suria

Indah, liang lahad cantik! Suami ustazah Shadiya kongsi perbualan dengan penggali kubur - “Pakai but pun rasa sejuk...”

Mohd Khairul mencium jenazah isterinya, Allahyarham Shadiya sebelum urusan pengebumian pada Isnin. (gambar kecil) Kenangan Mohd Khairul bersama isterinya. Foto Facebook MK Azman

JENAZAH pendakwah terkenal, Allahyarham Shadiya Abbas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah Puncak Alam, Selangor pada pukul 4 petang Isnin.

“Alhamdulillah, selesailah sudah urusan pengkebumian jenazah buah hati dan bidadari saya... segalanya dipermudahkan Allah.

“Urusan mandikan jenazahmu sayang dilakukan oleh ibumu, adik-beradik perempuanmu, anak-anak lelakimu dan anak muridmu yang menawarkan diri untuk berkhidmat untukmu sayang,” menurut suami pendakwah itu, Mohd Khairul Azman Md Daud di halaman Facebooknya, Isnin malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas lebih 24 jam, jenazah ustazah Shadiya sah negatif Covid-19... suami mohon maaf tak benar ramai hadir pengebumian

ARTIKEL BERKAITAN: Besarnya hikmah jaga aurat, Allah tutup aib ustazah Shadiya dengan sehelai tuala kecil

Berkongsi luahannya, Mohd Khairul mengimbas kembali kenangannya bersama allahyarham dua hari sebelum isterinya menghembuskan nafas terakhir.

Van yang membawa jenazah Shadiya ke tanah perkuburan.

“Abang ambil peluang ini untuk memandikanmu buat kali terakhir. Masih ingat lagi dua hari sebelum sayang meninggalkan abang, sayang mandikan abang.

“Sayang... abang imamkan solat untukmu. Sebelum ini sayang berada di belakang sebagai makmum, tapi kali ini sayang di depan abang. Bukan sebagai imam tetapi sebagai jenazah,” katanya.

Malah, Mohd Khairul turut berkongsi pengalamannya mengenai urusan pengebumian isterinya yang dipermudahkan pada petang Isnin.

“Sayang... sayang bertuah kerana dihadiahkan Allah dengan kubur yang indah dan liang lahad yang cantik. 

“Abang perasan hal itu ketika hendak memasukkanmu dalam liang lahad, dalam hati abang menyebut, cantik sungguh liang lahad ini. 

“Abang bersembang dengan penggali kubur dan petugas pengurusan jenazah, mereka akui kubur itu paling cantik mereka lihat, kata mereka dalam kubur kalau pakai but pun terasa sejuk, seolah-olah lantainya daripada marmar.

“Kata mereka, bakal kubur siapakah ini. Ternyata sayang adalah pemiliknya. Semoga sayang berada dalam rahmat Allah,” luahnya.

Kenangan... Mohd Khairul bersama Shadiya serta dua anak mereka. Foto Facebook MK Azman

Walaupun sedih, namun Mohd Khairul reda dengan pemergian insan tersayang dan menyifatkan isterinya begitu sempurna dalam menjalankan tanggungjawabnya.

“Sayang... damailah engkau di sana, abang reda dengan pemergianmu. Sayang telah sempurna melaksanakan tugas sebagai seorang isteri, ibu, anak, guru dan sahabat. 

“InsyaAllah kita bertemu nanti di alam barzakh, padang mahsyar dan sama-sama masuk syurga,” katanya sambil berterima kasih kepada semua yang mendoakan arwah isterinya. 

Sayang... damailah engkau di sana, abang reda dengan pemergianmu. Sayang telah sempurna melaksanakan tugas sebagai seorang isteri, ibu, anak, guru dan sahabat.

MOHD KHAIRUL

SUAMI PENDAKWAH

Allahyarhamah Shadiya, 40, meninggal dunia pada pukul 5.05 pagi Ahad di Hospital Sungai Buloh akibat sesak nafas.

Shadiya bagaimanapun negatif Covid-19  selepas pihak hospital melakukan dua kali ujian terhadap jenazah pendakwah itu.

Ustazah Shadiya pernah berkongsi pengalamannya di hospital selepas ditimpa kemalangan sehingga posting itu tular di Facebook.

Beliau meninggalkan dua anak hasil perkahwinannya bersama Mohd Khairul selama 17 tahun.

mStar pada Februari tahun lalu menemubual arwah berhubung pengalamannya yang ditimpa kecelakaan jalan raya, susulan posting di Facebook beliau bertajuk “Tuhan, Tolong Tutup Auratku” menjadi tular dan menarik perhatian netizen.

Perkongsiannya pada posting tersebut menceritakan betapa beliau bersyukur Allah memakbulkan permintaannya yang bimbang soal aurat yang terdedah, sungguh pun ketika itu dalam kesakitan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain