suria

Sisi A+ suami terbongkar masa PKP, kejadian di dapur buat isteri malu dengan diri sendiri - “Ummi terpaksa berhenti kerja jaga dia”

Azfar memeluk ibunya sebaik saja disatukan dengan Syuhaila pada 22 Disember lalu.

MULIAKAN ibumu nescaya Allah akan muliakan kamu. Kata-kata ini sering kita dengar bahkan Nabi Muhammad SAW turut mengajar umatnya untuk menghargai dan memuliakan kaum ibu.

Ternyata sifat itu ada dalam diri seorang pemuda sehingga membuatkan isterinya kagum dengan sisi tersembunyi suaminya itu.

Kisah penuh bermakna itu dikongsi NorSuhaila Rahmat menerusi satu bebenang di Twitternya sehingga mendapat 13,300 ulang kicau dan 20,500 tanda suka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Empat tahun menghabiskan duit suaminya, tapi tak pernah habis” - Lelaki ini kagum tak miskin tanggung keluarga selepas isteri resign

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak beli jiwa tak perlu modal,” Suami sebak bawa keluarga pusing mall, dalam poket ada RM20 sahaja

Menurut NorSuhaila atau lebih mesra disapa Syuhaila, sikap tersembunyi suaminya, Mohd Azfarudin Halim terbongkar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hampir sebulan.

"Sebenarnya saya tak kenal suami dalam masa lama. Dalam masa setahun kami bertunang dan berkahwin. Sekarang perkahwinan kami baru masuk usia tiga bulan.

"Saya tinggal dengan keluarga mentua sejak kahwin di Segamat, Johor. Selalunya masing-masing kerja pagi, balik petang. Jadi jarang dapat spend time sama-sama dengan family macam ni. Kami selalu borak-borak bila malam je.

Azfar (kiri) dan Syuhaila (kanan) bersama ibu bapa masing-masing.

"Sebelum tu tak nampaklah sikap sebenar suami. Tapi bila PKP barulah ketara. Nampak sikap dia dengan ummi memang berbeza. Dia amat menghormati ummi dia," katanya kepada mStar.

Malah wanita berusia 24 tahun itu berkata dia sendiri berasa malu kerana tidak melayan ibunya sebagaimana dilakukan suaminya.

"Bila saya bandingkan diri saya dengan dia, SubhanaAllah saya rasa malu. Saya dengan mak sendiri pun tak sampai tahap apa yang suami buat.

"Ada satu hari kami makan tengah malam sama-sama tiba-tiba ummi cakap nak makan karipap. Ummi bangun dan ambil karipap frozen dalam peti ais. 

"Terus Azfar basuh tangan dan biar ummi duduk dan dia yang gorengkan. Cuba kalau saya, mesti seronok sebab mak yang gorengkan karipap," katanya.

Jelas Syuhaila lagi, dia turut kagum dengan adab suaminya itu terhadap ibu mentuanya, Halizah Hassan, 55.

"Adab Azfar dengan ummi memang A+. Saya terpegun dengan adab dia. Tutur katanya sangat lemah lembut. 

Tweet Syuhaila mendapat perhatian ramai.

"Tak pernah saya dengar dia cakap 'eh, ah, alah' dekat ummi. Tinggi suara apatah lagi... jauh sekali. 

"Kalau Ummi panggil dia tak pernah lagi saya dengar ummi panggil lebih dari sekali. Lagi setiap pagi kalau pergi kerja tak pernah tinggal ayat 'ummi doakan Azfar murah rezeki ye'. Masya-Allah," katanya.

Selain itu, Syuhaila berkata suaminya juga seorang yang bertanggungjawab dan turut mengutamakan adik-beradiknya yang lain.

Bila saya bandingkan diri saya dengan dia, SubhanaAllah saya rasa malu. Saya dengan mak sendiri pun tak sampai tahap apa yang suami buat.

NORSUHAILA RAHMAT.

"Sudah jadi kebiasan dia akan cedukkan lauk untuk ummi. Lepas tu dia akan cedukkan untuk saya dan barulah dia ceduk untuk diri sendiri.

"Dalam family dia juga utamakan adik-adik dia. Contoh kalau lauk ayam tinggal seketul dia nak ambil dia akan tanya ada siapa nak ke? Kalau tak nak barulah dia ambil.

"Kalau adik dia bangun lambat, dia kata 'adik-adik bangun dah tengah hari ni, nanti abah marah. Janganlah buat abah marah". Tak pernah saya nampak adik-adik dia melawan cakap dia," katanya.

Wanita yang berasal dari Klang, Selangor itu turut bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik.

Pasangan ini disatukan pada Disember lalu.

"Saya tak pernah terfikir dapat berkahwin dengan dia. Walaupun kami dulu satu fakulti tapi kami tak pernah kenal satu sama lain.

"Dulu masing-masing simpan perasaan suka tapi tak pernah luah. Jadi bila dah habis belajar dalam setahun macam tu barulah Azfar mesej saya di Instagram.

"Memang saya bersyukur sangat-sangat sebab dapat seorang suami seperti dia. Saya kagum dengan adab dia," katanya.

Syuhaila berkata dia berkongsi kisah tersebut sekadar untuk suka-suka, selain mahu orang ramai berbakti kepada ibu masing-masing selagi masih berpeluang untuk berbuat demikian.

"Niat saya sekadar nak kongsi kebaikan suami saya supaya lebih ramai lagi berbakti dan eratkan hubungan dengan ibu masing-masing.

"Walaupun kita nampak benda tu remeh tapi perbuatan itulah Allah permudahkan hidup suami. Kerana reda ummi dan doa seorang ibu yang solehah.

"Sekarang saya tahu kenapa hidup suami cantik sangat perjalanan dia. Bila sulit pasti akan jadi mudah sebab hidup dia berkat... penuh dengan reda ummi," katanya.

Syuhaila bersyukur kerana mendapat seorang suami seperti Azfar.

Dalam pada itu, Syuhaila turut mendedahkan kisah di sebalik sikap tersembunyi suaminya itu yang diceritakan oleh ibu mentuanya.

"Ummi pernah cerita Azfar ni budak yang degil masa kecil sampaikan orang lain tak boleh nak jaga. Dia suka ponteng sekolah... Masya-Allah ummi kata memang degil sangat. 

"Jadi ummi terpaksa berhenti kerja untuk jaga dia walaupun ada adik-beradik lain yang kena sara. Tak tahulah mungkin Allah jentik dia untuk berubah. 

"Dia macam rasa serba salah. Dari situ dia matang dan sebab itulah sampai sekarang dia amat menghormati ummi dia," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Syuhaila, Azfar, ummi, hormat, adab, mulia, PKP

Artikel Lain