ARAHAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi tempoh yang sesuai untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Begitulah yang dilakukan oleh Mohd Ramzul, 32, yang memanfaatkan tempoh PKP dengan meluangkan lebih banyak masa untuk isteri dan anak-anaknya. Bercerita lanjut kepada mStar, Ramzul memberitahu sebelum ini dia terlalu sibuk bekerja dan hanya sempat meluangkan masa bersama keluarga dalam tempoh yang singkat. ARTIKEL BERKAITAN: “Betul ke suami kau macam ni?” - Nak elak pintu peti ais roboh, bapa berkorban apa saja... main ‘kahwin-kahwin’ isteri pandang semacam ARTIKEL BERKAITAN: Suami hilang kerja, dua anak sedang sakit tak dapat dirawat - “Syukur kami sekeluarga masih dapat jamah nasi kosong” "Saya selalu balik malam, sempat layan anak-anak pun selepas solat Isyak sahaja dan kemudian masuk tidur. "Sekarang ni bekerja dari rumah (work from home atau WFH), saya dapat tengok anak-anak buat apa depan mata saya," ujar Ramzul yang memiliki syarikat fotografi dan videografi perkahwinan. Perkongsian Ramzul tentang anak sulungnya mendapat perhatian netizen. Baru-baru ini, perkongsian Ramzul di Twitter mengenai anak sulungnya, Abdul Mateen, lima tahun, tular di media sosial gara-gara anaknya itu 'liat' mengaji. Ketika dihubungi, Ramzul memberitahu anaknya itu sering mendengar arahannya untuk melakukan kerja sekolah, mewarna dan menonton televisyen pada waktu tertentu. Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila disuruh untuk mengaji. "Kalau pergi tadika, elok je dia mengaji. Mungkin dah tiga minggu PKP ni duduk di rumah dia jadi selesa. "Rabu lepas saya ada ajar dia mengaji, tapi baru satu baris dia dah mengantuk gila. Saya suruh juga dia baca 10 baris sementara saya masuk bilik untuk urusan kerja. "Lima minit kemudian saya keluar bilik tengok dia dah nyenyak tidur. Baru pukul 8.45 malam," ujar Ramzul yang kini gusar akan kehilangan sumber pendapatan berikutan majoriti majlis perkahwinan pelanggannya ditangguhkan ke tahun hadapan. Ramzul memberitahu Abdul Mateen kerap mengikut setiap apa yang dilakukannya. Dalam pada itu, Ramzul yang lebih rapat dengan Abdul Mateen memberitahu bahawa anaknya itu kerap mengulangi atau meniru apa yang dilakukannya. "Dia cakap dah besar nanti nak jadi macam saya bila dia tengok saya setiap hari sibuk bekerja. "Kadang-kadang saya bawa dia ke pejabat kerana dia sendiri nak tengok saya bekerja macam mana. "Bila saya 'WFH' di rumah, Mateen yang marah adik dia, Amelia Leanne, untuk tidak menggangu saya," jelas Ramzul. Dia cakap dah besar nanti nak jadi macam saya bila dia tengok saya setiap hari sibuk bekerja. Kadang-kadang saya bawa dia ke pejabat kerana dia sendiri nak tengok saya bekerja macam mana. RAMZUL Ramzul yang beberapa hari lalu baru sahaja memulakan perniagaan atas talian iaitu Billy Sup Tulang Merah memberitahu bahawa dia perlu menjadi contoh kepada Abdul Mateen supaya anaknya itu mahu mendengar arahan. "Tukar plan, saya baca al-Quran untuk orang besar dan suruh dia baca al-Quran untuk budak kecil. "Tak sangka, dia terus tinggalkan permainan atas lantai dan ikut saya masuk ke bilik sambil tersenyum. "Dia nak saya ajar dia baca surah terus dan berjanji untuk mengaji lagi pada keesokan harinya," beritahu Ramzul yang mendirikan rumah tangga enam tahun lalu. Ramzul juga sempat memberi nasihat kepada bapa di luar sana untuk memanfaatkan waktu PKP yang ada ini sebaik mungkin bersama ahli keluarga. Abdul Mateen kini berusia 5 tahun manakala adiknya berusia setahun dua bulan. Ibu bapa perlu bersedia untuk menukar cara mendidik anak kerana sebelum ini, tugas tersebut diberikan kepada guru. Kini, guru hanya melakukan kelas atas talian dan selebihnya ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas anak mereka. "Bila saya duduk di rumah, baru saya tahu setiap anak ada perangai yang berbeza-beza. Oleh itu, cara layanan yang diberikan juga perlu berlainan. "Saya perasan Abdul Mateen ni lebih introvert. Di tadika, dia susah nak mesra dengan orang lain, sampaikan dengan atuk nenek pun saya kena kerap bawa dia pulang ke kampung baru dia okay. "Berbeza pula dengan adiknya. Emelia, lebih mesra dan mudah bergaul dengan orang lain," ujar Ramzul yang memberitahu dia dapat mengenali sifat anak-anaknya lebih mendalam sewaktu PKP. Perkongsian Ramzul di Twitter telah mendapat perhatian netizen dengan sehingga kini mendapat 17,200 retweet (ulang kicau) dan 19,400 tanda suka daripada netizen.