malah dia tak bagi kami panggil dia Sir, tapi minta panggil abang Iran saja. Isteri dan anak-anaknya kemudian datang ke Sarawak pada 2016,” kata pemuda berusia 26 tahun ini. Perkongsian Abby di Twitter mengenai berita pemergian pensyarahnya. Bercerita bagaimana allahyarham mendapat wabak tersebut, ujar Abby, pensyarahnya dikhabarkan tidak menghadiri perhimpunan tabligh mahupun mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. “Cuma arwah tinggal di perumahan yang sama dengan beberapa pesakit positif dan pergi ke masjid yang sama dan mungkin ada kontak masa dekat masjid. “Sebelum dimasukkan ke wad pada 20 Mac, kawan saya yang masih di Unimas beritahu arwah memang dah demam lebih kurang dua minggu. Demam on and off. Lepas tu dia disahkan positif dan terus dirawat di ICU. Dia dalam keadaan kritikal sehingga meninggal dunia,” katanya. Dia punya baik memang tak boleh lawan. Selama melepak dan habiskan masa bersama, arwah haramkan kami keluarkan duit. Makanlah banyak mana, arwah akan bayar. Malah marah jika kami nak bayar. NUR MUHAMMAD IQMALZAIM QUDDUS BEKAS PELAJAR Allahyarham Iran Amri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching. Bercerita lebih lanjut, Abby yang juga seorang jurutera audio berkata, sungguhpun sudah menamatkan pengajian di institusi itu pada 2017 dan pulang ke semenanjung, namun mereka kerap berhubung. “Arwah mengajar saya subjek recording studio. Dia memang master bab-bab muzik multimedia. Tambahan pula saya bekerja di bidang muzik, jadi memang selalu berhubung dan menjadikannya sebagai rujukan. “Kali terakhir kami bertemu adalah ketika arwah turun ke Kuala Lumpur kerana ada program di Istana Budaya pada Januari lalu. Selepas pulang yang arwah mula jatuh sakit. “Ketika itu kes Covid-19 di negara ini masih di peringkat awal, jadi memang langsung tak sangka arwah terkena. Tambahan pula arwah tak ada masalah kesihatan yang serius,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Kreatif (Muzik) ini. Pensyarah Unimas ini meninggal dunia pada 31 Mac lalu akibat Covid-19. Mengulas mengenai keperibadian allahyarham, Abby menyifatkan pensyarahnya itu sebagai seorang yang amat baik dan langsung tidak berkira. “Dia punya baik memang tak boleh lawan. Selama melepak dan habiskan masa bersama, arwah haramkan kami keluarkan duit. Makanlah banyak mana, arwah akan bayar. Malah marah jika kami nak bayar. “Kami selalu beritahu ‘asyik abang yang belanja, biar kami pula’. Tapi katanya, dia tahu sebab dia dulu juga pelajar. Jadi ada yang selalu buat baik kepadanya. Jadi kini tiba pula gilirannya untuk buat benda yang sama. “Dan dia orang yang sangat bergantung dengan Tuhan. Itu yang arwah selalu nasihatkan saya dengan kawan. Kebanyakan kawan-kawan termasuk saya yang dah dapat kerja hari ni, semua berkat ilmu dan guide dari arwah,” ujarnya mengakhiri bicara.