DALAM usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19, semua pihak mempunyai peranan penting dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Jika dahulu individu yang duduk terperap di rumah dianggap pemalas, tapi dalam tempoh ini tanggapan itu sudah tak relevan. Mereka yang tinggal dirumah akan dipuji kerana mengikuti saranan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kluster baharu dalam tempoh 24 jam, 39 positif Covid-19 di Sendayan ARTIKEL BERKAITAN: Doktor sebak suami hilang pekerjaan rayu tak ditahan di wad walau ada simptom Covid-19... mahu cari rezeki untuk keluarga ARTIKEL BERKAITAN: “Pesakit paling muda, dia datang lewat” - Dr Noor Hisham dedah majoriti pesakit Covid-19 ke hospital pada kategori 1 dan 2 Namun, kekecewaan seorang doktor diluahkan menerusi sebuah posting di Facebook berkaitan segelintir penduduk di Seremban, Negeri Sembilan yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menerusi posting di Facebook Dr Ahmad Luqman Bukhari pada Isnin, beliau menerima khabar bahawa kereta yang membanjiri bandar Seremban seolah-olah orang ramai tidak mengendahkan arahan PKP. "Bila terima berita macam ni, seharian hati ni rasa tak sedap. Serba-serbi tak kena. "Tup tup, dapat berita 41 kes baharu positif dikesan di Seremban," ujar Dr Ahmad Luqman. Perkongsian Dr Ahmad Luqman di Facebook mengundang rasa simpati daripada netizen. Ketika menerima berita buruk tersebut, dia terus terbayang akan nasib rakan-rakan sejawatnya. "Lemah seluruh badan bila dapat berita macam ni. Satu demi satu wajah rakan sekerja menerpa ke dalam fikiran. "Ada antara kami yang dah sebulan terpisah dengan isteri. Ada yang baru seminggu menimang cahaya mata. Ada yang isterinya sedang sarat mengandung," kata Dr Ahmad Luqman yang bertugas di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Negeri Sembilan. Tambahnya lagi, dia dan rakan-rakan masih mampu cekalkan hati sejurus menerima berita ini kerana tanggungjawab pesakit terletak di bahu mereka. Lemah seluruh badan bila dapat berita macam ni. Satu demi satu wajah rakan sekerja menerpa ke dalam fikiran. DR AHMAD LUQMAN BUKHARI DOKTOR "Walaupun berada dalam suasana kerja yang berisiko tinggi untuk terkena jangkitan maut, mereka cekalkan hati. "Ada yang diarah untuk jalani kuarantin, mereka cekalkan hati. "Walaupun risau setiap kali tiba waktu pulang, takut-takut terbawa pulang bencana ke rumah, mereka cekalkan hati. Namun kecekalan itu dibalas dengan sampah oleh sebahagian manusia yang degil!" tulis Dr Ahmad Luqman dalam perkongsian tersebut. Menurut Dr Ahmad Luqman, Seremban pada ketika ini telah merekodkan 260 orang pesakit positif koronavirus. "Dua kawasan diletakkan dalam zon merah, manakala dua lokasi pula dikategorikan sebagai zon jingga. "Sekiranya masih lagi bersikap pentingkan diri, ketahuilah yang anda akan menzalimi orang lain lebih-lebih lagi petugas kesihatan. "Jika perkara ini terus berlaku, bersedialah untuk menerima lebih banyak kes positif dan dan kawalan perintah berkurung yang lebih keras. "Kementerian Kesihatan Malaysia dah berusaha sehabis baik, namun kita tidak akan menang jika masih ada pihak yang tidak berikan kerjasama sepenuhnya," ujar Dr Ahmad Luqman yang mempunyai kelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Dr Ahmad Luqman bertugas di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Negeri Sembilan. Foto: FB Ahmad Luqman Bukhari Posting Dr Ahmad Luqman pada Isnin telah mendapat 9,000 perkongsian dan 8,500 tanda suka daripada netizen yang rata-rata bersimpati dengan luahan hati doktor tersebut. "Kesiannya, moga Allah lindungi kalian di barisan hadapan," tulis seorang pengguna Facebook. "Manusia yang degil ni tak perlu dibantu, mereka rasa mereka kebal daripada dijangkiti virus," ujar seorang wanita di ruangan komen. "Saya pun letih duduk rumah tapi nak buat macam mana... geram tengok orang lain boleh pula ke sana ke sini ke sana ke sini," tambah netizen lain.