suria

PKP rapatkan mereka selepas 7 tahun renggang, baru abang perasan ada sesuatu pada si adik - “Ada kata saya handsome... segan pula”

Karep memuat naik gambar adik perempuannya di laman sosial dengan memujinya cantik.

SEORANG pemuda mendapat perhatian gara-gara memuat naik gambar adik perempuannya dan memujinya cantik di laman sosial. 

Rata-rata netizen bukan sahaja terkejut dengan tindakannya kerana bukan mudah untuk memuji adik-beradik secara terbuka.

“Untunglah ada abang puji adik. Abang aku selalu kata aku gemuk dan buruk,” komen salah seorang netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat ‘sisi’ lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan hadiah buat adik-adik, tapi abang yang sebak “Tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka teringin”

“Abang pun handsome juga,” netizen lain memuji wajah pemuda berkenaan yang dikatakan kacak.

Pemuda berkenaan, Kharif Salahuddin Khairul Nizam, 20, berkata, dia dan adik perempuannya yang berumur 10 tahun itu sebenarnya rapat sejak kecil.

Perkongsian Karep mengenai adiknya mendapat perhatian netizen.

Namun katanya, hubungan mereka sedikit renggang sejak mula belajar di sekolah menengah berasrama dan keadaan itu berterusan apabila melanjutkan pengajian di universiti.

Lebih mesra dengan panggilan Karep, dia bagaimanapun menjelasakan hubungan mereka kembali rapat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Dulu adik memang manja dengan saya dan saya pun rapat dengan dia. Tapi tujuh tahun banyak menghabiskan masa di asrama, jadi kami jarang berjumpa.

“Tapi sejak PKP ni, saya ada di rumah bersama keluarga. Hubungan kami kembali rapat dan adik pun semakin manja dengan saya,” katanya kepada mStar sambil menambah dia merupakan anak kedua daripada empat beradik, manakala adik perempuannya anak bongsu.

Karep belajar di sekolah berasrama sejak tingkat satu, malah tinggal di asrama semasa di universiti.

Mengulas lanjut mengenai perkongsiannya yang tular di media sosial yang setakat ini diulang kicau lebih 4,600 kali, Karep yang menetap di Sungkai, Perak berkata, ketika itu dia dan adik perempuannya berada di luar rumah.

“Masa tu cuaca agak baik, kalau ambil gambar memang sesuai sebab ada pencahayaan... bak kata orang lighting on point. Kami pun ambil gambar, dan bila tengok tak sangka adik saya lawa orangnya.

Saya macam guru displin, pengawas... saya pantau pelajaran mereka, kalau mereka degil tak nak buat homework, memang saya kena tegas

KAREP

“Bukan pelik pun, adik sendiri kan. Kalau tak puji adik sendiri, siapa lagi nak puji. Tapi tak sangka juga ada yang kata saya handsome, segan pun ada.

“Dalam memuji saya post gambar adik tu, ada juga yang mengata. Saya tak kisah pun biarlah mereka nak kata apa, sebab segelintir mereka malu kongsi mengenai adik-beradik sendiri, tapi kalau post gambar awek tak malu pula,” ujar pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu.

Hubungan Karep dan adik perempuanya berusia 10 tahun kembali rapat sejak pelaksanaan PKP.

Menurut Karep, tempoh PKP juga memberikan peluangnya untuk mengajar adik-adiknya termasuk seorang adik lelaki berusia 15 tahun.

Tambahnya, sedikit-sebanyak dia dapat membantu adik-adiknya yang turut menerima kerja sekolah daripada guru-guru dalam talian dan menerusi aplikasi Whatsapp.

“Bab mengajar adik-adik ni, saya macam guru displin pun ya, pengawas pun juga. Saya pantau pelajaran mereka, kalau mereka degil tak nak buat homework, memang saya kena tegas.

Karep menggunakan masa PKP dengan mengajar adik-adik di rumah.

“Tapi saya bukanlah garang, kena sesuaikan dengan mood untuk mereka terus belajar di rumah dalam tempoh PKP ini. Duduk rumah pun kena belajar juga.

“Ada masa saya kena layankan perangai mereka terutama adik bongsu ni. Kalau adik ajak menari bila ada lagu menarik kat TV, saya pun layankan saja ikut menari... pandai ke tak menari tu lain cerita, yang penting layan,” ujarnya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
adik, abang, cantik, handsome, puji, awek, PKP

Artikel Lain